Friday, May 20, 2011

300 berarak ke Kedutaan Australia bantah Lynas

Afiq Hizami, Pelatih UKM
KUALA LUMPUR, 20 Mei: Hampir 300 orang rakyat Malaysia hari ini berarak ke Kedutaan Australia bagi membantah tindakan kerajaan membenarkan syarikat Lynas dari negara itu membina pusat pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Kuantan.

Dewan Pemuda PAS Pusat, pemimpin PKR, NGO, persatuan mahasiswa, aktivis alam sekitar dan rakyat negeri Pahang antara yang mengetuai perarakan itu turut menyerahkan memorandum kepada wakil keduataan tersebut.

Perarakan bermula sejurus selesai solat Jumaat, dari Masjid As Syakirin KLCC menuju Pejabat Suruhanjaya Australia yang terletak tidak jauh dari situ.

Mereka membawa pelbagai spanduk membantah dan mengecam tindakan yang didakwa boleh menjejaskan kesihatan penduduk di sekitarnya.

Suara bantahan dan amaran turut dilaungkan agar kerajaan memberhentikan projek itu sebelum 31 Ogos 2011.

"Jangan jadikan kami tikus makmal, Stop Lynas, Undur Lynas, balik Australia", antara slogan bantahan yang digunakan.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan dalam ucapannya mempersoal kenapa syarikat yang berpengkalan di Australia itu memilih Malaysia sedangkan negara mereka sendiri lebih luas dan bentuk muka buminya juga lebih sesuai.

"Kenapa mereka datang melaksanakan operasi kilang Lynas di negara kita, walhal mereka boleh buat di negara mereka yang begitu luas dengan gurun, tetapi datang ke nagara kita yang mempunayai penduduk yang ramai," soalnya.

"Ia bukan sahaja mendatangkan bahaya kepada manusia tetapi merosakkan alam sekitar dan seluruh hidupan di atas muka bumi ini.

"Anak-anak kita menderita, cucu cicit kita akan menderita, dan bangsa kita juga akan menderita," tambahnya lagi.

Turut serta pada perarakan tersebut, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh dan Exco kerajaan Selangor Rodziah Ismail.

Projek pembinaan itu yang bernilai AS$230 juta turut dibantah persatuan pencinta alam sekitar dari Australia sendiri.

Ianya kerana kebimbangan berhubung sisa radioaktif yang bakal dihasilkan selepas projek itu beroperasi yang akan menjejaskan penduduk sekitar.

Ia percubaan kedua Malaysia dalam membangunkan industri pemprosesan tanah jarang, kali pertama menimbulkan kontroversi dan bantahan apabila ia cuba didirikan di Bukit Merah, Perak sekitar 1980-an.

No comments:

Post a Comment