Tuesday, March 30, 2010

APCO: Perjanjian dibuat sebelum konsep 1Malaysia dilancarkan



KUALA LUMPUR, 30 Mac: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Isreal, APCO Inc, sebelum konsep 1Malaysia diperkenalkan.

Beliau turut mengemukakan dua perjanjian untuk menyokong dakwaannya - satu perjanjian antara APCO dan kerajaan Malaysia. Yang satu lagi ialah perjanjian antara kerajaan Israel dengan APCO ketika Ehud Barak mengetuai angkatan tentera Israel.

Kedua-dua perjanjian ini menghasilkan konsep 1Malaysia dan One Israel.

Katanya lagi, kontrak dengan APCO ditandatangani pada 4 Ogos 2009 dengan tugas khusus untuk memperbaiki imej Malaysia di luar negara.

"Ini aneh bagaimana kerajaan tandatangan dengan syarikat. Ia disaksikan setiausaha akhbarnnya sendiri, Datuk Sharifuddin Ahmad. Biasanya (kontrak) ditandatangi oleh pegawai kerajaan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menuntut supaya kerajaan segera membatalkan kontrak perkhidmatan APCO Inc dan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat skandal yang disifatkan sebagai mencalar maruah negara.

Ahli parlimen Permatang Pauh itu membuat penjelasan demikian di dewan rakyat hari ini sebagai menjawab perkara yang dibangkitkan Datuk Abd Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) di bawah perkara 37(1) yang dibacakan sekali dengan perkara 36(12) peraturan mesyuarat minggu lalu.

Timbalan speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar kemudiannya berkata, usaha untuk merujuk Anwar ke jawatankuasa itu perlu dibuat secara usul untuk dijadikan sebagai salah satu daripada aturan mesyuarat.

APCO DI KUALA LUMPUR

Menurut Anwar, sebelum APCO beroperasi sepenuhnya di Kuala Lumpur, tokoh-tokoh pentingnya sudah bertugas untuk kerajaan Malaysia di bawah syarikat Mindteam Sdn Bhd.

Paul Stadlen yang menjadi pengarah Mindteam kini adalah CEO kepada APCO di Kuala Lumpur manakala Margaret Kraus adalah CEO APCO Worldwide.

“Sekarang CEO APCO adalah individu yang banyak terlibat dalam banyak urusan di Israel,” kata Anwar.

Anwar mendedahkan syarikat APCO Worldwide merupakan sebuah firma pelobi yang ditugaskan untuk membaiki imej pemimpin yang rasuah dan buruk dari segi hak asasi.

"Apa fungsi firma pelobi di Washington? Selalunya mereka akan mengaturkan perjumpaan atau seminar untuk membaiki imej sesebuah organisasi; terutamanya pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod hak asasi atau rasuah yang buruk di mata dunia.

"Jadi, fungsi utama mereka adalah untuk membaiki imej pemimpin-pemimpin (atau badan-badan) yang mempunyai rekod yang tidak baik," katanya.

Tambahnya , khidmat APCO juga digunakan oleh Israel pada 1992 oleh perdana menterinya Ehud Barak bagi menjayakan 'One Israel'.

Manakala Malaysia pula menggunakan khidmat APCO bermula 4 Ogos 2009 dengan bayaran kira-kira 20 juta ringgit.

BAGAIMANA APCO MASUK

Beliau juga membawa satu laporan portal berita yang mendakwa APCO diperkenal kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak oleh penasihat Najib, Omar Mustapha melalui sebuah syarikat perunding Ethos & Consultancy.

"Seorang penasihat APCO ditempatkan di pejabat Perdana Menteri sejak awal Perdana Menteri ambil alih jawatan.

"APCO juga didakwa terlibat secara langsung dalam menentukan pentadbiran 100 hari Najib seperti gagasan 1Malaysia," katanya lagi.

Menurut Anwar, sehingga kini Najib belum pun memberi sebarang maklum balas terhadap gesaannya agar segera mendedahkan serta memperincikan bentuk hubungan di antara kerajaan dan APCO, apa skop tugasannya, jumlah peruntukannya, setiap penasihat yang terbabit; peranan serta pengaruh mereka dalam kerajaan.

Apa yang dibimbangi jelasnya kenyataan APCO sendiri yang menjelaskan bahawa mereka memainkan peranan penting membentuk strategi komunikasi kerajaan dalam dasar-dasar penting terutamanya yang melibatkan rakyat.

"Sekarang, kebimbangan kita bukan sahaja latar belakang APCO, tetapi bentuk penglibatan APCO dengan kerajaan Malaysia dan apakah maklumat yang telah dikongsi oleh kerajaan dengan APCO," katanya lagi.

Beliau juga mendedahkan tiga tokoh utama Israel di dalam APCO iaitu Doron Bergerbest-Eilon, Ittamar Rabinovich dan Shimon Stein di mana ketiga-tiga tokoh ini adalah tokoh kanan rejim Zionis.

Doron Bergerbest-Eilon adalah Ketua Bahagian Keselamatan dan Perlindungan, Agensi Keselamatan Israel (Israel Security Agency).

Itamar Rabinovich adalah Duta Israel ke Amerika Syarikat, dan Shimon Stein adalah bekas duta Israel ke Jerman.

Menurut Anwar kedua-duanya adalah jawatan diplomatik paling kanan dan hanya tokoh paling kanannya sahaja yang menjawat jawatan tersebut.

MODUS OPERANDI APCO

Selain mendedahkan modus operandi APCO, Anwar juga memberitahu APCO sebagai firma pelobi banyak bergantung kepada kemampuannya menangkis soalan-soalan mengenai peranan dan penglibatannya dengan badan yang melantiknya, terutamanya pemimpin-pemimpin yang berimej buruk ini.

Sebab itulah jelasnya, tidaklah sukar untuk Barisan Nasional ingin mengabui mata rakyat dengan meminta APCO mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan dalam 1Malaysia, atau peranan sebenar dengan kerajaan Malaysia.

Mengulas lanjut, Anwar seterusnya mendedahkan APCO dalam operasinya membentuk pertalian dengan kerajaan-kerajaan yang melantiknya menggunakan firma bersekutu (associates) di seluruh dunia seperti Asero dan Global Political Strategies.

"Di Israel, salah satu firma bersekutu adalah Asero Worldwide yang diketuai oleh Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel dengan berpangkat Mejar Jeneral.

"Beliau juga adalah salah seorang penasihat antarabangsa kepada APCO," tambahnya lagi.

Sehubungan itu jelasnya, kontrak-kontrak yang melantik APCO tidak semestinya di antara APCO dan kerajaan semata-mata.

Kerajaan katanya boleh sahaja melantik firma bersekutu APCO tetapi tenaga pakar dan jaringan penasihatnya serta jaringan sekutunya adalah dari APCO.

Beliau mengemukakan contoh negara Israel, yang mana lantikan dibuat melalui Asero Worldwide.

Kontrak lantikan bertarikh 9hb Januari 1992 itu adalah di antara kerajaan Israel dan sebuah firma bersekutu bernama GCI International.

Namun jelasnya apabila diteliti kandungan perjanjian tersebut termasuk tenaga utama yang akan menjalankan tugas-tugas melobi, salah seorang pengurus kanannya adalah Margery Kraus yang kini merupakan CEO APCO.

"Bolehkah Perdana Menteri menerangkan adakah sebelum Ethos atau Omar Mustapha; yang dikatakan bertanggungjawab membawa gagasan 1Malaysia bagi pertimbangan Perdana Menteri; Omar Mustapha atau mana-mana eksekutif Ethos tidak mempunyai apa-apa hubungan langsung dengan mana-mana individu yang ada kaitan dengan APCO?

Perdana Menteri juga jelasnya perlu menerangkan adakah kerajaan atau Ethos atau mana-mana firma yang dilantik kerajaan; pernah melantik Mind Teams Sdn Bhd iaitu nama syarikat sebelum APCO secara rasmi bertapak di Kuala Lumpur.

"Paul Stadlen yang kini mengetuai APCO di Kuala Lumpur merupakan individu sama yang menandatangani perjanjian bagi pihak Mind Teams Sdn Bhd dengan Kerajaan Malaysia.

"Antara pengarahnya juga adalah Margery Kraus; CEO APCO dan invidu penting yang terlibat dengan akaun di Israel", jelasnya lagi.

Rekod APCO katanya menunjukkan hubungan rapat dengan pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod hak asasi manusia atau penyelewengan harta rakyat di seluruh dunia.

APCO katanya lagi, banyak memberi khidmat untuk memulihkan imej pemimpin-pemimpin sebegini yang menindas rakyat di negara masing-masing.

Tambahnya lagi, akhbar The Times of India menulis APCO mempunyai diktator-diktator di dalam senarai pelanggannya .

Rencana tersebut menyenaraikan antaranya Adolf Hitler, Narendra Modi, Sani Abacha, Nursultan Abishuly Nazarbayev dan Mikhail Khodorkovsky yang didakwa ada kaitan dengan mafia.

"Soalan saya kepada Perdana Menteri – jika ini reputasi dan rekod APCO yang diketahui umum; apakah mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat melalui perlantikan APCO sebagai perunding kerajaan?

"Apakah pentadbiran Perdana Menteri mengakui bahawa Perdana Menteri dan partinya Umno adalah setaraf dengan rejim-rejim diktator di dunia; sehinggakan khidmat APCO yang selama ini membaiki imej diktator perlu digunapakai?" soalnya lagi.

Friday, March 19, 2010

Najib puji diri sendiri

part 1

Part 2

- Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim [ PKR Permatang Pauh ] membahaskan Titah Diraja pada 17 Mac 2010.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir Datuk Seri Najib Razak kerana memuatkan pujian kepada diri sendiri dalam teks titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong sewaktu merasmikan sidang parlimen dua hari lalu.

“Jarang berlaku dalam ucapan titah Yang Di Pertuan Agong, perdana menteri secara peribadi memuji dirinya sendiri,” sindir Anwar tengah hari tadi sambil disambut gelak ketawa oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di dewan Rakyat.

“Jarang berlaku dalam ucapan titah Yang Di Pertuan Agong, perdana menteri secara peribadi memuji dirinya sendiri,” sindir Anwar tengah hari tadi sambil disambut gelak ketawa oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di dewan Rakyat.

Dalam nada yang jenaka, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh menasihatkan Najib supaya memuatkan ucapan penghargaan kepada Umno BN kerana berjaya mengekalkan kuasa dalam kerajaan.

“Tanpa rasa malu Perdana Menteri memuji dirinya sendiri, selalunya diletakkan tahniah kepada kerajaan kerana menang pilihan raya, itu kebiasaannya,”

Disebabkan Speaker Dewan Datuk Donald Kiandee tidak menghalang seloroh itu, Anwar terus membaca teks titah ucapan yang dimaksudkan beliau.

“Para pemimpin hendaklah mencontohi Memanda Perdana Menteri (Najib),” kata Anwar.

Tambah Anwar lagi, sidang kali ini turut mencipta sejarah apabila Datin Seri Rosmah Mansur, iaitu isteri kepada Perdana Menteri turut dipuji secara peribadi dalam titah ucapan tersebut.

“Bukan setakat itu tuan speaker, inilah kali yang pertama dalam sejarah di mana dalam Titah Diraja, suatu pujian khusus pada insiatif yang dibuat oleh isteri perdana menteri,” sindir Anwar lagi.

“Berikutan kejayaan program Permata Negara, Permata Pintar, Permata Seni, Permata Insan Permata Remaja, Ini Permata yang memang menjadi projek istimewa si isteri jelita,” kata Anwar lagi.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, teguruan khusus kepada perdana menteri itu bukanlah bermakna memperkecil titah ucapan DYMM Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin.

Menurut beliau, konsep raja berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia bermakna kerajaan yang memerintah menyediakan titah ucapan yang kemudiannya disemak dan diperkenan oleh seorang Yang Dipertuan Agong.

Maka, kata Anwar, Najib selaku ketua kerajaan bertanggungjawab menyediakan draf ucapan titah ucapan tersebut.

Tindakan Najib itu tegasnya sekaligus boleh merosakkan imej dan tradisi raja berpelembagaan yang selama ini dilaksanakan di Parlimen.

Beliau juga menasihatkan kerajaan supaya tidak mengulangi perbuatan serupa di Dewan Rakyat yang mulia itu.

“Ini yang nak saya perbetulkan supaya pujian-pujian pada diri sendiri seperti ini tidak lagi berulang,” tegas Anwar.

Difailkan dalam: Ucapan

Monday, March 15, 2010

Dialog Rakyat



Wang Ehsan Punca Rasuah, Salah Guna Kuasa
Friday, 19 March 2010 11:44 WartawanBuletin
E-mail Print PDF

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita23/dailogkuli.JPGBatu Burok, KUALA TERENGGANU – Ahli Parlimen Gua Musang, YBM Tengku Razaleigh Hamzah berkata pemberian wang ehsan adalah punca amalan rasuah dan salah guna kuasa pemimpin Umno.


Bercakap dalam Majlis Dailog anjuran Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu disini semalam, bekas pengerusi dan pengasas Petronas ini tidak mengesahkan banyak salah guna kuasa berlaku ekoran penyaluran wang ehsan.

“Saya dengar khabar kerajaan Terengganu sekarang (pimpinan Umno-BN) tidak mahu menerima (baki wang ehsan) sebab (mereka) tidak mahu menerima akaun macam mana duit (penyaluran wang ehsan) telah dibelanjakan tempoh hari, sepanjang lima tahun lalu.

“Sebab itu (wujud) banyak salah guna kuasa... buat itu, buat ini. Semuanya runtuh, tak kekal pun,” katanya merujuk kepada kejadian bangunan rosak dan runtuh yang berlaku di negeri kerajaan.

“Jadi kita kena ingat banyak duit, barangkali diguna sebagai upah, rasuah, banyak harga barang dinaikkan kerana dicuri duit, nak curi duit... itu yang dinamakan wang ihsan,” kata beliau pada Dialog Perdana Isu Royalti dan Solat Hajat di Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini malam tadi.

Lebih 5,000 orang hadir ke majlis dialog semalam yang berlangsung di dewan utama TER yang mampu memuatkan kira-kira 2,000 orang, namun Pengerusi Majlis Dailog Cikgu Husin Ismail menganggarkan hampir 6,000 orang hadir dengan limpahan kehadiran sehingga memenuhi ruang legar di luar dewan.

Turut hadir Setiausaha Agung PAS Dato’ Mustafa Ali, GTimbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Ustaz Abu Bakar Chik dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan Dato’ Husam Musa yang juga pengerusi jawatankuasa khas isu royalti negeri itu.
Last Updated ( Friday, 19 March 2010 11:52 )

Wednesday, March 10, 2010

Sumpah Laknat Saiful tidak sah - Zahid Hamidi

Sumpah laknat yang dilakukan oleh Saiful Bukhari Azlan bahawa dia diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dulu rupanya tidak sah seperti yang diperkatakan oleh ramai tokoh ulamak Islam.

Malah, kami berjaya menjejaki satu video rakaman satu rancangan yang pernah disiarkan oleh Bernama TV tentang isu sumpah tersebut. Kenyataan telah dibuat oleh Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ketika itu iaiu Zahid Hamidi dengan jelas mengatakan bahawa sumpah hanya boleh dibuat selepas perbicaraan mahkamah.

Ini bermakna dalam kes liwat Saiful, sumpah yang dilakukan oleh beliau ternyata adalah satu sumpah main-main yang dilakukan dalam keadaan terdesak atas arahan pihak tertentu.

Malah, sumpah yang dibuat sehari sebelum hari pencalonan Pilihanraya Kecil Permatang Pauh dimana Anwar menjadi calon adalah sesuatu yang telah dirancang oleh pihak tertentu bagi memastikan mantan TPM itu tumbang di Permatang Pauh.

Maka atas alasan itu yang telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, bahawa sumpah perlu dilakukan selepas perbicaraan mahkamah maka ternyatalah Saiful kini berhadapan dengan laluan sukar untuk menyakinkan rakyat hatta puak-puak UMNO sendiri bahawa dia memang mangsa liwat.

Ini bermakna, Saiful sememangnya telah diupah oleh pihak-pihak tertentu untuk menjatuhkan maruah Anwar dan bukan seperti apa yang dikatakan oleh sesetengah penyokong fanatik beliau selama ini.

Terbukti, pemimpin UMNO sendiri tidak menerima sumpah Saiful yang dibuat sebelum perbicaraan mahkamah berjalan. Oleh itu, rakyat wajar melihat dan memberi sokongan padu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bakal berhadapan dengan permohonan Qazafnya di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pagi esok. Harapan kita, agar Allah akan memberi petunjuk kepada semua mereka yang berniat jahat untuk menzalimi pemimpin terbabit.






Sunday, March 7, 2010

NIK AZIZ: Harussani Mufti atau Mufta?


Nik Abdul Aziz Nik Mat

Terkilan saya apabila Mufti Perak, Sahibus Samahah Tan Sri Harussani Zakaria menyebut nama saya secara terbuka di khalayak. Samada di dalam mesyuarat atau persidangan dewan, menyebut nama seseorang dalam ucapan secara terbuka biarlah dengan kehadiran tuan punya badan.

Sekurang-kurangnya, bolehlah kata-kata tersebut disahkan atau dinafikan. Mufti bukan orang politik yang terdedah dengan kaedah menyerang atau diserang. Mengaitkan nama saya dalam kenyataan politik seorang yang bukan tokoh politik merupakan satu tingkah laku yang tidak beretika. Justeru, apabila mufti mengambil tindakan melagukan nama saya dengan irama politik, saya harus memberikan jawapannya.

Adil juga jika saya menukilkan dahulu sebahagian ucapan beliau di program Dialog Za’ba, Perpaduan Melayu: Cabaran dan Realiti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), minggu lepas. Antaranya beliau berkata,

“Kenapa Pas tidak boleh bergabung untuk membentuk kerajaan yang sudah pasti akan memperoleh majoriti 100 peratus Melayu memerintah.

“Saya telah berjumpa dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan dan berbincang hampir dua jam, pada awalnya beliau tidak bersetuju tetapi akhirnya dia kata idea itu bagus tetapi tidak dapat memberi keputusan kerana ia bergantung kepada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Saya maklumkan bahawa tidak berapa rapat dengan Hadi, jadi jika cadangan itu baik saya minta beliau (Nik Aziz) maklumkan kepada Hadi. Semasa dalam perjalanan balik iaitu berada di Cameron Highlands, Hadi telah hubungi saya dan bersetuju dengan cadangan itu.

“Tetapi Hadi kata dia tidak boleh buat keputusan kerana ia bergantung pada negeri iaitu Pesuruhjaya Pas Negeri (Ahmad). Saya juga telah hubungi Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din dan dia juga bersetuju,”

Saya ingin menyentuh berkaitan kenyataan yang menyebut beliau datang ke rumah saya. Benar atau tidak, terserahlah kepada khalayak. Bagi saya, ini di antara beliau dan saya. Cuma pertanyaan saya, tidakkah itu satu keterlibatan dengan politik? Sedarkah beliau bahawa kerajaan Perak yang dirampas dari tangan rakyat hari ini didokong oleh UMNO, sebuah parti yang meyakini bahawa politik dan agama tidak boleh bercampur? Dalam bahasa mudahnya, politik suku agama suku.

Jika mufti sendiri sanggup turun melaksanakan urusan berkaitan politik, ertinya beliau beranggapan tugasnya sebagai mufti meliputi tugas politik. Adakah bagi beliau, politik dan agama mesti selari, tidak boleh berpisah? Jika demikian, beliau telah mengiktiraf perjuangan PAS adalah benar. Jika tidak, kenapa libatkan diri dengan politik? Bukankah itu salah mengikut akidah UMNO?

Inilah yang diperjuangkan oleh PAS. Tegak berdirinya PAS dengan perjuangan menjadikan Islam sebaagai cara hidup. Tidakkah al-Quran sebuah kitab yang syumul? Isinya bukan sahaja akidah, bahkan soal ekonomi, politik, rumahtangga, psikologi dan kaunseling, semuanya ada di dalam al-Quran. Tidakkah ini merupakan tiang seri perjuangan PAS sejak sekian lama? Jika mufti Perak beranggapan politik dan Islam perlu selari, selangkah kaki beliau sepatutnya sudah berada di dalam PAS!

Jika beliau tidak berpandangan Islam dan politik perlu selari, tetapi terus terlibat dengan politik dengan jubah seorang mufti, maka dengan sendirinya beliau telah menjadi ejen. Dalam kes ini, beliau telah menjadi ejen UMNO. Hilang luruh kemuliaan seorang mufti kalau merelakan diri menjadi ejen. Apatah lagi menjadi ejen sebuah parti politik sekular.

Saya kira, jika seorang mufti yang menjadi ejen parti politik sekular, itu bukanlah lagi al-mufti (yang memberikan fatwa) tetapi al-mufta (yang diberikan fatwa). Cukuplah sekadar itu respon balas saya terhadap kenyataan beliau.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Pejabat Menteri Besar Kelantan.

21 Rabiul Awal 1431 / 7 Mac 2010