Thursday, December 31, 2009

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

RM800 juta: Kelantan warisi kes zaman Umno/BN


| Print | E-mail
Harakahdaily

KOTA BARU, Dis 31: Kerajaan negeri Kelantan terpaksa menghadapi dilema membayar ganti rugi RM800 juta kepada sebuah syarikat pembalakan apabila mewarisi keputusan pentadbiran Umno-BN sejak 35 tahun lalu.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa berkata masalah itu berpunca daripada pembatalan projek pada tahun 1975.

Bagaimanapun, Husam berkata, kerajaan negeri akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Mahkamah Tinggi Kota Baru semalam mengarah kerajaan negeri membayar gantirugi sebanyak RM800 juta kepada syarikat pembalakan Timbermine Sdn Bhd kerana melanggar syarat perjanjian mereka.

Ia merupa kes pampasan terbesar yang pernah dicatatkan dalam kes saman sivil di negara ini.

Kes itu dipercayai difailkan pada tahun 2004.

Husam Musa berkata, rayuan tersebut akan dibuat menerusi seorang peguam kanan.

“Biar pun mereka menang kes tersebut semalam, namun kerajaan bersetuju untuk membuat rayuan bagi mendapatkan keputusan di sebaliknya.

“Sepatutnya isu tersebut diselesaikan kerajaan negeri ketika itu (BN) memandangkan mereka telah membatalkan konsesi yang ditandatangani,” katanya pada persidangan media di Kota Darulnaim hari ini.

Media hari ini melaporkan kerajaan negeri diarah Mahkamah Tinggi Kota Bharu membayar RM800 juta kepada Timbermine Sdn Bhd kerana melanggar beberapa perjanjian yang ditandatangani 35 tahun lalu.

Jumlah ganti rugi itu termasuk RM560 juta bagi 30 peratus pemilikan syarikat dalam kawasan pembalakan seluas 112,000 hektar, ganti rugi khas RM13.6 juta, bayaran gaji pekerja yang diberhentikan (RM1.74 juta), faedah lapan peratus sejak 2004 berjumlah RM240 juta dan kos sebanyak RM200,000.

Husam berkata, syarikat itu menerima konsesi daripada kerajaan negeri pada 20 Julai 1964 untuk mengusahakan tanah di kawasan hulu Kelantan.

“Di kawasan itu juga ada aktiviti pengganas komunis. Dan saya difahamkan syarikat tersebut sanggup melakukan aktiviti pembalakan biar pun berlaku kesukaran.

“Kemudian semasa diperintah kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 18 Mac 1975 kerajaan telah membatalkan perjanjian tersebut,” katanya.

Menurutnya ekoran pembatalan tersebut, dalam tempoh sebulan syarikat telah menghantar surat melalui peguam bagi mencabar keputusan berkenaan.

Katanya, saman telah dilakukan syarikat tersebut kepada kerajaan negeri.

“Kemudian kerajaan negeri telah menubuh satu jawatankuasa berunding dalam tempoh tiga bulan selepas surat diterima.

“Jawatankuasa tersebut pada waktu itu dipengerusikan Menteri Penerangan dan Tugas-Tugas Khas, Tengku Ahmad Rithaudeen.

“Rundingan telah dijalankan pada 12 Julai 1975 dan hasil rundingan tersebut mereka telah bersetuju menyelesaikan masalah tersebut membayar ganti rugi sebanyak RM3.5 juta,” katanya.

Dan selepas itu ditubuh anak syarikat baru di mana kerajaan negeri mempunyai saham sebanyak 70 peratus dan Timbermine 30 peratus.

Persetujuan telah dicapai dan menteri besar telah menulis surat kepada syarikat.

Husam berkata, perkara itu berlanjutan di mana syarikat terbabit telah berurusan dengan kerajaan BN daripada 1982 sehingga 1989.

Bagaimanapun tambahnya, syarikat terbabit sekali lagi menghantar tuntutan mereka pada 2004 selepas kerajaan negeri bertukar tangan, katanya.

Husam berkata, masalah itu adalah perkara lama yang sepatutnya diselesaikan kerajaan negeri sebelum ini kerana mereka bertanggungjawab membatalkan konsesi.

Ditanya adakah kerajaan negeri terkejut dengan saman berjumlah RM800 juta, katanya kerajaan negeri akan membuat rayuan kes berkenaan.

“Biar pun pada peringkat awal kita kalah, namun kita akan bawa kes tersebut ke mahkamah lebih tinggi.

“Bukan bermakna sekarang kita kena bayar RM800 juta kerana rayuan akan dikemukakan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau juga memberitahu kerajaan negeri pernah membincangkan kes tersebut dalam mesyuarat Exco sebelum ini

Monday, December 28, 2009

Umno/ BN Kononnya Membela Rakyat, Tapi Yang Senang Adalah Wakil Rakyat !


DUNgun – Tindakan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said meminta rakyat memilih Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam majlis yang dianjurkan oleh kerajaan dibidas oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Ustaz Wan Hassan Ramli.

Menurutnya adalah tidak profesional sebagai seorang Menteri Besar meminta sokongan dari rakyat kepada partinya dalam majlis yang dianjurkan dengan peruntukan kerajaan.

”Sumbangan kepada rakyat adalah tanggungjawab kerajaan, ia menggunakan peruntukan kerajaan, duit rakyat, bukannya daripada duit parti,

”tidak munasabah sebagai seorang MB meminta rakyat menyokong partinya,”tegasnya ketika ditemui selepas Majlis Pemberian Sumbangan Pakaian Sekolah, di sini, Ahad 27 Disember.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Ahmad Said meminta ibu bapa yang hadir memilih Umn/BN dalam pilihanraya akan datang ketika berucap dalam satu Majlis anjuran Yayasan Terengganu baru-baru ini.

Sehubungan itu, kata beliau, walaupun PAS bukan sebuah parti yang memerintah namun wakil-wakil rakyatnya tetap memberikan sumbangan dan bantuan kerana ia adalah merupakan satu tanggungjawab

Oleh sebab itu, katanya, wakil-wakil rakyat PAS tidak hidup mewah kerana keutamaan dan kepentingan mereka adalah kepada rakyat.

Katanya, ia bukanlah satu ‘retorika’ yang hanya cakap-cakap kosong sebagaimana slogan yang dibawa oleh Umno dan BN, ‘Rakyat Didahulukan, pencapaian diutamakan’.

”Cuba kita tengok hari ini, bila bercakap bahawa keutamaan (adalah) kepada rakyat, tapi bila naik, yang senang pemimpin-pemimpin yang jadi wakil rakyat,

”lihat kereta masing-masing, lihat rumah masing-masing, lihat pakaian kemegahan masing-masing,

”tapi bila turun ke kampung (bertemu rakyat), (mereka berkata) kita akan bela rakyat, kita akan akan bela (orang) Melayu,”jelasnya

Justeru, beliau berkata, rakyat harus menilai parti yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat, atau parti yang berkhidmat dengan wang rakyat.

”Sebab itu sangat penting bagi kita (rakyat) menilai dan memilih (PAS) parti yang terus memberikan sumbangan walaupun tidak sebuah kerajaan, bayangkanlah kalau PAS menjadi kerajaan,”ujarnya ketika berucap dalam di Majlis tersebut.

Seramai 87 orang anak-anak Ibu Tunggal dalam DUN Sura telah diberikan sepasang pakaian sekolah, sempena pembukaan sessi baru persekolahan tidak berapa lama lagi.

Sunday, December 27, 2009

PAS akan siasat dalang disebalik demonstrasi


KUALA LUMPUR, 27 Dis: PAS telah mengarahkan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor menyiasat dalang disebalik sekumpulan pemuda yang mengadakan himpunan di hadapan pejabat perhubungan parti itu dibangunan Worldwide Shah Alam tengahari tadi.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali kepada Harakahdaily ketika beliau diminta mengulas perkembangan terbaru itu.

"Saya telah arahkan setiausaha perhubungan PAS Selangor untuk buat siasatan penuh siapakah dibelakang demo ini," katanya ketika dihubungi Harakahdaily lewat petang tadi.

Beliau juga diminta mengulas sama ada kumpulan yang menggelarkan diri mereka Gerakan penyokong dan pengundi PAS itu benar-benar dari PAS atau tajaan pihak tertentu.

Menurutnya,maklumat awal yang diperolehi mendapati tiada ahli atau mana-mana unit serta cawangan PAS terlibat dalam himpunan tersebut.

"Maklumat awal saya diberitahu tidak seorang pun ahli PAS, atau mana-mana unit atau cawangan PAS terlibat dalm demo ini," katanya lagi.

Pagi tadi 21 pemuda berkumpul di perkarangan pejabat perhubungan PAS Selangor bagi menyerahkan memorandum mendesak PAS mengakaji semula kedudukan mereka dalam pakatan rakyat Selangor.

Mereka kononya tidak berpuas hati terhadap pimpinan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang didakwa mengenepikan PAS dalam memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu.

Bagaimanapun memorandum tersebut tidak berjaya diserahkan siang tadi dan hanya akan diserahkan kepada Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali esok.

Dalam perkembangan sama, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dilaporkan menafikan penglibatan PAS dalam demonstrasi tersebut dan mendakwa ianya fitnah pihak tertentu yang mahu memecahbelahkan Pakatan Rakyat Selangor.

Sebelum ini, Harakahdaily menerima satu maklumat melalui sistem khidmat pesanan ringkas SMS, memaklumkan tentang perhimpunan tersebut yang akan diadakan hari ini.

"Datanglah beramai-ramai demi kepentingan Melayu...," sebahagian sms itu dipetik.

Bagaimanapun setelah diselidiki, sms itu datangnya dari salah seorang penggerak Umno negeri itu.

Satu sumber memberitahu Harakahdaily bahwa Umno dipercayai sedang menggerakkan satu perhimpunan kononnya untuk mendesak agar PAS Selangor keluar dari Pakatan Rakyat.

Friday, December 18, 2009

Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat esok


Harakahdaily
SHAH ALAM, 18 Dis: Esok, semua pemimpin kanan PAS, PKR dan DAP akan berhimpun dalam Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Turut menyertai mereka adalah 1,500 perwakilan iaitu 500 bagi setiap parti-parti yang bergabung di bawah payung Pakatan Rakyat itu.

Perhimpunan sehari suntuk bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang ini dijangka akan turut disertai oleh lebih 100 wakil pelbagai jenis media dari suluruh dunia.

Majlis ini akan dipenuhi dengan ucapan dan pelancaran beberapa perkara penting yang mengikat ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat itu.

(Gambar: Logo konvensyen pertama Pakatan Rakyat)

Kali ini, PKR menjadi sekretariat konvensyen ini di mana Setiausaha Agung PKR, Datuk Sallehudin menjadi pengarah konvensyen ini.

Sehubungan itu, beliau berikrar mahu menjadikan majlis ini seumpama kenduri Pakatan Rakyat yang akan dibuat dengan cara terbaik dan penuh warna warni.

Dipercayai, satu penyataan bersama Pakatan Rakyat akan dibentangkan dalam konvensyen ini untuk dijadikan panduan dan asas ikatan antara ketiga-tiga parti ini.

Antara kandungannya adalah:

1) Hentikan politik perkauman dan diskriminasi dalam semua dasar kerajaan dan perundangan.

2) Kembalikan keutuhan Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.

3) Bangunkan sistem ekonomi yang benar-benar untuk rakyat

4) Kembalikan makna persekutuan dalam mempertahankan hak-hak negeri.

5) Hapuskan ISA dan undang-undang yang menekan rakyat.

6) Hentikan tahun-tahun tanpa pelaburan dan perancangan yang buruk dalam pendidikan, pengangkutan dan kesihatan.

7) Bangunkan agenda keselamatan sosial

8) Perkasakan hak demokratik dalam budaya dan kepelbagaian budaya dan sastera.

Semua pemimpin kanan Pakatan Rakyat dijadualkan berucap. Antaranya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Lim Guan Eng di samping para pemimpin muda Pakatan.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz juga dijangka akan berucap menjelang konvensyen ini berakhir pada sebelah petangnya.

Yang menariknya, pada sebelah malamnya, ulama tersohor dunia Sheikh Dr Yusof Qardawy akan memberikan Syarahan Perdana di Masjid Negeri iaitu Masjid Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam juga

Tuesday, December 15, 2009

Nik Aziz sudi dilantik 'pemimpin rohani' Pakatan



Nik Aziz sudi dilantik 'pemimpin rohani' Pakatan
Jimadie Shah Othman & Andrew Ong
Dis 15, 09
3:48pm
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersedia dilantik sebagai 'pemimpin rohani' Pakatan Rakyat setelah gabungan parti pembangkang itu berjaya didaftarkan.

"Sekarang ini saya dilantik (sebagai) mursyidul am (PAS) oleh jawatankuasa agung (parti). Apa salahnya jika (dilantik) mursyidul am bagi Pakatan Rakyat, tidak ada apa (masalah)," katanya dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini.

"Hendak dengar (pandangan saya) terima kasih. Tidak (mahu) dengar, (kalau) kata tidak terima (cadangan saya), saya tanya balik, tidak terima kenapa?"

Nik Aziz diminta mengulas cadangan Datuk Zaid Ibrahim, seorang anggota biro politik PKR yang ditugaskan untuk mengukuhkan Pakatan, yang mengesyorkan Nik Aziz dilantik sebagai "pemimpin rohani" Pakatan.

Menulis di blognya pada 17 November lalu, bekas menteri itu berkata, syor itu ditimbulkan kerana Pakatan memerlukan seorang seperti tokoh kemerdekaan India, Mahatma Gandhi, yang tidak bercita-cita merebut jawatan perdana menteru, tetapi bergerak atas idealisme perjuangan.

Ditemui di pejabatnya di Kota Bharu, Nik Aziz berkata, sekiranya dilantik memegang jawatan itu, beliau akan bersikap terbuka walaupun cadangan-cadangannya mungkin ditolak.

"Jangan pula orang tolak (cadangan), kita marah. Itu tidak Islamik. Saya acapkali kata, kalau awak tolak Islam dan kalau awak boleh bawa hujah yang kukuh, saya pun tidak mahu Islam.

"Tetapi awak tolak Islam tanpa ada hujah, hanya begitu-begitu sahaja, mana boleh saya terima?" katanya, Khamis lalu.

Ditanya sama ada jawatan tersebut akan menambahkan bebannya yang sedia ada, Nik Aziz berkata, tidak mengapa selagi "menambahkan pengikutnya".

"Saya lebih suka pimpin orang Cina yang berfikiran terbuka daripada pimpin orang Melayu yang tertutup fikiran," tambahnya.

Friday, December 4, 2009

Wacana Perdana 12 Disember 2009

KOTA BHARU, 5 Dis: Mungkin tidak banyak berlaku, PAS, Umno, ilmuan dan ahli akademik boleh bersama duduk semeja dalam wacana ilmiah membincangkan hal hal tertentu khususnya persoalan agama.

Namun ianya sekali lagi akan menjadi realiti apabila Kerajaan Kelantan akan menganjurkan wacana membincangkan tajuk ‘Islam Di Malaysia: Realiti dan Harapan’.

Wacana tersebut akan membariskan Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah, Exco Pemuda Umno Malaysia, Affandi Yusof, bekas Setiausaha Agung PAS, Datuk Mohd Nakhaie Ahmad dan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Wacana yang dijadual berlangsung pada jam 9 malam, 12 Disember ini bertempat di Dewan Konvesyen Kelantan Trade Centre akan dikendalikan Pensyarah kanan di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusof bertindak sebagai moderator.

Wacana tersebut dianjurkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan,Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, kesemua kelengkapan dari aspek teknikal sedang giat diusahakan bagi memastikan ianya memberi kepuasan terbaik kepada pengunjung yang hadir.

“Pihak penganjur juga akan memasang dua skrin besar di perkarangan dewan tersebut bagi menampung orang ramai,” ujarnya di sini.

Dewan yang serba canggih tersebut boleh menampung sehingga 1,800 orang.

Beliau berharap wacana tersebut dapat dijadikan garis panduan dalam usaha memartabatkan Islam di negara ini.

“Kami menjemput orang ramai terutamanya ahli akademik, tokoh-tokoh politik dari pelbagai parti, pegawai-pegawai kerajaan negeri dan persekutuan menimba ilmu di wacana terseut” katanya.

Wacana itu akan disiarkan secara langsung melalui http://www.mykelantan.tv.

Nik Aziz: Kita doa sampai pecah perut



Jimadie Shah Othman
Dis 4, 09
11:22am
kemaskini 1.32pm Membalas bantahan sekumpulan penyokong Umno terhadap Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Selasa lalu, ribuan penyokong menteri besar itu hari ini mengadakan satu demonstrasi di Kota Bharu.

Perhimpunan itu diadakan di Jalan Dato' Pati bermula jam 10 pagi tadi, sejurus selepas kuliah mingguan tokoh besar PAS itu di depan pejabat perhubungan PAS Kelantan.

Para penyokong Nik Abdul Aziz memakai lilitan kepala warna merah bertulisan putih "We Love Tok Guru" sambil mendengar ucapan beliau, exco kanan kerajaan negeri Datuk Husam Musa, pemimpin Pemuda PAS Dr Rosli Alani Abdul Kadir dan beberapa pemimpin lain.

Dalam ucapannya, Nik Abdul Aziz antaranya menyifatkan penafian terhadap bayaran royalti minyak seperti dituntut kerajaan negeri sebagai "melanggar keadilan asasi".

"Perkara ini bercanggah dengan (prinsip) keadilan asasi. Selagi tidak bagi (royalti petroleum), kita doa sampai pecah perut orang itu," kata mursyidul am PAS, dengan sorakan para penyokongnya.

Nik Abdul Aziz mengaitkan perkara itu dengan bantahan masyarakat bukan Islam yang menentang peraturan kawalan arak ketika beliau baru memimpin Kelantan, 19 tahun lalu.

"Ada (ahli masyarakat) yang kata hendak buat pesta minum arak. Bila wartawan tanya saya (perkara itu), saya kata, bagi dia minum sampai pecah perut," katanya, disambut gelak ketawa penyokong.

Tambahnya, hasil penjelasan itu, semua pihak menyambut baik tindakan kerajaan negeri.

Selasa lalu, ratusan penyokong Umno, yang diketuai seorang pemimpin bahagian Pasir Mas, mengadakan demonstrasi di depan kompleks Kota Darulnaim bagi mendesak Nik Abdul Aziz memohon maaf kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung ugutan untuk berdoa bala terhadapnya.

Mereka, yang menggunakan nama Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan, juga mendesak menteri besar melepaskan jawatannya.

Nik Abdul Aziz menyatakan hasratnya untuk berdoa sedemikian sebagai reaksi terhadap keengganan kerajaan persekutuan menyerahkan bayaran royalti minyak kepada Kelantan, sebaliknya sekadar menyerahkan wang ehsan.

Sementara itu, mengulas kritikan terhadap kepimpinannya akhir-akhir ini, Nik Abdul Aziz berkata, serangan itu dibuat ekoran "rasa cemas" BN dalam usaha menutup masalah dalaman parti-parti komponennya.

"Dia (BN) hendak tipu budak-budak dengan hantu boleh. Tetapi hendak tipu pengundi Kelantan tidak boleh," katanya.

Perhimpunan sejam itu berakhir dengan laungan takbir para penyokongnya. Tiada sebarang perarakan dibuat, walaupun terdapat ura-ura mengenainya sebelum ini.

Kepemimpinan Nik Abdul Aziz akhir-akhir ini menerima pelbagai kritikan susulan beberapa isu, antaranya pelantikan menantunya Abdul Ariffahmi Ab Rahman sebagai ketua pengarah eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan tajaan haji daripada seorang kontraktor.

Anak syarikat kerajaan (GLC) itu juga sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung dakwaan berlakunya penyelewengan dan salah guna kuasa.

Belum reda isu itu, Nik Abdul Aziz menimbulkan pula kontroversi baru apabila mendakwa terdapat usaha menjatuhkannya yang didalangi oleh seorang pegawai tentera yang dikenali sebagai "Kolonel Mat."
http://www.malaysiakini.com/news/118983

Puluhan ribu rakyat berhimpun sokong Tok Guru


KOTA BHARU, 4 Dis: Pusat bandar Kota Bharu penuh sesak dengan kebanjiran lautan manusia menghadiri perhimpunan menyokong kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Apa yang jelas ia ratusan kali ganda lebih ramai berbanding demontrasi mendesak Menteri Besar Kelantan meletak jawatan di hadapan Kota Darulnamim Selasa lalu, kata Ketua Penerangan PAS, Ahmad Baihaki Atiqullah.

Biarpun cuaca redup dengan hujan sekali sekala lebat, ia tidak menghalang puluhan ribu rakyat Kelantan hadir menyatakan kasih dan sayang mereka kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Ada yang datang dari Besut, Gua Musang, Jeli, Kuala Krai dan negeri-negeri lain bagi meramaikan lagi perhimpunan tersebut.

Pelbagai sepanduk dapat dilihat, ada yang bertulis ‘Kita Sayang Tok Guru Kita’, ‘Kami Menyokong Kepimpinan Tok Guru Nik Aziz’, ‘Royalti bui-builah (bagi-bagilah)’ dan ramai yang memakai lilit kepala bertulis ‘We Love Tok Guru’.

Tidak kurang juga kelihatan ramai anggota polis yang terpaksa berkawal di sepanjang jalan.

Medan Ilmu di Jalan Tok Pati menyaksikan sokongan terhadap kepimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz tidak pernah surut.

Hadir sama anggota-anggota Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, Ketua-ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Datuk Mohamed Daud dan penduduk bukan Islam serta pemimpin KeADIlan negeri.

Lebih menarik lagi apabila pemimpin masyarakat Cina, India dan Siam turut berucap di hadapan ribuan yang hadir.

Ah Seng mewakili masyarakat Cina menyatakan kaum tersebut di Kelantan dapat hidup aman damai di bawah pemerintahan PAS yang dipimpinan Tok Guru.

“Masyarakat Cina berdiri teguh di belakang Tok Guru. Kami masyarakat Cina menentang keras usaha-usaha pihak lawan yang mahu menjatuhkan Menteri Besar,” katanya diikuti laungan takbir orang ramai.

Tharuman wakil masyarakat India juga menyatakan masyarakat India di Kelantan memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Tok Guru.

Ucapan dalam bahasa Tamil membuat orang ramai menjadi riuh rendah seketika.

Wakil institusi pondok tradisional di Kelantan, Ustaz Awang Yusof dari Pondok Gelang Mas, Pasir Mas secara terbuka meminta rakyat Kelantan tanpa mengira agama dan bangsa memberi sokongan padu kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Wakil KeADILan yang begitu bersemangat berucap berkata, ribuan rakyat yang hadir hari ini tidak dibayar sesen pun untuk hadir menyatakan sokongan kepada Menteri Besar.

“Tidak ada sebuah kerajaan yang bersih di negara ini kecuali Kelantan sepanjang ditadbir Tok Guru hampir 20 tahun,” ujarnya.

Beliau juga mencabar pemuda Umno berdebat pada bila-bila masa untuk membincang isu royalti yang menjadi hak milik rakyat negeri ini cuba dinafikan perdana menteri.

Thursday, December 3, 2009

Jom Sokong Tok Guru

Terima kasih kepada sesiapa sahaja yang mengadakan demonstrasi membantah Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Hasil dari perhimpunan terbesar dalam sejarah Kelantan itu semalam, akan diadakan pula perhimpunan berikut:


Jika anda tinggal di Kota Bharu atau tak jauh dari bandaraya bertuah itu dan anda pula menyokong sikap dan pendirian Tok Guru, anda mesti memastikan kehadiran anda.

Saya juga berharap anda tidak berasa dukacita jika jumlah perhimpunan anda tidak sehebat dan sebesar perhimpunan terbesar dalam sejarah Kelantan semalam yang dianjurkan oleh entah siapa, mungkin Umno....

Baca lagi :

* Tok Guru sudah Buat Yang Terbaik Untuk Kita Semua
* Wajib Mempertahankan Tok Guru Nik Aziz
* Himpunan sokong kepimpinan Nik Aziz esok

Untuk FORUM/DEBAT tajuk ini sila klik :

* tranungkite.net
* detikdaily.net

Wednesday, December 2, 2009

Perbalahan Umno Terengganu Jauh Dari Penyelesaian

Wednesday, 02 December 2009 10:39 WanKay
E-mail Print PDF

- Kehadiran Hishammuddin disambut ‘dingin’
KUALA NERUS - Umno Terengganu sebenarnya semakin ‘parah’ menghadapi krisis dalamannya yang melibatkan pimpinan peringkat negeri dalam dua kelompok.

http://buletinonline.net/images/stories/berita15/hishamkorban2.JPGMeski pun, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said masih berada di Mekah bagi menunaikan ibadat haji tetapi ‘seterunya’ bekas pemimpin nombor satu negeri, Dato’ Seri Idris Jusoh belum mahu ‘mengalah’.

Bahkan, Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein yang dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu juga gagal memulihkan krisis ‘dalaman’ tersebut.

Difahamkan, Hishammuddin juga sedikit sebanyak turut terpalit dalam krisis tersebut yang menyebabkan sebahagian pemimpin Umno di peringkat bahagian dan cawangan seolah-olah memboikot majlis yang dihadiri oleh Pengerusi Umno negeri ini.

Tinjauan yang dibuat ke Majlis Qurban Sempena Aidiladha bersama Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein di perkarangan Masjid Kampung Tok Jembal, Seberang Takir pada 28 November 2009, lalu kurang mendapat sambutan rakyat.

Bahkan, pemimpin Umno peringkat negeri, bahagian dan wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) juga tidak kelihatan kecuali hanya beberapa orang tertentu sahaja.

http://buletinonline.net/images/stories/berita15/hishamkorban1.JPGAntara wakil rakyat BN Terengganu yang hadir bersama meraikan majlis tersebut iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Ahmad Razif Abd. Rahman, Dato’ Abdul Rahin Said (Teluk Pasu), Din Adam (Bukit Besi), Zakaria @ Ariffin Abdullah (Paka) dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri.

Majlis tersebut merupakan Program Pemimpin Bersama Rakyat yang jumlah kehadirannya hanya sekitar 150 orang sedangkan Umno Bahagian Kuala Nerus sahaja mempunyai 180 buah cawangannya.

Program tersebut bagi menyempurnakan sejumlah 11 ekor sembelihan lembu korban untuk diagihkan kepada orang ramai dan penduduk setempat.

Sumber dalaman memaklumkan selepas majlis tersebut diadakan satu mesyuarat tertutup Umno Bahagian Kuala Nerus di Pulau Duyong.

Menurutnya, Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir telah dikecam hebat oleh Dato’ Hishammuddin yang kecewa dengan jumlah kehadiran orang ramai.
Last Updated ( Wednesday, 02 December 2009 11:37 )

Tuesday, December 1, 2009

Demo bantahan Tok Guru





Ratusan demo bantah Nik Aziz isu doa laknat
Salhan K Ahmad
Dis 1, 09
12:16pm
kemaskini 2.26pm Beratus-ratus penduduk Kelantan mengadakan bantahan terhadap Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung hasratnya untuk berdoa memburukkan perdana menteri dan Umno.

Mereka berkumpul kira-kira setengah sejam bermula 10 pagi tadi di depan kompleks pentadbiran negeri Kota Darul Naim, yang menempatkan pejabat menteri besar, untuk menyerahkan memorandum kepada setiausaha pemimpin PAS itu Anual Bakhri Haron.

Memorandum itu mendesak Nik Abdul Aziz memohon maaf kepada Datuk Seri Najib Razak dan juga menggesa mursyidul am PAS meletakkan jawatannya.

Dikepalai timbalan ketua bahagian Umno Pasir Mas, Che Johan Che Pa, kumpulan penunjuk perasaan itu melaungkan desakan agar Nik Abdul Aziz melepaskan jawatan menteri besar, selain kain rentang yang membuat tuntutan yang sama.

Che Johan memberitahu Malaysiakini, perhimpunan itu dianjurkan oleh kumpulan Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan (JRPK).

Difahamkan ia turut disertai kumpulan ahli-ahli Pemuda dan Puteri Umno.

Beliau, sebagai pengerusi penaja organisasi tersebut, berkata JRPK baru ditubuhkan dua bulan lalu dan mempunyai 100 ahli di setiap bahagian Umno.

Tambahnya, perhimpunan itu dihadiri oleh anggota- anggotanya, termasuk persatuan nelayan, persatuan tinju serta persatuan penarik beca.

"Kita beri tempoh 24 jam kepada Nik Abdul Aziz untuk tarik balik kenyataan dan juga doa supaya Datuk Najib dan pengikutnya musnah," katanya ketika dihubungi selepas perhimpunan tersebut.

"Nik Aziz juga sudah terlalu lama memerintah sehingga berlaku penyelewengan dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK)," kata Che Johan lagi.

Tokoh PAS itu membuat ugutan berdoa laknat itu sebagai reaksi kerajaan pusat yang enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan, sebaliknya membayar wang ehsan kira-kira RM1 bilion.

Nik Abdul Aziz kemudian menjelaskan bahawa doa yang dimaksudkan itu hanya meminta Allah memperbetulkan fikiran Najib iaitu memberikan royalti gas dan petroleum kepada negeri tersebut.

Malam tadi Pemuda PAS Kelantan membuat aduan polis apabila tercetus ura-ura satu perhimpunan akan diadakan di situ yang dikatakan anjuran JRPK.

Rancangan mengadakan demonstrasi itu dilaporkan disebarkan melalui mesej SMS mulai semalam.