Saturday, August 27, 2011

Senjata doa atasi muslihat BN guna projek IC


M Faqih
KOTA BHARU, 27 Ogos: Biar pun tanpa nasi bungkus percuma untuk bersahur, namun ribuan anak-anak muda memenuhi Qaryah Ramadan di perkarangan Stadium Sultan Mohammad Ke IV awal pagi tadi bagi mengikuti munajat pilihan raya.

Malah ada membawa beg galas besar, kemungkinan baru kembali ke kampung halaman, bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri dua hari lagi. Ada juga yang keletihan tidur di belakang khemah solat tarawih.

Khemah gergasi tempat solat dan munajat itu penuh sesak dengan orang ramai. Khemah tersebut boleh memuatkan sehingga 3,000 orang. Sebahagian lagi terpaksa solat dan munajat di bahagian luar khemah.


Jumlah kehadiran itu dianggap luar biasa memandangkan bulan Ramadan sekarang lebih ramai memilih bersahur bersama keluarga. Malah program agak sendat apabila amanat pimpinan yang disiarkan secara langsung menerusi internet berakhir jam 12 malam tadi, disambung pula dengan munajat.

Sebahagian peserta yang hadir rata-rata golongan muda. Program bermula jam 3 pagi diimamkan Ustaz Hussin Ibrahim Masri dari Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas.

Bacaan zikir dan munajat pula dikepalai Ketua Pengelola Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Ustaz Abdullah Abdul Razak. Hadir sama Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, anggota-anggota Exco dan wakil-wakil rakyat.

Program munajat berakhir kira-kira jam 4.50 pagi, bagi memberi peluang orang ramai yang hadir bersahur. Jualan nasi bungkus disediakan berhampiran Qaryah Ramadan.

Mubarak Kafe di sebelah khemah tarawih kelihatan penuh sesak dengan pelanggan. Beberapa kedai makan dan restoran di Dataran Usahawan juga masih beroperasi.

Berucap ringkas sebelum itu Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, Kelantan terus memancak Islam dalam segenap aspek kehidupan sejak mengambil alih pentadbiran negeri ini pada akhir 1990.

“Usaha itu berterusan dilakukan sehingga ke saat ini. Ketika ini merupakan saat yang paling baik bagi umat Islam beribadat di akhir Ramadan bagi membersihkan diri kita daripada segala dosa,” katanya.

Menurutnya, hanya doa sebagai senjata akhir bagi orang Islam ketika berdepan dengan kegentingan bagi menghadapi pilihan raya bila mana pihak lawan cuba menggunakan pelbagai taktik kotor untuk mengekalkan kuasa.

Ketika ucapan yang disiarkan secara langsung di 19 lokasi di seluruh negara termasuk boleh diikuti di Sabah dan Sarawak malam tadi Menteri Besar berkata, taktik buruk pihak lawan bagi mengekalkan kuasa hanya dapat dihadapi dengan munajat kepada Allah Taala.

Katanya di negara lain tentera digunakan bagi mempertahan kuasa pemimpin sedia ada, namun di negara kita pendatang diberi kad pengenalan bagi membolehkan pemerintah mengekalkan kuasa.

Kata beliau senjata doa tiada hijab yang boleh menghalang kerana ia akan terus sampai ke Allah Taala, lebih-lebih lagi kalau berkebetulan pula dengan Lailatul Qadar.

“Kita luahkan segala isi hati. Malam ini berkebetulan pula 27 Ramadan, iaitu malam-malam ganjil yang kemungkinan besar berlaku Lailatul Qadar. Allah Taala membuka pintu langit bagi membolehkan menerima terus doa daripada hambaNya,” ujarnya pada program yang diadakan di Dewan Zulkifli Mohamad , pejabat Perhubungan PAS Kelantan.

Program itu bermula jam 10 malam di mana siaran internet dipancarkan dari dua lagi lokasi iaitu Rusila, Terengganu dan Taman Melewar, Kuala Lumpur.

Sebanyak 19 tempat pemimpin dan penyokong PAS berkumpul bagi mengikuti program berkenaan. Siaran itu boleh diikuti dengan jelas gambar dan audionya. Pengerusi program, Ustaz Idris Ahmad berada di Taman Melewar.

Di Rusila dua pemimpin berucap iaitu Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairuddin Ahmad Ghazali.

Thursday, August 25, 2011

PAS alukan kenyataan SPR guna dakwat kekal

PAS alukan kenyataan SPR guna dakwat kekal
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 26 Ogos: PAS menyambut baik jika Pengerusi SPR membayangkan mahu menggunakan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang bagi mengelak pengundian berganda.

Bagaimanapun kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, jika benar ia diguna menggantikan biometrik, ianya hanya satu daripada lapan tuntutan reformasi pilihan raya yang dituntut PAS dan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) selama ini.


Selain penggunaan dakwat kekal, tujuh lagi tuntutan lain adalah pembersihan senarai undi, mereformasikan undi pos, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, mengukuhkan institusi awam serta menghentikan rasuah dan politik kotor.

"PAS menerima jika SPR bercadang mahu melaksanakan dakwat kekal sebagaimana dinyatakan SPR.

"Bagaimanapun itu hanya satu daripada tuntukan kita dan juga Bersih yang berjumlah lapan kesemuanya," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof semalam bahawa penggunaan dakwat kekal untuk mengelak pengundian berganda, adalah kurang bermasalah daripada menggunakan sistem biometrik.

Tambahnya lagi, walaupun biometrik adalah "sistem yang sempurna" di segi teorinya, tetapi wujud kelemahan bila diamalkan.

Ianya termasuklah tidak mampu mengesan undi dua kali bagi mereka yang mempunyai dua kad pengenalan dan menyulitkan proses semasa pembuangan undi.

Selain itu, SPR juga turut mengakui bahawa sistem biometrik sangat mahal dan memerlukan masa yang lebih lama untuk dipersiapkan berbanding dakwat kekal yang lebih murah dan cepat.

Sehubungan itu, beliau yang kini berada di tanah suci Mekah berkata, SPR perlu melihat kesemua tuntutan itu bagi menjamin pilihan raya yang benar-benar bebas dan adil.

Kesemua tuntutan yang dikemukakan katanya, bersifat mendesak dan perlukan pembaharuan segera khususnya dalam aspek pendaftaran pemilih yang kini berdepan pelbagai keraguan yang didedahkan.