Monday, November 3, 2008

Betulkan Matlamat Perjuangan, Banyakkan Kebajikan

Ditulis oleh WanKay
Wednesday, 22 October 2008
Kuala Terengganu - Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Muhamed Daud Iraqi menyeru seluruh umat Islam terutama di kalangan ahli parti membetulkan matlamat perjuangan.
Beliau berkata matlamat perjuangan biar jelas dengan Islam yang menjadi dasar agar tidak terpesong dalam kehidupan ini.
Katanya, dasar dan matlamat perjuangan PAS jelas Islam di hadapan dan berusaha mendapatkan pemerintahan tersebut.
“Matlamat perjuangan kita (PAS) biar jelas iaitu Islam yang menjadi dasar perjuangan parti. Kita (PAS) berusaha untuk tubuh kerajaan Islam sejak dari dahulu lagi,” ujarnya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Kebajikan PAS Negeri Terengganu, di Markaz Tarbiyyah PAS Kuala Ibai, dekat sini, baru-baru ini.
Menurutnya Islam lebih mengutamakan kebajikan tetapi mungkin kurang diberi perhatian kerana masalah kewangan.
“Kita hendak memasyarakatkan PAS dan kita kena ada aktiviti kemasyarakatan. Masjid dan surau kita kena menguasainya.
“Banyak kebajikan boleh buat dengan mengajar al-Quran, fardhu ain dan ilmu-ilmu agama kepada masyarakat setempat,” ujarnya.
Menurutnya, golongan Kristian sangat mengambil berat dalam bab kebajikan sehingga ada orang Islam yang menyeleweng dan tinggal Islam.
Katanya, terdapat orang Islam yang terima bantuan kebajikan dari kumpulan Kristian dan terus bersama mereka.
Sebab itu, katanya PAS mengambil berat dan dalam Dewan Ulama dan PAS Pusat ditubuhkan Lajnah Kebajikan.
“Kebajikan ini perlu dan masyarakat akan mendekati kita (PAS) apabila dia (rakyat) dapat sumbangan kebajikan daripada kita (PAS).
“Kita (PAS) ambil berat dalam hal ini (kebajikan). Dewan Ulama dan PAS Pusat pun tubuh Lajnah Kebajikan,” jelasnya.
Katanya, semua aktiviti-aktiviti yang boleh mendekatkan diri kita (PAS) dengan masyarakat perlu diketengahkan.
Menurutnya, aspek kebajikan dan kemasyarakatan mampu menarik minat dan pengaruh yang menguntungkan Islam.

No comments:

Post a Comment