Friday, May 20, 2011

300 berarak ke Kedutaan Australia bantah Lynas

Afiq Hizami, Pelatih UKM
KUALA LUMPUR, 20 Mei: Hampir 300 orang rakyat Malaysia hari ini berarak ke Kedutaan Australia bagi membantah tindakan kerajaan membenarkan syarikat Lynas dari negara itu membina pusat pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Kuantan.

Dewan Pemuda PAS Pusat, pemimpin PKR, NGO, persatuan mahasiswa, aktivis alam sekitar dan rakyat negeri Pahang antara yang mengetuai perarakan itu turut menyerahkan memorandum kepada wakil keduataan tersebut.

Perarakan bermula sejurus selesai solat Jumaat, dari Masjid As Syakirin KLCC menuju Pejabat Suruhanjaya Australia yang terletak tidak jauh dari situ.

Mereka membawa pelbagai spanduk membantah dan mengecam tindakan yang didakwa boleh menjejaskan kesihatan penduduk di sekitarnya.

Suara bantahan dan amaran turut dilaungkan agar kerajaan memberhentikan projek itu sebelum 31 Ogos 2011.

"Jangan jadikan kami tikus makmal, Stop Lynas, Undur Lynas, balik Australia", antara slogan bantahan yang digunakan.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan dalam ucapannya mempersoal kenapa syarikat yang berpengkalan di Australia itu memilih Malaysia sedangkan negara mereka sendiri lebih luas dan bentuk muka buminya juga lebih sesuai.

"Kenapa mereka datang melaksanakan operasi kilang Lynas di negara kita, walhal mereka boleh buat di negara mereka yang begitu luas dengan gurun, tetapi datang ke nagara kita yang mempunayai penduduk yang ramai," soalnya.

"Ia bukan sahaja mendatangkan bahaya kepada manusia tetapi merosakkan alam sekitar dan seluruh hidupan di atas muka bumi ini.

"Anak-anak kita menderita, cucu cicit kita akan menderita, dan bangsa kita juga akan menderita," tambahnya lagi.

Turut serta pada perarakan tersebut, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh dan Exco kerajaan Selangor Rodziah Ismail.

Projek pembinaan itu yang bernilai AS$230 juta turut dibantah persatuan pencinta alam sekitar dari Australia sendiri.

Ianya kerana kebimbangan berhubung sisa radioaktif yang bakal dihasilkan selepas projek itu beroperasi yang akan menjejaskan penduduk sekitar.

Ia percubaan kedua Malaysia dalam membangunkan industri pemprosesan tanah jarang, kali pertama menimbulkan kontroversi dan bantahan apabila ia cuba didirikan di Bukit Merah, Perak sekitar 1980-an.

Sunday, May 1, 2011

PAS tegas akan bersama Pakatan - Mustafa Ali



Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 30 April: PAS dengan tegas menyatakan akan terus bersama dengan Pakatan Rakyat bagi mempastikan proses pembentukan sistem dua parti berjalan dengan baik di negara ini, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek sebagai kenyataan yang tidak sihat untuk perkembangan politik di negara ini.

Mustafa (gambar) mengulas kenyataan Najib yang sekali lagi menjemput PAS untuk bersama dengan Barisan Nasional (BN) walaupun sudah beberapa kali ditolak oleh PAS.

Chua pula berkata, MCA tidak akan berada dalam kabinet lagi jika parti itu tidak mendapat sokongan dalam pilihan raya umum akan datang.

Najib hari ini mempelawa PAS agar menyertai BN sambil berkata, sudah tiba masanya PAS meninggalkan DAP atas alasan ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam.

“Kenapa buat baik dengan DAP? Adakah DAP boleh perjuangkan Islam?

“Hadi (Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang), cukup-cukuplah dengan DAP, tinggalkan DAP, masuk BN,” kata Najib ketika berucap pada majlis Perjumpaan Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri kawasan Manir di Kampung Pulau Bahagia dekat sini.

Najib mengadakan lawatan kerja ke Terengganu hari ini. Sebelum ini timbalan beliau, Tan Sri Muhyidin Yassin juga datang ke Dun Manir, kawasan yang diwakili oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Harun Taib.

"Suka saya tegaskan sekali lagi, PAS akan tetap komited bersama dengan Pakatan Rakyat - bagi mempastikan proses pembentukan sistem dua parti berkembang dengan baik di negara ini demi kepentingan masa depan Malaysia," kata Mustafa dalam kenyataannya kepada Harakahdaily hari ini.

Bagi Mustafa, kenyataan Najib dan Chua ini hanya kenyataan politik.

Menurut Mustafa, mempunyai orang Melayu sepenuhnya di pihak kerajaan manakala pembangkang pula Cina adalah satu ciri-ciri kemusnahan kepada negara yang tercinta ini.

"Jadi PAS tidak akan membiarkan dirinya ke arah itu," tegas beliau.