Friday, September 16, 2011

Mansuh ISA: PAS tunggu akta baru sebelum respons

arakahdaily
KUALA LUMPUR, 16 Sept: PAS mengambil sikap "tunggu dan lihat" dahulu bagaimana bentuk perundangan alternatif bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum memberi respons lanjut berhubung pemansuhan akta itu yang diumum perdana menteri malam tadi.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, masih terlalu awal untuk PAS menyatakan pendirian berhubung pemansuhan ISA yang diumum Datuk Seri Najib Razak dalam pertusan Hari Malaysia malam tadi kerana ianya akan diganti akta baru.
"PAS mengambil sikap untuk tunggu dan lihat dahulu berkaitan penghapusan ISA dan beberapa akta lain yang diumumkan Perdana Menteri.

"Ini kerana kita hendak melihat dahulu perundangan alternatif yang disebut kerajaan hendak dibuat menggantikan ISA. Terlalu awal untuk kita memberi respon terhadap pembatalan tersebut," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Ianya sebagai respon awal PAS berhubung pengumuman kerajaan memansuhkan akta yang sudah lama dituntut oleh Pakatan Rakyat agar dihapuskan itu.

Biarpun ISA diumum akan dimansuhkan, Najib juga mengumumkan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan akta itu.

Selain itu, PAS juga kata Tuan Guru Abdul Hadi masih sangsi dengan pengumuman itu ekoran ianya dibuat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

"Tambahan pula ia dibuat menjelang pilihanraya yang kita lihat sebagai tujuan politik dan tawaran pilihanraya Barisan Nasional.

"Setelah beribu orang menjadi mangsa kezaliman akta tersebut, menjelang pilihanraya barulah ia dihapuskan," katanya.

PAS dan Pakatan Rakyat sejak dahulu menentang akta ISA dan menganggapnya satu akta zalim kerana membuat "tahanan tanpa bicara" kepada mangsa akta itu.

Selain ISA, mereka juga sebelum ini mendesak beberapa akta serupa seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Ordinan Darurat (EO) dimansuhkan.

Sunday, September 4, 2011

Isu Bukit Kepong: PAS sedia debat dengan Umno


Oleh Syed Mu’az Syed Putra
September 04, 2011

KUALA LUMPUR, 4 Sept — PAS bersedia untuk berbahas dengan Umno berhubung kontroversi tragedi Bukit Kepong dan fakta sejarah negara — yang kini menjadi senjata terbaru parti Melayu itu untuk menyerang kepimpinan Mohamad Sabu.

Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, ramai pejuang kemerdekaan yang tidak diiktiraf dalam sejarah termasuk Muhammad Indera atau Mat Indera, salah seorang yang terlibat dalam tragedi Bukit Kepong.


“Mat Indera dan ramai para pejuang kemerdekaan yang tidak diiktiraf dalam sejarah yang telah menjadi fokus utama serangan media perdana pro-Umno kepada PAS memerlukan satu penyelesaian konkrit.

“PAS berasa simpati kepada kesan mendalam kepada waris Mat Indera dan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang lain yang bangun menentang penjajah tetapi jasa mereka digugurkan dan tidak diiktiraf dalam sejarah akibat terpaksa menanggung pelbagai tuduhan liar ‘pejuang-pejuang pertahanan sejarah versi Umno’ tanpa ruang untuk menjawab,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, sebahagian besar waris pejuang kemerdekaan yang terkorban menentang penjajah berasa dukacita apabila dilabelkan sebagai komunis.

Selain itu, tegas Tuan Ibrahim, serangan Umno melalui lidah rasminya Utusan Malaysia membuktikan parti Melayu terbesar itu kehilangan modal untuk menyerang PAS terutamanya untuk meraih sokongan pengundi Melayu dalam pilihan raya umum ke-13.

“Disebabkan serangan bertubi-tubi Umno yang kini berlangsung selama sembilan hari ini, rakyat kini, terutamanya golongan muda yang celik internet terdedah dengan pelbagai maklumat mula membuka mata dan mulai bangkit mencari kebenaran dan membuat penilaian semula fakta sejarah yang dihilangkan selama ini oleh pihak pemerintah.

“Selain itu, sebahagian besar waris pejuang kemerdekaan yang terkorban dalam menentang Inggeris kini sangat dukacita apabila mereka dicapkan sebagai golongan komunis, sedangkan mereka langsung tiada kena mengena dengan komunis,” katanya.

Tambah beliau, waris Muhammad yang ditemui pihaknya juga kesal dengan laporan media yang mengaitkan pemimpin Melayu itu dengan komunis.

“Waris Mat Indera yang ditemui juga sangat berdukacita dengan laporan tidak beradab media perdana yang mengaitkannya dengan komunis. Mereka yakin, hanya dengan tumbangnya kerajaan BN (Barisan Nasional) barulah fakta sejarah yang sebenar dapat ditegakkan,” katanya.

Justeru jelas Tuan Ibrahim, pihaknya bersedia berdebat secara terbuka dengan Umno bagi menghurai kontroversi yang berlaku.

“Atas dasar menghormati hak rakyat untuk membuat pertimbangan dan penilaian sendiri melalui hujah-hujah dari kedua-dua pihak, PAS melalui Lajnah Penerangan akan menghantar surat jemputan kepada Ketua Penerangan Umno dalam masa terdekat bagi menganjurkan satu perbahasan umum ilmiah untuk menangani isu ‘Siapakah layak digelar pejuang kemerdekaan sebenarnya?’ dalam sejarah tanah air sebelum Merdeka.

“Fenomena terbaru untuk mencari kebenaran ini turut secara langsung menyedarkan rakyat bahawa mereka mesti bangun menuntut perubahan kepada kepimpinan negara sekarang demi satu masa depan baru yang lebih bertanggungjawab untuk kebaikan generasi akan datang,” katanya.

Mohamad, Timbalan Presiden PAS dan lebih dikenali “Mat Sabu” mencetuskan kontroversi apabila memberitahu dalam satu ceramah bahawa pejuang kemerdekaan telah melancarkan serangan itu di balai polis Bukit Kepong — membunuh 25 orang — semasa pemberontakan komunis dalam 1950.

Ahli politik itu telah dituduh membela komunis oleh pemimpin Umno dan ia disiarkan dalam Utusan Malaysia walaupun Mohamad menafikan ada menggunakan perkataan komunis dalam ceramahnya.

Mohamad, dalam ceramahnya mengatakan Muhammad Indera — salah seorang individu yang dipujinya ketika ceramah pada 21 Ogos lalu telah dikatakan sebagai seorang pejuang kemerdekaan, sebagaimana disebutkan dalam Berita Harian pada 13 Ogos 2010.

Muhammad, lebih dikenali sebagai Mat Indera, adalah pemimpin komunis Melayu yang melancarkan serangan gerila terhadap berek polis ketika pentadbiran British.