Tuesday, July 24, 2012

Tarik cacian, gugur dakwaan pada peserta Bersih – PAS

Harakahdaily, 24 Jul 2012 KUALA LUMPUR: Ekoran keputusan Mahkamah yang membatalkan bahawa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) adalah pertubuhan haram, PAS menyeru para pemimpin BN untuk menarik balik tuduhan jijik mereka pada Bersih selama ini.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata keputusan mahkamah itu membuktikan bahawa Bersih adalah satu pertubuhan yang sah selama ini. “Memang sah Bersih bukan diwakili pertubuhan haram dan peserta himpunan tidak menggunakan senjata,” kata beliau secara ringkas kepada Harakahdaily. Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali pula menyeru semua pemimpin BN, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menarik balik tuduhan dan cacian jijik mereka terhadap Bersih dan peserta himpunan Bersih selama ini.
“Segala yang mereka pernah tuduh secara jijik terhadap Bersih dan para pesertanya perlu ditarik balik kembali secepat mungkin. Dan ini termasuk kenyataan Najib yang menggelar peserta Bersih sebagai mufsidun,” katanya. Mustafa juga berkata BN seharusnya berhenti daripada mengelirukan rakyat terhadap Bersih.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membatalkan pengisytiharan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Hishammuddin Hussein pada 1 Julai tahun lepas bahawa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) adalah pertubuhan haram dan menyalahi undang-undang. Hakim Datuk Rohana Yusof ketika membacakan keputusannya hari ini berkata, Bersih telah berjaya membuktikan kes dalam mencabar pengisytiharan kerajaan. Beliau juga memutuskan perisytiharan Menteri Dalam Negeri sebagai ‘tercemar’. “Oleh itu, kami membenarkan permohonan pemohon (untuk semakan kehakiman perisytiharan kerajaan) dengan tiada perintah tentang kos,” katanya. 14 Anggota Jawatankuasa Pemandu Bersih yang diketuai oleh Ambiga Sreenevasan telah menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai responden. Selain dari Ambiga, plaintif termasuk Dr Ahmad Farouk Musa, S Arul Prakkash, K Arumugam, Haris Fathillah Mohamed Ibrahim, Andrew Khoo Chin Hock, Liau Kok Fah, Maria Chin Abdullah, SP Subramaniam. Turut serta adalah Toh Kin Woon, Wong Chin Huat, Yeo Yang Poh, Yeoh Yong Woi dan Zaid Kamaruddin. Pada 1 Julai tahun lalu, Hishammuddin dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengisytiharkan gabungan itu menyalahi undang-undang, sebelum perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai. Dalam pada itu, Naib Presiden PAS Mahfuz Omar menyeru Najib, Hishamuddin dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar untuk memohon maaf kepada rakyat Malaysia, terutamanya peserta Bersih dengan serta-merta. “Semua kes pendakwaan terhadap peserta Bersih mesti digugurkan, ekoran bermula dari provokasi tuduhan bahawa Bersih adalah satu pertubuhan haram,” kata ahli parlimen Pokok Sena itu.

Saturday, July 21, 2012

PM: Bonus raya penjawat awam ikut kemampuan

Dapat Bonus nanti sumbangkan sebahagiannya untuk mereka yang memerlukan ok.....
4:05PM Jul 21 2012 Pemberian imbuhan sempena Aidilfitri kepada penjawat awam adalah bergantung kepada kemampuan kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Dengan wajah yang ceria, Najib berkata beliau akan melihat 'buku kira-kira' kerajaan terlebih dahulu berhubung perkara itu. "Nantilah kita semak-semak dahulu, belek-belek dahulu, kena tengok-tengok buku kira-kira dahulu...kalau apa-apa pun kita semak dahulu, apa-apa keputusan mesti berdasarkan kepada kemampuan kerajaan," katanya kepada pemberita di Pekan, hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengenai pemberian imbuhan itu baru-baru ini. Pada 16 Julai, Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata pihaknya sedang mencari pendekatan terbaik bagi memastikan 1.4 juta penjawat awam mendapat imbuhan itu dan tidak menyebabkan pihak tertentu mengambil kesempatan seperti menaikkan harga barangan. Najib ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan cek Durian Runtuh Felda Fasa 2 dan pakaian kepada Pegawai-pegawai Masjid serta sumbangan Apron kepada peniaga dan bantuan cermin mata kepada penduduk Pekan di Dewan Umno Pekan, di Pekan. Dalam ucapannya beliau menegaskan agar pihak yang tidak berpuas hati dengan kerajaan tidak menghalang usaha kerajaan dalam memajukan negara. Mengambil contoh penyenaraian saham Felda Global Ventures Holding Bhd (FGVH) di Bursa Malaysia, beliau berkata, pihak yang cuba menghalang disifatkan sebagai busuk hati kerana tidak suka melihat kerajaan membantu meningkatkan kehidupan rakyat. "Jangan halang usaha kerajaan untuk majukan negara dan rakyat, tidak sokong tidak apa...dalam hal ini (penyenaraian FGVH) kita tak boleh halang sebab ini adalah hal yang baik dan untuk kebaikan rakyat," katanya. Bercakap kepada pemberita kemudian Najib berkata jika peneroka ingin membeli tambahan saham, mereka perlu membelinya di pasaran saham terbuka. "Pihak Felda perlu membantu peneroka untuk membelinya di pasaran terbuka dengan harga semasa. Walaupun peneroka telah ditawarkan dengan 800 unit saham ketika saham tersebut dilancarkan mereka juga tetap dapat keuntungan kerana 20 peratus saham FGVH telah dimasukkan ke dalam tabung amanah yang akan membayar dividen setiap tahun kepada mereka," katanya. Ditanya mengenai laporan akhbar berhubung senarai awal calon BN yang ditolak 50 peratus daripadanya, Najib berkata: "Kita belum memuktamadkan calon-calonnya dan kita akan memutuskannya apabila tiba masanya, jadi semuanya hanya spekulasi. Umno pun belum, kita tengah semak-semak dan belek-belek lagi," katanya. - Bernama

Presiden PAS jangka PRU13 selepas raya

(Gambar atas: Presiden PAS bersama wakil pimpinan gerakan Islam lain menyertai muktamar ke 7 parti Keadilan Dan Pembangunan Maghribi.) RABAT: PAS menjangkakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan pembubaran parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, selepas cuti Hari Raya Aidilfitri akan datang. Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, BN berkemungkinan menggunakan peluang itu kerana pengundi luar akan sukar untuk pulang ke kampung dua kali berturut-turut selepas baru sahaja menghabiskan cuti Aidilfitri mereka di kampung halaman. "Kita jangka BN akan menggunakan peluang mengadakan pilihan raya selepas cuti hari raya Aidilfitri ini. "Sudah tentu jika itu berlaku, pengundi akan berfikir banyak kali untuk pulang sekali lagi ke kampung masing-masing selepas mereka baru sahaja balik bercuti hari raya," katanya ketika ditemui Harakahdaily di Muktamar Parti Islam Pembangunan dan Keadilan (PJD) Maghribi di sini semalam. Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membayangkan PRU-13 tidak akan diadakan tahun depan dan menganggap tahun ini adalah masa yang terbaik. Dalam kenyataannya kelmarin itu, Muhyiddin juga turut membayangkan ianya "mungkin beberapa bulan akan datang". Mengulas lanjut, Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, banyak faktor yang akan menjadi pertimbangan rakyat untuk pulang kali kedua ke kampung termasuk soal kos yang terpaksa ditanggung dan cuti yang terpaksa diambil mereka. "Jika berlaku, kesannya akan lebih teruk lagi berbanding dengan kesan PRU musim haji," katanya. Sehubungan itu katanya, jika BN memanggil pilihan raya selepas cuti Aidilfitri, ianya sekaligus akan menyusahkan rakyat khususnya yang berada di perantauan. Sebelum ini, PAS juga membantah keras jika PRU-13 kali ini dibuat di musim haji kerana ianya bakal menafikan hak hampir 30,000 rakyat negara ini yang pergi mengerjakan haji di Mekah untuk mengundi. Awal bulan lalu, Najib ada membayangkan PRU-13 hanya akan diadakan selepas genap tempoh lima tahun penggal ini. Bagaimanapun kenyataan terbaru dari Muhyiddin kelmarin seperti mengesahkan desas-desus bahawa PRU-13 berkemungkinan diadakan September atau penghujung tahun ini dan bukannya tahun hadapan. (Gambar bawah: Presiden PAS bersalaman dengan Perdana Menteri Maghribi yang juga Ketua Parti Pembangunan dan Keadilan Islam (PJD), Abdelilah Benkirane.)

Monday, July 16, 2012

Ramai lagi Tan Sri, Datuk akan tinggalkan Umno

(Mohamad Sabu berucap di Stadium Kuala Selangor malam tadi) KUALA SELANGOR: Ramai lagi pemimpin Umno BN menunggu masa untuk meninggalkan parti itu dan menyertai Pakatan Rakyat lantaran tidak tahan dengan penyelewengan yang berlaku dalam pentadbirannya. Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, selepas Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir dan Tamrin Ghafar secara lantang menyeru rakyat meninggalkan Umno BN, ada pemimpin Umno BN lain yang menunggu masa untuk melakukan perkara sama. "Hampir setiap hari saya minum kopi dengan pemimpin Umno, mereka menunggu masa sahaja untuk keluar daripada Umno. Salah seorang yang mengambil sikap sedemikian ialah Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir. "Ramai lagi datuk dan tan sri yang menunggu masa meninggalkan Umno," kata beliau ketika berucap di Perhimpunan Hijau Menuju Putrajaya di Stadium Kuala Selangor, malam tadi. Beliau berkata, semakin ramai rakyat berani menzahirkan tentangan kepada Umno BN kerana isu rasuah dan penyelewengan dalam parti itu semakin terdedah, malah oleh bekas pemimpin Umno sendiri. "Kita lihat pegawai kerajaan setelah pencen isi borang PAS dan minta rakyat tolak Umno. Kenapa ramai sangat rakyat nak tolak Umno sekarang?
(Antara yang menyertai PAS malam tadi) "Tidak lain dan tidak bukan kerana Umno amalkan rasuah, ketirisan, penyelewengan," katanya di hadapan ribuan hadirin yang membanjiri stadium. Perkauman Menyedari perkara ini kata Mohamad, Umno BN giat memainkan isu perkauman untuk menarik sokongan orang Melayu dengan melaga-lagakan orang Melayu dengan DAP. "Jalan lain tidak ada bagi Umno untuk mempertahankan kuasa. Mereka berhujah di sudut perkauman. "Ketika kita berhimpun di sini, kita lihat sebaran dibuat kepada Melayu Islam mengenai DAP. Barangkali penuh di luar sana disebar bahawa kalau Umno kalah yang akan jadi perdana menteri ialah DAP. Ini pembohongan," kata beliau sambil memegang risalah mengutuk DAP yang disebar di seluruh Malaysia. Tambah beliau, tindakan terdesak ini untuk menarik undi orang Melayu. "Mereka gunakan ini untuk tarik Orang Melayu. Mereka tak harapkan Cina, tak harapkan India. Oang Asli pun mereka tak harap," katanya.

Sunday, July 15, 2012

Setiap tahun menjelang Hari Raya Aidilfitri pihak Majlis Tindakan DUN Paka melalui Markaz Ehsan (Pusat Khidmat Masyarakat DUN Paka)akan mengadakan program memberi sumbangan kepada golongan fakir miskin, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) Lebih RM50,000.00 diperlukan untuk menjayakan program ini.Kami memberi peluang kepada muslimin & muslimat untuk bersama memberi sumbangan melalui markaz ehsan. Dalam poster tersebut diatas di nyatakan akaun markaz ehsan untuk kemudahan muslimin dan muslimat semua. selamat menderma

Friday, July 13, 2012



KUALA LUMPUR: Polis membenarkan Himpunan Oren Selamatkan Felda dan perarakan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, esok.




Penyerahan memorandum itu, untuk memohon Yang di-Pertuan Agong campurtangan berhubung isu penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH).



Koodinator Gerakan Selamatkan Felda (GSF) Mazlan Aliman berkata, para peserta himpunan dibenarkan berarak bermula di perkarangan letak kereta Kompleks Mahkamah Jalan Duta sehingga 600 meter dari pintu 3 Istana Negara.



"Kita akan hantar lapan orang wakil daripada GSF untuk mengadap Agung esok, nama mereka kita akan umumkan esok. Kita akan diringi dengan kenderaan ke Istana," katanya kepada media di pintu masuk Balai Polis Kepong.



Mazlan berkata, perarakan yang dijangka sejauh 2.5 kilometer menuju ke Istana Negara akan dikawal serta diringi pihak polis dengan kerjasama 1000 anggota Unit Amal Malaysia.



Tambahnya, para perserta Himpunan Oren tidak dibenarkan menggunakan laluan utama sebaliknya menyusur ke tepi menghala ke Lembaga Peperiksaan kemudian menuju ke Segambut seterusnya ke pintu Istana Negara.



Mazlan berkata demikian, selepas mengadakan perbincangan bersama Ketua Polis Daerah Sentul Zakaria Pagan dan Ketua Polis Daerah Brickfields Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid di Balai Polis Kepong hampir dua jam bermula 3.30 petang tadi.



Bagaimanapun Mazlan menyerahkan kepercayaan kepada pihak polis untuk mengawal sebarang provokasi yang akan timbul dalam perhimpunan itu nanti.



"Atas persetujuan hari ini, kalau ada unsur-unsur provokasi kami serahkan kepada polis, kami harap polis faham kenapa GSF mahu adakan himpunan esok," katanya.



Dalam perbincangan itu, Mazlan menegaskan Himpunan Oren harus diadakan sebagai isyarat kepada kerajaan dan melalui ini sahaja usaha yang ada selepas berbagai-bagai usaha yang telah dibuat sebelum ini, walaupun pihak polis pada awal enggan membenarkan berhimpun.



"Kita tekankan kepada polis, himpunan dan perarakan Oren ke Istana harus dilakukan supaya Agung dapat melihat puluhan ribu rakyatnya yang menolak FGVH, supaya pihak istana membuat pertimbangan terhadap FGVH," katanya.



Di peringkat ini, Mazlan mengucapkan terima kasih atas kerjasama pihak polis yang membenarkan Himpunan Oren esok, membenarkan media mendekati pintu Istana dan tidak membuat penutupan jalan-jalan utama ke Mahkamah Jalan Duta.



Turut bersama dalam perjumpaan itu, Timbalan Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Razman Zakaria dan Ajknya Nasaie Ismail serta Timbalan Pengarah 3 Unit Amal Malaysia Azmi Anuar.

Thursday, July 12, 2012

KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sangat komited untuk bersama dalam Himpunan Oren yang akan berlangsung pada 14 Julai ini sambil menyeru kepada semua anak muda untuk turun berhimpun demi menyelamatkan saki-baki khazanah negara sebelum terlambat.


Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan berkata, Himpunan Oren dijangka mendapat sambutan yang besar kerana rakyat terutamanya golongan muda harus bertindak melakukan sesuatu mempertahankan hak negara ini daripada dirompak oleh lanun berkolar putih.

Katanya, SAMM juga melalui Segmentasi Peneroka dan Luar Bandar telah masuk ke beberapa gugusan Felda termasuklah pertemuan di Gugusan Felda Palong baru-baru ini untuk pencerahan Himpunan Oren dan juga mobilisasi massa.

Bagi SAMM, ujarnya penyenaraian FGVH seumpama memperjudikan nasib peneroka Felda yang sudah berpuluh tahun berbakti kepada negara.

Menurutnya, menyenaraikan FGVH adalah satu perjudian yang harus dielak dan ditentang kerana tiada jaminan keuntungan yang berkekalan malah peneroka Felda terdedah kepada risiko kerugian melampau sepertimana yang pernah berlaku pada tahun 1998 yang lalu.

“Kerajaan kononnya memberi jaminan adalah penipuan semata-mata merujuk kepada banyak amanah saham yang sebelumnya dijamin kerajaan tetapi lingkup menyembah bumi dan nasib pemegang saham langsung tidak dibela,” ujarnya.

Beliau berkata, SAMM melihat tidak mustahil tanah Felda akan tergadai melalui penyenaraian FGVH dan ia akan melibatkan ratusan ribu hektar tanah rezab melayu.

SAMM juga, ujarnya turut mempersoal laporan yang menunjukkan Pengerusi Felda yang tidak mempunyai walau seinci pun tanah Felda yang dibangunkan, namun memperolehi 180 ribu unit saham sedangkan peneroka yang berpuluh tahun membanting tulang hanya dikurnia 800 unit saham sahaja.

Ini, ujarnya satu pengagihan tidak adil yang melampau dan harus ditentang habis-habisan.

“Ayuh anak muda Malaysia bersama SAMM berarak dari Masjid Wilayah di Jalan Duta ke Istana Negara untuk memberi tekanan dan signal yang jelas kepada kerajaan betapa rakyat terutamanya warga Felda menolak penyenaraian FGVH,” ujarnya.