Saturday, June 25, 2016

PAN BERTANDING DI MANA DALAM PRU14???

PAN BAKAL BERTANDING DI KAWASAN MAJORITI BUKAN ISLAM DAN KAWASAN BERCAMPUR

Akhirnya PAS tewas di PRK Sungai Besar dan PRK Kuala Kangsar. Pengerusi BN pun tersenyum lebar selebar kecerian hari lebaran yang bakal disambut oleh ummat Islam tidak berapa lagi. PAN pula begitu seronok dapat memberi saingan sengit kepada PAS. Presiden PAN pun tersenyum lebar, selebar senyuman Pengerusi BN atau terlebih sedikit.

Tetapi wajah-wajah pimpinan PH daripada DAP dan PKR kelihatan berkerut dan runsing. Tempo serangan pantas dan bengis mereka tanpa henti mereka terhadap PAS sepanjang 2 PRK berlangsung, tiba-tiba hilang momentum secara mengejut!

Sambil mengubah riak wajah mereka yg bengis kepada wajah yang lebih mesra dan lebih demokratik, dengan selambanya, mereka bercakap kepada PAS melalui perantaraan media, "kita pembangkang perlu kembali ke meja rundingan". Nada suara rendah tetapi meyakinkan.

Lim Kit Siang memulakan rundingan di luar kamar dengan mencadangkan persepakatan pembangkang yang baru wajar menyerahkan kerusi-kerusi di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis untuk ditandingi oleh PAS.

Pantas cadangan beliau dibentak oleh Ustaz Idris Ahmad, "ikut suka PASlah nak bertanding dimana!". Pengarah pilihanraya PRK Kuala Kangsar itu jelas sekali gagal menyembunyikan amarahnya, lantaran serangan ganas PH ke atas PAS di Kuala Kangsar sehingga mengorbankan peluang cerah PAS untuk menumbangkan BN di sana.

MB Selangor daripada PKR pula, terpaksa mengubah intonasi berbaur ugutan kepada PAS kepada intonasi yg lebih lunak ketika menjelaskan kepada rakyat bahawa Kerajaan Selangor masih stabil. Jangkaannya terhadap kemampuan PAN dalam menarik undi melayu Islam meleset dengan teruk sekali. Akhirnya, dalam keadaan malu-malu, terpaksa juga bertongkat dengan ADUN-ADUN PAS.

Kata Lim Kit Siang lagi, negeri-negeri lain pula selain daripada 4 negeri itu, biarlah difokuskan oleh PAN.

PAS yg tidak ada dalam PH, tetapi secara terus terang diarahkan oleh Lim Kit Siang supaya menyerahkan hak kerusi-kerusi yg ditandinginya dalam era PR kepada PAN,  anak angkat DAP yg ditatang bagi minyak yg penuh itu. Ini ajaib. Nak mengarahkan orang bukan orang bawahannya atau bukan anak angkatnya.

Apa maknanya ini?

Maknanya, DAP tidak akan beri hak bertanding kepada PAN bagi kerusi-kerusi yg ditandingi oleh DAP dalam era PR. DAP juga tidak akan meminta PKR untuk menyerahkan kerusi-kerusi PKR kepada PAN. Ini kerana, ia boleh mengundang krisis besar antara DAP dan PKR seperti halnya di Sarawak baru-baru ini. PAN adalah anak angkat DAP yg hanya diberi secebis kasih sayang oleh PKR.

Bapa angkatlah yg sepatutnya lebih sanggup berkorban untuk anak angkatnya. Jika bapa angkat tak sanggup nak korbankan kerusinya untuk PAN, tentulah PKR yg sekali sekala mendukung anak angkat DAP itu tidak wajar diminta membuat pengorbanan sebesar itu.

Lalu Lim Kit Siang mengambil jalan mudah, disuruhnya PAS yg diserangnya setiap hari, pagi, petang, siang dan malam, untuk menyerahkan hak bertanding di selain 4 negeri tadi kepada anak angkatnya, PAN. Lim Kit Siang, buat-buat terlupa, PAN adalah anak derhaka kepada PAS. Jenayahnya kepada PAS begitu ngilu dan menusuk qalbu. Sanggup mengkhianati parti dan mengkhianati agenda pemerkasaan undang-undang syariah.

Bagaimanakah PAS akan serahkan kerusi-kerusinya di pantai barat dan negeri-negeri lain kepada anak derhakanya yang sombong dan begitu kencang sekali memaki kedua ibu bapanya. Mentang-mentanglah dia sudah mendapat bapa angkat yang lebih hensem, lebih glamour dan lebih memahami mereka. Sekurang-kurangnya itulah pandangan PAN terhadap bapa angkatnya.

Pada pandangan saya, Lim Kit Siang memberi isyarat kepada PAN agar berdikari mencari kerusi sendiri. Jangan sekadar meminta-minta saja daripada bapa angkat setiap kali pilihanraya. Usahalah minta atau rampas hak bertanding daripada PAS.

Malangnya kajian pasca PRK berkembar merumuskan PAN gagal memenangi hati pengundi melayu beragama Islam, dan bergantung kuat kepada sokongan bukan melayu dan bukan Islam. Oleh itu kekuatan PAN, adalah sejenis dengan kekuatan yg dimiliki oleh DAP dan PKR, iaitu kerusi-kerusi di mana pengundinya terdiri daripada majoriti bukan Islam dan kawasan-kawasan bercampur.

Jika PAN berebut kerusi dengan PAS di kawasan majoriti melayu Islam, ia adalah usaha yg terlalu jelas sia-sia. Jika PAN membuat analisis SWOT dengan objektif, maka dia akan berjuang untuk mendapat sebahagian kerusi-kerusi PKR dan bapa angkatnya DAP bagi meneruskan survivalnya.

Jika itu berlaku, tiada siapa lagi akan menyayangi PAN. Pertembungan PAN dengan DAP dan PKR baru saja akan bermula. Mungkin pembangkang di Malaysia, mula berfikir pada ketika itu, PAN ini anak angkat yang terlalu besar kos 'overhead'nya.

Lebih baik tiada daripada ada.

Zakaria Ismail
AJK PAS KAWASAN MARANG
25 Julai 2016/ 20 Ramadhan 1437 H

No comments:

Post a Comment