Sunday, February 7, 2016

Kesan TPPA yang tidak berhati perut

CAP menggesa Ahli Parlimen untuk menolak TPPA

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat kecewa bahawa Kerajaan sedang memperolok-olokkan Parlimen dengan memohon kebebasan penuh bagi negara untuk terikat dengan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

Dalam mengemukakan usul di Parlimen, kerajaan mahu mandat untuk menandatangani DAN meratifikasi TPPA. Menandatangani sebelum memahami dengan penuh implikasi pelbagai tanggungjawab dan komitmen baru adalah cukup buruk, tetapi untuk meminta Parlimen untuk bersetuju dengan ratifikasi, iaitu satu langkah yang mengikat secara undang-undang, pada peringkat ini adalah sama seperti Kerajaan mengakui ia tidak akan mengambilkira keresahan yang semakin meningkat daripada kalangan banyak rakyat Malaysia.

Hari pertama perbahasan di Dewan Rakyat menyaksikan beberapa ahli Parlimen pembangkang membangkitkan pelbagai isu yang membimbangkan yang CAP telah suarakan kepada kerajaan dalam tempoh empat tahun yang lalu. Analisis awal lebih 6,300 mukasurat teks oleh pelbagai pakar-pakar termasuk beberapa dari Bangsa-Bangsa Bersatu, ahli akademik dan NGO telah mengesahkan semua kebimbangan CAP.

Daripada 30 bab TPPA, 24 bab disasarkan kepada dasar-dasar negara dan undang-undang yang akan mengubah struktur ekonomi negara kita dan juga masyarakat. Implikasi penuhnya masih belum difahami dengan betul lagi.

Apabila Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri YB Dato' Sri Mustapa Mohamed memaparkan barangan dari seluar ke bahagian kereta dalam ucapannya di Parlimen hari ini untuk menunjukkan jangkaan peningkatan eksport daripada TPPA, beliau juga mengakui bahawa laporan PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia yang kerajaan arahkan menunjukkan bahawa imbangan perdagangan keseluruhan Malaysia akan menjadi lebih teruk dalam TPPA sebab lebih import berbanding eksport. Oleh itu, Menteri MITI mengakui tiada keuntungan daripada bab perdagangan di mana Malaysia sepatutnya mendapat manfaat, jadi tidak ada faedah melebihi kos kepada Malaysia dari 24 bab bukan perdagangan.

Di samping itu, Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata Malaysia telah didorong oleh permintaan dalam negeri untuk lebih daripada satu dekad dan tidak lagi bergantung kepada ekonomi eksport. Oleh itu CAP berpandangan tidak ada alasan dan justifikasi untuk perjanjian TPPA ini, yang sebenarnya bukan semuanya tentang perdagangan.

Ia tidak menenangkan hati pengguna untuk mempunyai beberapa barangan import yang lebih murah apabila TPPA dalam suatu jangkamasa akan menyebabkan kehilangan pekerjaan. Satu kajian Bangsa-Bangsa Bersatu baru-baru ini memberi amaran bahawa TPPA akan membawa kepada kerugian pekerjaan di semua 12 negara TPPA, berjumlah 771,000 pekerjaan akan hilang dalam jangkamasa 10 tahun (2015 - 2025).

Dengan ini CAP mendesak Ahli Parlimen kita untuk menolak usul menandatangani dan meratifikasi TPPA. Jika undi suara hati tidak dibenarkan untuk ahli Parlimen, maka ia adalah pada hati nurani mereka bahawa generasi masa depan rakyat Malaysia akan menanggung beban dan kos muktamad "perjanjian perdagangan bebas" yang tidak berhati perut ini.

27 Januari 2016

No comments:

Post a Comment