Saturday, June 18, 2011

PAS Terengganu bentuk pasukan baru

Harakahdaily
KUALA TERENGGANU, 18 Jun:PAS Terengganu membentuk pasukan serba baru selepas pesuruhjaya yang baru, Mohamad Abdul Wahid Endut (gambar) (dilantik untuk negeri itu.


Timbalan pesuruhjaya (TPj) III sesi lepas, Ustaz Saiful Bahari Mamat dilantik TPj I sementara dua lagi adalah bekas bendahari, Muhyiddin Abdul Rashid (TPj II) dan timbalan ketua penerangan yang juga Adun Bukit Tunggal, Dr Alias Razak (TPj III).


M Shukrimun Shamsudin pula dilantik bendahari.

Selain Saiful, TPj I dan II sesi lalu ialah Datuk Abu Bakar Chik dan Mohd Abdul Wahid Endut.

Kedua-duanya dipilih sebagai AJK PAS Pusat pada Muktamar Tahunan PAS ke-57 awal bulan ini.

Abdul Wahid dilantik Pesuruhjaya PAS negeri yang baru bagi menggantikan Datuk Harun Taib sebagaimana yang diumumkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada 12 Jun lepas.

PAS negeri sesi ini mengekalkan setiausaha, ketua penerangan dan pengarah pilihan raya iaitu Yahaya Ali, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ariffin Deraman.

Hanafiah Mat, Kamaruddin Yunus dan Zakaria Dagang pula dilantik penolong setiausaha.

Di samping mereka, ahli perhubungan yang dilantik adalah Datuk Abu Bakar Chik, Abdul Haris Abdul Malik, Zarani Othman, Dr Khazani Abdullah, Dr Azman Mohamad, Ustaz Harun Jusoh dan

Ini bermakna, hanya seorang sahaja bekas lima Adun PAS 1982 yaang masih kekal dalam pasukan ini iaitu Abu Bakar Chik.

"Ini adalah pasukan yang dipilih sendiri oleh pesuruhjaya baru," kata Yahaya Ali yang menjadi setiausaha perhubungan di bawah Datuk Mustafa Ali dan Datuk Harun Taib, pesuruhjaya PAS Terengganu sebelum ini.

Ketua dewan ulamak PAS Terengganu adalah Datuk Husein Awang, ketua pemuda Ustaz Mohd Nor Hamzah manakala ketua muslimat adalah Safinah Jusoh.

Sunday, June 12, 2011

PAS selesai lantik AJK, Pesuruhjaya

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 12 Jun: Mesyuarat pertama Jawatan Kuasa Kerja PAS Pusat yang dipengerusikan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, hari ini selesai membentuk kabinet penuh parti itu.

Ianya menyaksikan Datuk Mustafa Ali kekal sebagai Setiausaha Agung dengan dibantu tiga penolong setiausaha Datuk Takiyuddin Hassan, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Ahmad Sabki Yusuf.

Jawatan Bendahari pula bertukar kepada Datuk Abdul Halim Abd Rahman manakala Dr Mohd Hatta Ramli yang sebelum ini penyandang jawatan itu diberi amanah sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat.

Ketua Penerangan pula akan dipegang oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.


Bagi jawatan AJK PAS yang dilantik pula, mereka adalah Nasharudin Mat Isa, Idris Ahmad, Asmuni Awi, Anuar Tahir, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Zulkefly Mohammad Omar dan Abang Ahmad Kerdee Masagus.

Perkara itu diumumkan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada sidang media di Pejabat Agung PAS sejurus selesai mesyuarat pertama itu.

"Kita telah membuat perlantikan dan dipersetujui sebulat suara.

"Perlantikan ini berkuatkuasa serta merta dan setiausaha akan mengantar surat kepada mereka," katanya.

Bagi Pesuruhjaya PAS negeri pula menyaksikan lima negeri mengalami perubahan iaitu Terengganu- Abdul Wahid Endut, Negeri Sembilan- Mohd Taufek Abdul Ghani, Selangor- Dr Abd Rani Osman, Melaka- Adly Zahari dan Sabah- Aminuddin Halim.

Kesemua negeri lain bagaimanapun kekal seperti senarai berikut:

Kelantan- Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz
Pahang- Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Johor- Datuk Dr Mahfodz Mohamed
Perak- Ust Abu Bakar Husin
Kedah- Datuk Seri Azizan Abdul Razak
P.Pinang- Ust Salleh Man
Perlis- Ust Hashim Jasin
Wilayah Persekutuan- Ust Mohd Noor Mohamad
Sarawak- Ust Adam Ahid

Tuesday, June 7, 2011

Umno cemburu dengan hasil muktamar PAS


Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 7 Jun: Para pemimpin Umno benar-benar terpukul dengan apa yang dicapai dalam muktamar PAS ke 57 baru-baru ini, kata AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.

Katanya, ia dibayangkan dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh para pemimpin bawahan Umno yang agak tahu agama termasuk Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya.

"Ketika pemimpin bawahan mereka meminta Umno mencontohi sikap yang ditunjukan PAS dalam muktamar baru- baru ini, pemimpin atasan Umno cuba melaga-lagakan PAS dengan pimpinan Pakatan Rakyat dan juga dalaman PAS sendiri.

"Inilah sebenarnya permasalahan dalam Umno. Apabila mereka jengkel dan cemburu dengan pencapaian PAS, mereka cuba melagakan kita pula," kata Dr Dzulkefly mengulas kenyataan Datuk Seri Najib, Datuk Seri Nazri Aziz serta Tun Dr Mahathir yang cuba melagakan antara pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat.

Bagi beliau, Umno tahu, team yang dibentuk oleh perwakilan muktamar tahunan PAS ke 57 baru-baru ini adalah pasukan yang bakal menghancurkan penguasaan Umno.

"Mainan jahat media Umno ini nyata semuanya helah untuk akui PAS telah lakukan tranformasi yang diperlukan semua rakyat negara ini," kata beliau.

Perkara ini berlaku ketika wajah Umno menjadi begitu hodoh apabila cuba menggunakan Islam untuk kepentingan politiknya.

"Sikap dan tindakan Umno menghasilkan Islam itu bersifat eksklusif untuk umat Islam sahaja, ekstrem, takutkan orang dengan kepala lembu, orang lain tidak boleh baca al Quran dan sebagainya," kata Dr Dzulkefly (gambar).


Beliau juga mendakwa, tindakan Umno melalui agen-agennya seperti Perkasa telah menyebabkan para penganut agama lain rasa tidak senang dan takut kepada Islam.

"Malam tadi saya sertai satu program dialog dengan pemimpin agama lain dan Pakatan. Jelas mereka menyambut baik apa yang berlaku dalam muktamar PAS baru-baru ini," kata beliau.

Turut serta dalam dialog itu adalah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr Siti Mariah Mahmod, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS.

"Apa yang dibangkitkan para pemimpin Umno bukan isu sebenarnya tetapi akibat dari mereka rasa terpukul dengan apa yang berlaku dalam muktamar baru-baru ini.

"Muktamar telah memberikan nafas baru kepada PAS yang dilihat sangat berintergriti, bernafas baru dan memberikan harapan baru kepada rakyat.

"Bagi saya, Umno bimbang, pasukan ini bakal meraih kemenangan yang lebih besar dari pilihan raya umum 2008 lalu," katanya lagi.