Monday, November 21, 2011

Air Kelantan: Tuduhan rambang, berniat jahat

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 21 Nov: Laporan Mingguan Malaysia semalam bahawa kandungan air terawat di Kelantan sebagai yang tertinggi E.coli adalah satu tuduhan rambang yang berniat jahat.


Demikian ditegaskan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu kenyataan, hari ini.

“Saya telah ditanya pagi tadi selepas Mesyuarat Koridor Ekonomi Wilayah Timur (ECER) pagi tadi berkenaan laporan muka hadapan Mingguan Malaysia pada 20 November 2011 yang membawa tajuk ‘Air Kelantan Terkotor?’,” ujarnya di dalam kenyataan yang terkandung di Facebook beliau.

beliau pada mulanya beranggapan tidak perlu untuk memberikan respons terhadap laporan akhbar Utusan Malaysia (keluaran hari Ahad: Mingguan Malaysia) yang sudah diketahui umum sebagai akhbar yang tidak bertanggungjawab terhadap fakta dan seringkali melanggar etika kewartawanan.

“Saya kira masih ramai yang belum lupa bagaimana Utusan Malaysia pernah memainkan isu ‘Kristian Agama Rasmi Negara’ satu ketika dahulu yang terbukti kemudiannya sebagai satu pembohongan semata-mata,” kata beliau.

Namun, menurutnya dibimbangi isu yang dimainkan itu menimbulkan polemik yang berpanjangan, beliau telah mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar Negeri Kelantan Datuk Mejar (B) Md Anizam Abd Rahman untuk memberikan kenyataan menjelaskan perkara yang sebenar.

Bagaimanapun, ujarnya sebagai respons awal sebelum kenyataan lanjut dikeluarkan, beliau ingin menarik perhatian terhadap beberapa fakta sebenar yang disorok dari pengetahuan umum oleh Utusan Malaysia.

“Pertamanya, sukalah saya merujuk kepada surat yang dihantar oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kepada Pengurus Besar Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) yang bertarikh 30 Oktober 2011 yang memaklumkan prestasi kurang memuaskan beberapa buah negeri seperti yang termaktub di dalam Laporan Pencapaian Pematuhan Kualiti Air Terawat Bagi Parameter QAP Seluruh Negara bagi tempoh Januari hingga Julai dan Januari hingga Ogos 2011 yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, negeri-negeri yang menunjukkan prestasi kurang memuaskan itu ialah Kelantan, Pahang, Wilayah Persekutuan Labuan, Perak dan Perlis.

Berdasarkan lampiran yang diberikan, jelasnya kandungan E.coli yang terdapat di dalam air terawat yang dibekalkan oleh AKSB dinilai sebanyak 0.88%.

Ia, jelasnya lagi lebih rendah jika dibandingkan dengan negeri Pahang (1.12%), Perak (0.90%), Perlis (1.21%) dan Wilayah Persekutuan Labuan (1.01%).

Beliau sedia maklum bahawa tahap yang dianggap tidak memuaskan ialah jika melebihi 4%, namun untuk dikatakan kandungan air terawat di Kelantan sebagai yang tertinggi E.coli ialah satu tuduhan rambang yang berniat jahat.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga ingin melahirkan rasa hairan terhadap data yang dikemukakan oleh Utusan Malaysia yang dikatakan dirujuk kepada Panduan Industri Air Malaysia 2011 sedangkan data rasmi Panduan Industri Air Malaysia 2011 masih belum dikeluarkan dan hanya akan dikeluarkan kebiasaannya pada pertengahan tahun berikutnya iaitu sekitar bulan Jun 2011.

“Dari manakah Utusan Malaysia memperolehi maklumat yang masih belum dikeluarkan ini?” soalnya yang juga Mursyidul Am PAS.

Hakikatnya, tegas beliau apa yang disebut oleh Utusan Malaysia itu hanyalah satu lagi pembohongan yang jelas untuk memburuk-burukkan kerajaan negeri Kelantan.

“Jelas sekali, laporan ini tidak lain hanyalah merupakan satu usaha untuk menggunakan air Kelantan membersihkan najis lembu yang bernilai RM250 juta.

“Nasihat saya, bertaqwalah kepada Allah SWT kerana apa yang ditulis akan disoal oleh-Nya di akhirat kelak,” ujarnya.

Justeru, kata bbeliau janganlah sampai fitnah yang ditabur itu menggerakkan tangan orang-orang yang dizalimi untuk melafazkan doa ke atas penabur-penabur fitnah.

Ini kerana, katanya doa orang yang dizalimi tidak akan ditolak oleh Allah SWT.


Wang bantuan RM100 perlu diberikan sepenuhnya



3:53PM Nov 21, 2011
Pihak sekolah perlu mengagih-agihkan pemberian bantuan kerajaan sebanyak RM100 kepada pelajar sepenuhnya, tanpa membuat sebarang pemotongan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, arahan sudah dikeluarkan dan langkah itu bagi merealisasikan apa yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri NajibBangi Razak dalam Belanjawan 2012 bulan lepas, dapat dinikmati rakyat.

"Mudah saja, tiap-tiap pelajar yang berada dalam sistem pendidikan negara, sama ada dalam sekolah kerajaan atau swasta, semua layak dapat.

"Tanggungjawab guru, jangan soal, beri RM100 bagi tiap-tiap pelajar kepada ibu bapa. Itu saja. Dan saya sudah beritahu dan arahan, jangan ada pemotongan dan jangan buat taksiran pelbagai. Serah dulu RM100.

"Jika ada cita-cita lain nak beri PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) atau nak buat itu ini, itu soal kedua tetapi untuk menunjukkan bahawa apa yang disebutkan oleh Perdana Menteri dalam bajet bahawa itu benar-benar berlaku, maka sekolah yang bertanggungjawab mesti sampaikan jumlah yang disebutkan, RM100 tidak lebih dan tidak kurang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Ilham Desa peringkat Kebangsaan di Bangi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan sekolah yang membuat pemotongan daripada wang bantuan tersebut bagi tujuan pembayaran yuran PIBG dan sebagainya.

Kerajaan memperuntukkan bantuan sebanyak RM530 juta bagi membiayai kira-kira 5.3 juta pelajar di seluruh negara yang bertujuan meringankan beban ibu bapa menjelang pembukaan awal sesi persekolahan tahun depan.

Pengagihan wang bantuan tersebut, mula dibuat oleh pihak sekolah kepada ibu bapa pada minggu lalu sebelum sesi persekolahan bagi tahun ini berakhir.

Muhyiddin berkata peruntukan wang bantuan tersebut merangkumi bukan sahaja pelajar sekolah kerajaan tetapi juga sekolah swasta.

Katanya masalah yang timbul itu tidak mencemarkan proses pengagihan wang bantuan tersebut kepada kumpulan sasar kerana ia hanya membabitkan beberapa buah sekolah sahaja dan peratusannya sangat kecil yang disebabkan oleh keadaan tertentu.

Bagaimanapun, katanya jika timbul masalah di sekolah tertentu, ibu bapa boleh memaklumkan kepada guru besar atau pegawai pelajaran daerah.

"Bagi saya mudah saja. Wang bantuan RM100 itu diberikan, jangan ambil satu sen pun, jangan potong.

"Bayar terus RM100 itu, biarkan ibu bapa dan pelajar menikmati sumbangan daripada kerajaan," kata Muhyiddin.

- Bernama

Sunday, November 20, 2011

Mahathir tak layak bercakap pasal bersatu


Subky Latif
ISU orang Melayu tidak bersatu bukan suatu yang baru. Ia telah diperkata oleh UMNO sejak Tunku Abdul Rahman Putra masih ada.
Masa itu Parti Semangat 46 sedang bertenaga. Tunku dan Tun Hussein Onn terkeluar dari UMNO (Baru). Para pemimpin UMNO (Baru) menjaja isu apa yang dikatakan perpecahan orang Melayu. Mereka kononnya amat bimbang. Sama seperti yang Dr. Mahathir masih bimbangkan hari ini.

Kalau sebelumnya dikatakan Melayu itu berpecah antara UMNO dan PAS saja, kita itu sudah dijadi tiga dengan adanya S46.

Menjawab Tunku yang naik pentas PAS masa itu, adanya orang Melayu dalam berbagai parti, bukan tanda perpecahan tetapi ia dibenarkan oleh demokrasi.

Dr. Mahathir mengulang lagi, sekarang orang Melayu bukan sekadar berpecah antara PAS dengan UMNO, malah ada pula KITA dan lain-lain.

Dulu PAS tak berkawan dengan DAP. Hanya UMNO yang berkawan dengan MCA dan MIC. Tetapi UMNO kata ia bimbang. Sekang mungkin bimbangnya bertambah kerana PAS berkawan pula dengan DAP. Tetapi asas bimbang itu sama dulu dan sekarang.

Masa Dr. Mahathir berkuasa dulu, perpecahan orang Melayu bukan sekadar antara PAS dan UMNO. Melayu juga berpecah kepada Semangat 46, Berjasa yang ditaja oleh UMNO dan Hamim pimpinan Tan Sri Asri yang direstui oleh Dr. Mahathir.

Sama saja dengan sekarang ada KITA dan PKR. Tetapi adanya KITA itu samalah dengan adanya S46, Berjasa dan Hamim dulu. Adanya sekejap saja dan adanya seperti tak ada saja.

Beza sekarang ada PKR yang kedudukannya lebih kuat dari S46.

Katakanlah keadaan itu tidak baik pada orang Melayu, maka ia banyak disebabkan oleh politik Dr. Mahathir sendiri.

Apa untungnya PAS berada dalam BN? Perpecahan Melayu itu dapat diredakan, malah ia seperti hampir bersatu. Tetapi yang memecahkannya ialah Dr. Mahathir sendiri. Berseteru semula PAS dengan UMNO. Angkara siapa? Jika tidak baik, Dr. Mahathirlah yang menjadikan begiu.

Kemudian berpecah pula orang Melayu kepada Berjasa dan Hamim. Siapakah yang mendorongkan wujudnya parti itu? Jangan kata Dr. Mahathir tidak ada peranan.

Kemudian tinggal PAS dengan UMNO semula kerana Berjasa dan Hamim ada seperti tidak. Tetapi gara-gara politik Dr. Mahathir memecah belahkan UMNO, muncul pula S46. Orang Melayu terbagi tiga pula. Dari dua jadi tiga. Jangan kata ia bukan angkara Dr. Mahathir!

Selepas S46 hilang stamina Melayu kembali berpecah kepada dua semula. Tetapi Dr. Mahathir berkarinah lagi. Ditendangnya pula Anwar Ibrahim dari Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri.

Ia menyumbang kepada keadaan yang ada sekarang. Anwar dan penyokong-penyokongnya dalam UMNO membentuk PKR. Apakah keadaan yang ada ini suatu yang tidak baik bagi orang Melayu?

Kalau ia satu malapetaka kepada bangsa Melayu, maka antara orang yang menjadikannya begitu ialah Dr. Mahathir. Punca besar perpecahan itu dalam setiap kejadian adalah dari Dr. Mahathir. Jika dia tidak tendang PAS dari BN, mungkin BN itu boleh menjelma mejadi sebuah parti dominan orang Melayu.

Tetapi kerana politik gilanya memperbodohkan Tun Hussein Onn, orang tua terpengaruh lalu menendang PAS. Dato Asri, Ustaz Fadzil Noor dan Tok Guru Nik Aziz tidak boleh disalahkan. Mahathir mesti belajar menyalahkan dirinya sendiri.

Kalau dia marah orang Melyu jadi begitu, dia kena marah dirinya dulu. Kalau dia menangis, itulah tagis buaya. Tangis yang sudah tidak ada erti.

Katakanlah orang Melayu betul berpecah. Yang melebar dan memperkuat perpecahan itu ialah diskriminasi kerajaan UMNO terhadap orang PAS dan anak-anaknya. Orang Islam dan orang PAS yang tidak bersama UMNO dilihat sebagai orang Melayu kelas tiga.

Orang Melayu kelas satu ialah UMNO yang menyokong Perdana Menteri. Melayu kelas dua yang tidak menyokong Perdana Menteri dan Presiden UMNO. PAS adalah Melayu kelas tiga.

Amalan diskriminasi UMNO itu lebih memecahkan orang Melayu dibandingkan dengan kewujudan beberapa parti Melayu.

22 tahun dia berkuasa dia tidak dapat buat apa-apa untuk menyatukan orang Melayu. Sepanjang masa dia memecahkan orang Melayu. Yang layak baginya bukan menyesali perpecahan itu tetapi menyesali dirinya tidak buat apa-apa untuk menyatukan orang lain.