Tuesday, April 27, 2010

BN bukan lagi parti masa depan - Mustafa Ali





KUALA LUMPUR, 27 April - Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (gambar) berkata, Barisan Nasional (BN) bukan parti masa depan selepas hanya menang di kawasan terkawal seperti Felda dan kawasan miskin seperti Orang Asli.


Beliau turut menyifatkan kemenangan BN pada pilihan raya kecil Hulu Selangor Ahad lalu hanya sebagai kemenangan sementara.

"Pengundi yang lebih celik dan tidak terikat dengan kerajaan mengundi PKR. Tapi pengundi yang terikat seperti Felda, Orang Asli dan di ladang-ladang, trendnya kepada BN.


"Kalau kita lihat masa depan negara yang kita harapkan lebih demokratik, rakyat lebih membaca dan mempunyai kesedaran, Umno/BN ini bukan parti untuk masa depan sebenarnya.


"Orang yang mempunyai kesedaran semacam sudah tidak percaya kepada Umno/BN tapi lebih percaya kepada komponen dalam Pakatan Rakyat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.


Justeru, katanya angin perubahan yang dikatakan oleh pemimpin Umno/BN tidak berlaku pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.


Ini, ujarnya kerana tidak berlaku pengurangan undi kepada calon Pakatan Rakyat daripada PKR, Datuk Zaid Ibrahim.


"Walaupun kelihatan pimpinan BN gembira, namun bagi saya keputusan pilihanraya kecil ini tidak menggembirakan mereka. Mungkin gembira dalam gelisah.


"Kalau alasan yang mereka gunakan bahawa ini tanda satu angin perubahan rakyat Hulu Selangor kepada BN daripada Pakatan Rakyat, ia tidak berlaku sebenarnya. Ini kerana calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim tidak mengalami pengurangan undi berbanding tahun 2008," katanya.


Pada pilihan raya kecil itu, Zaid mendapat 23,272 undi berbanding 23,177 yang diperolehi allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad pada pilihan raya umum lalu, yang berjaya menewaskan Datuk G Palanivel dengan majoriti 198 undi.


Beliau juga berkata, bantuan media arus perdana berkempen untuk BN termasuk menyerang peribadi Zaid, tidak menjejaskan undi kepada PKR seperti yang diharapkan mereka.


"Media memainkan peranan dalam isu lompat melompat dalam PKR di Hulu Selangor, tidak ada kesan sebenarnya. Fitnah terhadap Zaid pun tidak ada kesan. Yang ada kesan ialah faktor lain yang menaikkan undi kepada BN," katanya.


Menurut Mustafa, kempen BN yang begitu hebat kepada rakyat Hulu Selangor menyebabkan mereka dapat menawan kembali pengundi yang memprotes calon BN pada tahun 2008, G Palanivel.


"Tahun 2008 banyak undi rosak kerana ada orang Melayu dan India yang tidak begitu senang dengan calon BN, G Palanivel dan mereka tidak keluar mengundi dan merosakkan kertas undi.


"Kali ini mungkin dengan kempen yang begitu hebat, tiga tokoh utama BN, Najib, Mahathir dan Muhyiddin turun sekaligus berkempen ,bermaksud mereka begitu terdesak untuk memenangi pilihan raya kecil ini.


"Pertambahan 2,000 undi yang diperoleh BN kali ini datang daripada undi yang rosak itu, yang dulunya satu protes, mereka sebahagiannya balik semula kepada BN.


“Yang keduanya undi pos. Mereka memperoleh majoriti 600 undi pos. Yang selebihnya mereka menggerakkan pengundi luar yang komited kepada BN untuk balik mengundi,” ujarnya.


Selain itu katanya, BN memberikan tumpuan kepada kawasan Felda, kawasan Orang Asli dan orang India.


"BN menumpukan kepada kawasan tradisi iaitu Felda, boleh dikatakan seluruh Felda dimenangi oleh BN. Orang Asli pula dilonggokkan di satu kawasan. Saya fikir perubahan tempat mengundi yang dikeluarkan SPR bagi membolehkan BN mengawal undi mereka.


"Dengan kemiskinan yang dihadapi Orang Asli, sudah tentu mereka termakan dengan apa yang diberikan BN. Undi India juga majoriti berpihak kepada BN," katanya.

Friday, April 23, 2010

Hulu Selangor: PR/BN menang tipis?

Wan Nik Wan Yussof
Berdasarkan pengalaman Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh Ogos 2008, strategi kempen yang menyerang peribadi calon parti KeADILan, DS Anwar Ibrahim ternyata memakan tuan. Barisan Nasional telah kalah teruk, dengan ketinggalan sebanyak 16,127 undi. Antara isu utama yang digunakan menyerang peribadi Anwar ialah isu liwat Saiful, pengkhianat Negara, agen Yahudi dan menggunakan bekas orang kanannya, Ezam menghentam Anwar dari segenap penjuru.
Pun begitu, kesemua strategi Barisan Nasional itu dilakukan dalam lingkungan medan tempur parlimen Permatang Pauh adalah kubu kuat Pakatan Rakyat, terutama di DUN Permatang Pasir yang juga kubu kuat PAS.

Dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor pula, pihak Barisan Nasional tetap menggunakan strategi kempen yang sama dengan Permatang Pauh, iaitu menyerang peribadi calon terhadap Datuk Mohd Zaid Ibrahim dari Pakatan Rakyat. Antara isu utama yang digunakan menyerang Zaid ialah isu minum arak, berjudi dan bukan anak tempatan. Di samping menggunakan juga isu agama dengan mempertikaikan amalan beragama Zaid yang disabitkan dengan penolakan hudud dan pemikiran liberalnya.

Namun, senario tempatan antara Hulu Selangor dengan Permatang Pauh adalah berbeza. Bila mana Hulu Selangor adalah kubu Barisan Nasional. Meskipun kubu itu pernah robek pada pilihan raya umum 2008 lalu.

Sehubungan itu, berdasarkan pemerhatian dan penelitian terhadap strategi kempen kedua-dua belah pihak, maka ada dua jangkaan keputusan yang boleh dipaparkan untuk Pakatan Rakyat. Pertama kekalahan tipis dan satu lagi kemenangan tipis untuk Pakatan Rakyat.



Berpandukan prestasi Pakatan Rakyat pada pilihan raya lepas (lihat Jadual 1), modal undi parlimen Pakatan Rakyat hanya 23,177. Daripada jumlah ini 3,285 disumbangkan oleh undi peribadi calon. Ini kerana modal undi Pakatan Rakyat di DUN-DUN hanya 20,108 sahaja.

Berdasarkan gambaran sokongan kalangan pengundi mengikut kaum, pada pilihan raya umum 2008 Pakatan Rakyat mendapat kira-kiranya Melayu 46 peratus, Cina 70 peratus, India 34 peratus dan pengundi Asli 25 peratus.

Jika pecahan sokongan antara kaum ini berkekalan maka Pakatan Rakyat akan mencapai kekalahan tipis seperti gambaran analisis data berikut (Jadual 2).

Di antara faktor yang memungkin berlaku kekalahan tipis ialah calon BN akan mendapat undi simpati lebih tinggi berbanding calon Pakatan Rakyat. Ini disebabkan calon BN dilihat rapat dengan pengundi dan belum pernah menjadi wakil rakyat dan tiada isu-isu peribadi. Berbeza dengan Zaid yang pernah menduduki parlimen dan kabinet, dan dilihat sebagai orang luar serta mempunyai banyak isu kontroversi.

Andaian keluar 75 peratus, dalam keadaan Pakatan Rakyat mendapat sokongan pengundi Melayu 45 peratus, pengundi Cina 75 peratus, pengundi India 35 peratus dan sokongan pengundi Asli 25 peratus. Maka Pakatan Rakyat akan mencapai kemenangan tipis seperti analisis keputusan yang berikut (Jadual 3):

Di antara faktor yang memungkinkan sokongan tinggi kalangan pengundi Cina adalah disebabkan pengaruh peribadi Zaid, kegagalan MCA berperanan selepas berlaku krisis dalaman dan peranan DAP di dalam memantapkan sokongan. Tidak kurang juga keupayaan melonjakkan undi kalangan pengundi bukan Melayu disebabkan peranan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz yang bertemu pengundi baru Cina dan India pada saat akhir kempen.

Pada sudut pandangan yang lain pula, ada penganalisis meletakkan ukuran Barisan Nasional boleh menang selesa apabila berupaya mengepung pengundi Melayu melalui pelbagai pendekatan. Antaranya taburan janji, habuan duit poket dan politik paksa yang berupaya memukau pandangan pengundi serta membelakangkan sumbangan kebajikan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor seperti tabung warisan anak Selangor, skim mesra usia emas dan bekalan air percuma pada had 20 meter padu serta beberapa program lagi di bawah merakyatkan ekonomi Selangor.

Berpandukan pilihan raya kecil Permatang Pauh, kelebihan atas nama kerajaan negeri dikuasai Pakatan Rakyat, sedikit sebanyak boleh mengimbangi strategi Barisan Nasional yang berkempen menggunakan jentera kerajaan. Keyakinan rakyat dapat menerima dan terikat dengan program kebaijkan yang ditawarkan. Ia adalah kekuatan yang boleh menawan hati sebahagian pengundi, khasnya pengundi atas pagar dan peneroka Felda. Kesemua faktor ini memungkinkan Pakatan Rakyat mencapai kemenangan tipis.

Walau bagaimanapun, kesemuannya bergantung kepada kempen saat akhir pada 24 April. Hanya Tuhan Yang Esa sahaja yang maha menentukan. Manusia sekadar berusaha dan bertawakal.

Penulis ialah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan merangkap Timbalan Pengarah 1, JPN PAS Kelantan

Tok Guru Nik Aziz ajak pengundi undi Dato Zaid

;
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat menyifatkan tindakan menyerang peribadi calon PKR Datuk Zaid Ibrahim sebagai perbuatan "orang yang tidak ada modal" untuk berkempen dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

Mursyidul am PAS itu menyifatkannya sebagai satu "kerja bodoh dan kebudak-budakan".

"Calon ini (Zaid adalah) calon parti, Kalau Umno ada modal, serang parti lah, jangan serang tubuh (peribadi individu). Ini kerja bodoh, ini kerja budak-budak.

"Ini calon parti. Parti A dan Parti B. Parti A lawan Parti B. Parti B lawan parti A. Jangan serang peribadi.

"Macam budak budak kecil lah, kalau dia boleh bertumbuk, dia bertumbuk. Kalau tak boleh bertumbuk, dia jebeh (menjelir lidah), dia meludah. Itu semata-mata nak lepas geram, tanda dia tak boleh jawab," katanya sambil menjelir lidahnya sedikit menyebabkan kira-kira 50 wartawan termasuk hadirin ketawa.

Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita berhubung perbuatan menyerang peribadi Zaid yang didakwa seorang peminum arak tegar dan berjudi, dalam kempen pilihan raya.

"Ini satu perkara yg memalukan. Memalukan politik Malaysia," katanya di Kuala Kubu Baharu malam ini.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Zaid, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pemimpin DAP Lim Kit Siangdan naib presiden PKR Azmin Ali.

Dalam sidang media yang sama juga, Nik Aziz turut menempelak Jabatan Agama Islam (JAIS) yang melarang pemimpin politik berceramah di masjid untuk kepentingan politik.

"Siapa ajar tak boleh cakap politik dalam masjid. Allah memerintah manusia dengan keadilan. Keadilan ada urusan politik, dibaca dalam al-Quran, dalam masjid," katanya sambil membaca sepotong ayat al-Quran.

"Allahu Akbar, kita azan, ini politik. Mengajak orang ramai pergi ke masjid, ini politik... Ini kerja-kerja saki baki ajaran penjajah barat yang mengasingkan ajaran agama dan politik... Ini adalah ajaran karut yang ditinggalkan oleh Inggeris yang diterima oleh manusia Muslim. (Saya) rasa dukacita," katanya.

Dalam sidang media yang sama, Zaid yang juga bekas menteri kabinet menjelaskan bahawa beliau amat menghormati kealiman dan ketinggian ilmuan menteri besar Kelantan itu.

Menurutnya, beliau amat terharu apabila Nik Aziz menelefonnya sebanyak dua kali dari Mekah, memintanya bersabar ketika berdepan dengan serangan peribadi terhadapnya di Hulu Selangor

Thursday, April 22, 2010

Umno-BN cukup gerun jika Zaid menang?

Mengapa
Angkasanuri
Sehingga hari ini Umno-BN seperti hilang arah dan pertimbangan berhadapan dengan Datuk Zaid Ibrahim di Hulu Selangor.

Mereka tidak boleh menerima kekalahan di Hulu Selangor. Kekalahan di Hulu Selangor akan menjadi mala petaka besar kepada Umno-BN dan kerajaan 1Malaysia dan bakal membawa reformasi besar senario politik dalam negara.

Kekalahan di Hulu Selangor lebih perit untuk dihadapi dan diterima oleh Umno-BN berbanding kekalahan dalam pilihanraya kecil lain pasca pilihanraya umum lalu termasuk kekalahan dalam pilihanraya kecil di Permatang Pauh.

Ini kerana kekalahan di Hulu Selangor bermakna dengan sendirinya 1Malaysia gagal. Bermakna rakyat mengakui dan menerima bahawa 1Malaysia diresapi oleh pengaruh Yahudi seperti yang didedahkan di parlimen dan rakyat di Hulu Selangor oleh Dato Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan Pakatan Rakyat.

Ini juga bermakna kerana orang Melayu dan umat Islam di negara ini cukup sensitif dengan isu kekejaman dan kezaliman golongan Yahudi dan kuncu-kuncunya. Maka sesiapa yang menjalin hubungan dan kerjasama dengan yahudi pasti akan menerima bala dan musibah.

Kemenangan Zaid Ibrahim juga amat ditakuti kerana ini akan menilai sejauh mana rakyat Hulu Selangor khasnya dan rakyat Malaysia amnya termakan dengan terpengaruh dengan cerita sodomi 2 yang sedang rancak dibicarakan di mahkamah.

Di samping itu kemenangan Zaid Ibrahim juga akan memberi mesej yang cukup jelas bahawa isu wakil rakyat lompat parti tidak memberi kesan kepada sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat.

Sekaligus akan memberi isyarat kepada wakil rakyat yang telah melompat parti atau memasang niat untuk melompat agar membatalkan hasrat mereka.

Kecualilah wakil rakyat berkenaan memang tidak mempunyai akal dan perasaan serta telah gelap mata dengan pelbagai tawaran dan ganjaran.

Bagi saya, kemenangan Zaid juga bakal merencatkan hasrat Umno-BN untuk terus menggunakan serangan peribadi khususnya kepada Anwar Ibrahim dalam pilihanraya akan datang.

Kalau dilihat perkembangan terbaru di Hulu Selangor,Umno-BN cukup menggila melancarkan serangan peribadi untuk membunuh karektor Zaid Ibrahim di kalangan rakyat dan pengundi di Hulu Selangor.

Justeru itu saya tidak hairan dan pelik melihat Perdana Menteri 1Malaysia sendiri terpaksa turun berkempen habis-habisan di Hulu Selangor walaupun masih kepenatan baru pulang dari luar negeri. Amat jarang berlaku dalam pilihanraya kecil Perdana Menteri terpaksa turun berkempen untuk memenangkan calon BN.

Jika PM tidak berhabis-habisan di Hulu Selangor bermakna Umno-BN akan 'habis' dalam pilihanraya umum akan datang.

Thursday, April 1, 2010

MEB: PAS bantah hapus kuota Bumiputera, bukan Bumiputera


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 April: PAS menolak sebarang usaha untuk menafikan kuota Bumiputera dan bukan Bumiputera yang jelas menghina kedaulatan negara dan seluruh warga negara ini.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad terkejut dengan pendedahan Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Tan Sri Amirsham A Aziz yang mengakui bahawa Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin akan menghapuskan kuota pemilikan termasuk Bumiputera.

Tambahnya, tahun lepas Perdana Menteri mengumumkan Dasar Liberalisasi Ekonomi negara di mana kerajaan menurunkan pegangan ekuiti Bumiputera daripada 30 peratus kepada 12.5 peratus dan menurunkan ekuiti bukan Bumiputera daripada 25 peratus kepada 12.5 peratus.

Seterusnya, kata beliau pegangan ekuiti asing telah ditingkatkan daripada 49 peratus kepada 70 peratus, serta pemansuhan FIC dan Penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) manakala nilai hartanah yang boleh dibeli oleh warga asing pula ditingkatkan daripada RM250,000 kepada RM500,000.

“Dengan pendedahan Pengerusi MPEN itu, bermakna kuota 12.5 peratus Bumiputera dan bukan Bumiputera akan terhapus sama sekali. Secara ekonominya, saham-saham syarikat di Malaysia sudah boleh dimiliki oleh pelabur asing 100 peratus,” ujarnya.

PAS, katanya menganggap MEB adalah dasar yang jelas menindas rakyat dan akan menyebabkan rakyat di negara ini akan menjadi 'hamba' yang bekerja keras untuk kepentingan individu dan pelabur asing di masa hadapan.

Baginya, pengkhianatan Umno/BN yang menghapuskan kuota Bumiputera dan bukan Bumiputera itu tidak boleh dimaaf.

“PAS mencabar ahli Umno dalam Perkasa untuk bangkit menentang dasar ini dan mengembalikan hak Bumiputera dan rakyat bukan Bumiputera di negara ini untuk menguasai kuota 30 peratus dan 25 peratus,” ujarnya lagi.

Tegasnya, PAS yakin kalau perkara penghapusan kuota Bumiputera itu disuarakan oleh pimpinan Pakatan Rakyat maka akan berlakulah demonstrasi jalanan oleh abdi Umno dari kalangan NGO dan pembodek Umno.

“Tetapi apabila yang mengeluarkan idea ini tuan kepada hamba-hamba moden di negara ini, maka suara mufti Umno dan profesor Umno macam cicak makan kapur.

“PAS yakin bahawa keputusan ini banyak dipengaruhi oleh beberapa pihak lain yang dilantik sebagai perunding atau penasihat Kerajaan Malaysia,” katanya.

Beliau menambah, tidak mustahil syarikat-syarikat yang dikuasai Yahudi akan masuk ke negara ini melalui proksi mereka dan mengambil alih aset-aset penting negara seperti Pos Malaysia yang sedang dalam proses penjualan sekarang.

Katanya lagi, jelas dasar yang tidak dibentang di Parlimen itu juga adalah satu dasar yang dipaksakan kepada rakyat dan membelakangi mandat rakyat.

Beliau berkata, seharusnya dasar sepenting itu dibentang di Parlimen kerana rakyat mahu tahu kerangka nasional yang ada dalam dasar itu.

“Umno/BN dilihat sedang menjual negara dan hilang semangat patriotisme melalui dasar yang menafikan kepentingan rakyat di negara ini,” ujarnya.

Menurutnya lagi, Malaysia tidak kekurangan pelabur dan pemodal tempatan, seharusnya kuota itu dikekalkan bagi memberikan peluang kepada mereka agar tidak melabur di luar negara.