Thursday, November 20, 2008

Banjir - Dua Sungai Mencecah Paras Amaran Batu Burok Beach Resort Dinaiki Air

Oleh Wartawan Buletin
Friday, 21 November 2008
Kuala Terengganu - Paras air di beberapa sungai utama di negeri itu mulai melepasi paras amaran berikutan hujan lebat yang turun sejak petang kelmarin.
(Gambar – Banjir kilat di jalan Cerong Lanjut minggu lalu – Baca Berita)
Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri berkata sehingga pukul 10 pagi, paras air di Sungai Nerus di Langkap telah mencecah paras amaran 20.64meter.Katanya paras air di Sungai Setiu, di Kampung Besut juga mencecah 17.33meter, melepasi paras waspada 17.2m.Sementara itu Bernama melaporkan Batu Buruk Beach Resort yang terletak di pantai perangin Batu Buruk dinaiki air sedalam hampir satu meter awal pagi semalam.Seramai 59 tetamu Batu Buruk Beach Resort (BBBR), yang terletak berhampiran kawasan pantai dikejutkan dari tidur pada pukul 3.30 pagi apabila air memasuki bilik mereka akibat hujan yang turun berterusan sejak petang semalam.Pengarah Urusan BBBR, Rajemah Sheikh Ahmad yang mendakwa terpaksa menanggung kerugian lebih RM500,000 berkata kejadian itu berpunca daripada sistem perparitan, yang terletak bersebelahan resort itu tersumbat menyebabkan air longkang melimpah dan menenggelami kira-kira 30 bilik di tingkat bawah resort itu."Hujan yang berterusan telah menyebabkan air longkang berhampiran melimpah sehingga tembok resort runtuh dan memecahkan cermin belakang sebuah kenderaan tetamu."Selain 30 bilik penginapan di tingkat bawah ditenggelami air, kawasan dapur, ruang lobi, ruang makan dan kawasan tempat letak kereta turut ditenggelami air," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.Rajemah berkata almari, katil, dapur dan beberapa peralatan lain milik resort itu turut rosak.Beliau berkata kesemua 59 bilik di resortnya telah habis ditempah untuk musim cuti ini termasuk tempahan oleh agensi kerajaan untuk mengadakan seminar.Beliau berharap Jabatan Pengairan dan Saliran negeri serta kerajaan negeri memandang serius masalah yang dihadapinya dan mengambil tindakan mengatasi masalah itu kerana keadaan itu boleh memberikan imej yang buruk kepada pelancong ke Terengganu pada musim tengkujuh.

No comments:

Post a Comment