Tuesday, July 26, 2011

Wakil SPR kena 'boo' dalam debat dengan Ambiga

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar hari ini berdepan dengan hadirin yang mencemuhnya dalam debat dengan pengerusi BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.

Beliau juga kena 'boo' beberapa kali sehingga terpaksa merayu kepada hadirin supaya memberinya peluang membuat penjelasan dalam debat yang dianjurkan oleh Kumpulan Karangkraf, sebuah pertubuhan media yang menerbitkan Sinar Harian dan beberapa majalah popular yang lain.


Wan Ahmad bertegas menjelaskan bahawa SPR tidak mempunyai kuasa menguatkuasa dan menolak tanggungjawab meminda undang-undang pilihan raya kepada Pejabat Peguam Negara.

“Jangan anggap SPR sebagai musuh,” rayunya.

Dalam tindakbalasnya, Ambiga membidas SPR kerana tidak mengambil langkah pro-aktif meminda undang-undang yang lapuk.

“Awak yang menganggap orang ramai sebagai musuh. Jika SPR bertindak terhadap cadangan pembaharuan, kami akan sokong anda. Kami akan berjuang bersaam anda,” katanya sambil diberikan tepukan gemuruh oleh hadirin.

Panel itu turut dianggotai oleh profesor dari UKM Datuk Shamsul Amri Baharuddin.

PAS tolak biometrik

Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 26 Julai: Cadangan SPR untuk menggunakan keadah biometrik bagi menyelesaikan isu pengundi hantu dan pengundi bertindih bukan penyelesaian yang sebenar.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, malah ia juga terdedah kepada manipulasi pihak yang mengendalikannya kerana hanya segelintir sahaja yang ada kepakaran dan terlibat mengendalikan biometrik.

"PAS tetap berpendirian untuk mendesak supaya SPR menggunakan dakwat celup jari ketika mengundi bagi membasmi pengundi hantu dan juga pengundi yang mengundi banyak kali dalam setiap pilihan raya," ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, begitu juga dengan pendaftaran pemilih secara automatik.

"Kita pelik bagaimana SPR boleh bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara dalam pengendalian biometrik ini, tetapi tidak boleh bekerjasama dalam mengendalikan pendaftaran pemilih secara automatik," ujarnya yang juga ahli Parlimen Marang.


Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menjelaskan, PAS mengambil keputusan menolak cadangan kerajaan untuk menggunakan sistem biometrik dalam pilihan raya di negara ini seperti yang diumumkan oleh SPR baru-baru ini.

Penolakan PAS terhadap sistem biometrik kerana diyakini sistem tersebut tidak berkemampuan menyelesaikan masalah pengundian bertindih dan menghalang masalah yang berlaku dalam pilihanraya di negara kita sejak sekian lama.

Beliau menjelaskan, sebaliknya PAS tetap bertegas untuk menggunakan dakwat kekal kerana hanya dengan cara itu yang dapat mengatasi masalah pengundian bertindih dalam pilihanraya di negara kita.

Menurutnya, keputusan menolak penggunaan sistem biometrik dibuat oleh PAS hasil perbincangan yang diadakan oleh para pemimpin PAS pada mesyuarat khasnya di Pejabat Agung PAS hari ini.

Katanya, kewujudan pengundian bertindih atau pengundian dua kali tidak boleh dinafikan oleh SPR atau pihak kerajaan kerana ia telah dikesan oleh PAS dengan menggunakan sistem komputer.

"Antara hasilnya, di Selangor sahaja sehingga kini, PAS telah berjaya mengesan 500 orang pengundi bertindih. Pengesanan itu bukan hanya dibuat menerusi sample-samplenya, tetapi dengan orang-orangnya sekali," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, menurut beliau, pihak SPR sendiri turut mengakui kewujudan pengundian bertindih pada senarai pendaftaran badan itu dan jumlahnya pula amat besar serta menakutkan.

"Pengakuan SPR itu menjadi bukti bahawa kebimbangan kita tentang kewujudan pengundian bertindih itu selama ini memang berasas dan ia merupakan fenomena yang amat membimbangkan," katanya.

Bertolak dari realiti itulah, Bersih 2.0 membuat cadangan agar SPR menggunakan kaedah dakwat kekal untuk mengatasi pengundian dua kali baru-baru ini, tetapi SPR pula menolaknya dengan memperkenalkan sistem biometrik.

"Penggunaan sistem biometrik itu sebenarnya adalah cadangan Perdana Menteri dan telah diterima oleh SPR untuk dilaksanakan, tetapi kita tetap menolaknya dan mahu menggunakan dakwat kekal seperti yang telah dicadangkan oleh Bersih 2.0 baru-baru ini," tegas beliau.

Thursday, July 7, 2011

Muslimat PAS cabar Hisham buktikan Bersih haram

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 7 Julai: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mencabar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein membuktikan dakwaannya mengenai Bersih 2.0 adalah haram.

Ketua penerangannya, Aiman Athirah Al Jundi berkata, kerajaan sendiri tidak faham dan keliru dengan istilah 'pertubuhan haram' yang digelar kepada Bersih 2.0.

Sedangkan katanya, sudah berkali-kali ditegaskan bahawa Bersih 2.0 bukan satu pertubuhan tapi satu kempen untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

"Pentadbiran (Datuk Seri) Najib (Razak) sudah terkeliru atau sengaja mengelirukan rakyat dengan memberikan nama pertubuhan haram kepada Bersih 2.0.

"Muslimat mencabar Hishammuddin dan Najib untuk membuktikan pertuduhan mereka bahawa Bersih 2.0 ini satu pertubuhan haram.

"Ini satu pengkhianatan maklumat kepada rakyat Malaysia dan dunia bila mengaitkan Bersih 2.0 dengan pertubuhan haram," kata beliau ketika ditemui selepas penyerahan memorandum menuntut enam aktivis Parti Sisialis Malaysia (PSM) yang ditahan di bawah Ordinan Darurat di Bukit Aman hari ini.

Menurut Aiman juga, kenyataan Hishammuddin yang mengharamkan segala perkara berkaitan Bersih 2.0 jelas menafikan hak rakyat yang cintakan keadilan.

Rakyat khususnya golongan muda tegasnya sangat kecewa dengan pendirian kerajaan itu.

"Sebenarnya rakyat terutamanya anak muda kecewa kenapa keadaan seperti ini berlaku dalam pada rakyat ingin menunut pilihan raya bersih dan adil

"Bila Hishammuddin kata segala yang berkaitan Bersih 2.0 adalah haram, itu betul-betul penafian kepada hak asasi manusia.

"Ia bertitik tolak daripada pemahaman yang silap mengenai Bersih 2.0. yang dianggap satu pertubuhan," katanya.

Muslimat konsisten

Sementara itu, Aiman berkata, muslimat masih konsisten dengan arahan awal iaitu mengerahkan 100 orang daripada setiap kawasan untuk menyertai himpunan Bersih 2.0 Sabtu ini.

Muslimat katanya sangat menghormati titah yang di-Pertuan Agong dan menghargai perkenan Tuanku Mizan untuk mereka berhimpun di stadium.

"Seruan kepada muslimat, kita konsisten menghantar 100 orang setiap kawasan sekurang-kurangnya dan konsisten pada 9 Julai, jam 2 petang di Kuala Lumpur

"Memandangkan nasihat daripada yang di-Pertuan Agong dan cadangan Najib untuk buat di stadium, kita berkompromi.

"Arahan untuk kita pergi ke negeri-negeri Pakatan yang lain itu sudah mengubah lokasi asal dan ini akan menimbulkan kesulitan," katanya.

Semalam, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan di negeri-negeri Pakatan rakyat lain seperti Selangor dan Kelantan.

Najib sombong

Dalam pada itu, Aiman mempersoal sikap sombong dan angkuh Najib yang enggan bertemu dengan pihak Bersih sedangkan Yang di-Pertuan Agong sanggup mencemar duli bertemu dengan pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan.

"Kita telah berkompromi dan meminta Najib supaya berbudi bahasa, bertimbang rasa dan jangan engkar kepada yang di-Pertuan Agong.

"Kita pun telah tunjukkan sifat hormat kepada titah Yang di-Pertuan Agong, apakah susah sangat Najib untuk menerima dan membuka peluang kepada kita untuk masuk ke stadium merdeka atau paling kurang pun berhimpun di dataran merdeka.

"Masa itu kalau polis ingin mengawal termasuk tentera dan kereta kebal kita alu-alukan sebab kita akan berhimpun secara aman," katanya.

Tindakan Najib itu tambahnya hanya akan mempamerkan sikap sebenar beliau yang tidak mempedulikan suara rakyat.

"Najib sepatutnya menjadi suri teladan kepada rakyat. Bukan bersikap tak ambil peduli begini. PAS bolah menunjukkan sikap terbuka, kenapa najib tak boleh?" soalnya.