Monday, March 28, 2011

 Tidak mustahil fitnah dikembalikan kepada tuannya

Ismail Hashim, Foto: Shukri
SHAH ALAM, 28 Mac: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan umat Islam jangan mengejutkan fitnah yang sedang tidur kerana bahayanya akan menimpa semua orang.

Menurutnya, Allah SWT menyatakan kejahatan fitnah bukan hanya terkena orang zalim sebaliknya akan terkena sesiapa sahaja.

Katanya, fitnah apabila melanda dalam masyarakat adalah seperti malam gelap gelita dan sesiapapun sudah tidak dapat membezakan siapa yang ada di hadapannya.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah Maghrib dalam majlis Solat Hajat dan Pidato Khas anjuran Pakatan Rakyat yang sedang diadakan di Stadium Malawati, dekat sini.
(Gambar: Ribuan turut menunaikan solat hajat yang diimamkan Presiden PAS)

Tuan Ibrahim berkata sifat fitnah, ia hanya laku ketika awal sahaja selepas itu, ia akan ditolak oleh masyarakat dan rakyat.

Beliau mengaitkan fitnah isu video seks yang ditolak selepas sahaja saiz perut pelakon kelihatan berbeza.

"Kerana itu, dalam hal ini kita kena menjaga perut kita kerana kini ia sudah menjadi bahan bukti.

"Dalam zaman teknologi tinggi kini, jika perut atau bahu kelihatan berbeza, keadaan ini masih boleh dibaiki dengan editan dalam waktu sekejap sahaja," tegasnya.

Disiplin Islam, ujarnya, menegaskan setiap berita apabila ia datang wajib dikaji selidik terlebih dahulu, bukan tayang baru hendak dikaji.

Inilah yang menyebabkan berlakunya fitnah besar, ujarnya, melibatkan maruah termasuk keluarga dan sanak saudara.

"Tidak mustahil untuk Allah kembalikan fitnah itu kepada tuannya dan jadikan fitnah itu sebagi sumber kebangkitan rakyat," katanya.

Sementara itu selepas solat Isyak tadi, berlangsung solat hajat yang diimamkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Turut berlangsung sekarang ini adalah pidato khas oleh pimpinan PR seperti Presiden PAS sendiri, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Larangan Loteri Di Kelantan Kekal

KOTA BARU: Pengharaman penjualan tiket loteri Big Sweep di negeri ini adalah kekal.

Penasihat Undang-

Undang Negeri, Datuk Azlan Abdul Halim telah memaklumkan kepada kerajaan negeri bahawa mereka telah bertindak di dalam lingkungan kuasa mereka dalam menguatkuasakan larangan tersebut.

Perkara ini telah disahkan oleh Exco Kerajaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan kepada para pemberita, Isnin.

Beliau berkata, Azlan memaklumkan perkara ini selepas menerima arahan daripada menteri besar untuk mengkaji sama ada keputusan untuk mengharamkan penjualan tiket loteri itu bercanggah dengan undang-undang atau tidak.

“Oleh yang demikian, keputusan untuk mengharamkan penjualan tiket loteri di negeri ini adalah kekal,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, pihaknya telah mengarahkan para peguam parti itu mengkaji kemungkinan membawa kes ini ke mahkamah kerana bercanggah dengan perlembagaan persekutuan.

PAS tanding 5, DAP 15 kerusi di Sarawak

Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 28 Mac: Pakatan Rakyat hari ini mengesahkan PAS bertanding di lima kerusi dan DAP 15 pada pilihan raya negeri Sarawak akan datang, manakala PKR pula masih meneruskan perbincangan pembahagian dengan SNAP.

"...selebihnya itu (kerusi) Keadilan dan kita sampai tengahari tadi masih ada rundingan dengan SNAP," kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu diumumkan pada sidang media selepas mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat di pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen hari ini.

Turut serta pada sidang media itu, Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan, Idris Ahmad, Presiden PKR, Datin Sri Dr Wan Azizah Ismail, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga hadir pada mesyuarat sebelum itu bagaimanapun terpaksa keluar awal kerana mempunyai urusan.

"Nama-nama kerusi dan calon itu serah kepada parti masing-masing dan akan diumumkan di Kuching.

"Pandangan kita tak perlu umum di sini kerana kita hanya dapat input dari negeri. Kita hanya mengesahkan perundingan di negeri," kata Anwar lagi.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa ketika dihubungi Harakahdaily turut mengesahkan rundingan PAS dengan PKR dan DAP selesai.

Beliau yang juga Pengarah Pilihanraya PAS bagi pilihan raya negeri Sarawak berada di sana sejak minggu lalu bagi urusan perbincangan kerusi tersebut.

"Kita sekarang sedang memantau persiapan kita di semua kerusi yang kita bertanding di sini," katanya.

Friday, March 11, 2011

Saman Ekor: Fahami isu sebenar

Zulhazmi Shariff

Saya ingin merujuk kepada siaran akhbar Berita Harian bertarikh 11/3/2011 yang memetik ulasan seorang Pakar Perlembagaan Profesor Dr Rohimi Shapiee. Saya amat dukacita dengan perkembangan dan ulasan tersebut yang melabelkan pihak-pihak yang tidak menggalakkan rakyat membayar saman sebagai sebagai nakal dan menggalakkan pemandu supaya terus melanggar undang-undang.

Saya ingin tegaskan pendirian kami di Jawatankuasa Kempen Anti saman Ekor (KASE) bahawa kami tidak sekali-kali bersetuju dan menggalakkan pemandu-pemandu kenderaan memandu tidak mengikut peraturan. Setiap pemandu mestilah memandu dengan berhemah kerana jalanraya bukan harta persendirian tetapi hak bersama. Kami juga tidak bersetuju dengan penguatkuasaan yang tidak mengikut peraturan sedia ada. Atas hujah dan pendirian ini, kami melancarkan Kempen Anti Saman Ekor (KASE) iaitu bertujuan memberikan penerangan tentang hak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan, prinsip keadilan dan pematuhan peraturan serta prosedur tindakan undang-undang.

Tidak pernah pada bila-bila masa dan ketika, Kami menyatakan bahawa Saman Ekor yang dikeluarkan oleh PDRM adalah bertentangan dengan Perlembagaan dan Akta. Jika ada, saya merasakan kenyataan dan pendirian kami telah disalah tafsir. Saya ingin memperbetulkan pemahaman dan persepsi sesiapa sahaja termasuk Pakar Perlembagaan tersebut supaya sebelum membuat sebarang ulasan atau komen, FAHAMI dahulu apa isu yang dibawa dan ditimbulkan.

Saya ingin menegaskan bahawa Saman Ekor yang dikatakan saman itu sebenarnya bukan saman tetapi hanya sekadar notis meminta maklumat pemandu daripada pemilik kenderaan yang dikeluarkan mengikut Seksyen 115 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Notis ini disebut sebagai Pol 170A. Fakta ini tidak pernah disangkal malah diakui oleh Kementerian Dalam Negeri, PDRM malah Timbalan Menteri Pengangkutan di dalam Dewan Rakyat. Saya mohon kerjasama pihak-pihak yang ingin membuat ulasan supaya lebih rajin membaca daripada membuat ulasan dan komen berasaskan lojik akal fikiran. Pernahkah pihak-pihak yang membuat ulasan ini meneliti setiap patah perkataan yang terkandung di dalam notis Pol 170A tersebut sebelum membuat komen? Baca dan fahami kandungannya dahulu kemudian nyatakan komen dan ulasan.

Mengikut Seksyen 115 (1) APJ 1987 setiap pemilik kenderaan apabila diberikan notis Pol 170A ini hendaklah memberikan maklumat pemandu yang disyaki telah melakukan kesalahan yang dinyatakan di dalam notis tersebut dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh notis diterima. Kegagalan memberikan maklumat boleh dianggap melakukan kesalahan melainkan pemilik memuaskan hati mahkamah bahawa beliau tidak tahu siapa yang memandu. Maksud memuaskan hati mahkamah tersebut ialah seseorang pemilik jika ingkar menjawab notis tersebut maka pihak berkuasa iaitu PDRM yang mengeluarkan notis ini hendaklah mengeluarkan suatu notis (Saman) di bawah Seksyen 53(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Persoalannya adakah semua prosedur ini diikuti oleh pihak berkuasa iaitu PDRM yang mengeluarkan notis ini?

Bersama Notis Pol 170A ini juga dikepilkan Notis Pol 171 iaitu menawarkan kompaun kepada pemilik kenderaan jika pemilik mengakui kesalahan dan ingin menerima tawaran kompaun, pemilik boleh menjelaskannya. Perlu diambil perhatian bahawa tawaran kompaun ini diberikan melalui Seksyen 120 (1) APJ 1987. Kompaun ini hanyalah semata-mata tawaran. Bukan suatu bentuk hukuman atau denda. Kompaun ini juga mempunyai tempoh sah laku kerana di dalam Notis Pol 171 di perenggan 4 dinyatakan begini “Tawaran ini berkuatkuasa sehingga (tarikh). Sekiranya tiada jawapan selepas tarikh ini, tindakan saman akan diambil”. Ini dengan jelas menunjukkan bahawa kompaun tersebut hanyalah suatu tawaran, dan jika pemilik atau yang disyaki melakukan kesalahan tidak menerima tawaran kompaun tersebut dan enggan membayar, maka mereka hendaklah disaman supaya hadir di Mahkamah menjawap pertuduhan ke atas mereka. Saman ini dikeluarkan mengikut Seksyen 53(1) APJ 1987 yang disebut sebelum ini.



Persoalannya, adakah prosedur ini juga diikuti oleh pihak berkuasa?

Perkembangan yang berlaku sekarang ialah pihak berkuasa iaitu Kementerian dalam Negeri melalui PDRM telah menghukum orang yang disyaki melakukan kesalahan lalu lintas sedangkan mereka tidak pernah dibuktikan melakukan kesalahan. Mereka dihukum dengan alasan tidak membayar kompaun sedangkan kompaun hanyalah tawaran. PDRM pula mengambil kesempatan di atas kurangnya pemahaman rakyat tentang undang-undang dan peraturan telah menghukum dengan meminta JPJ menyenarai hitam kenderaan bertujuan memaksa mereka membayar kompaun. INILAH TINDAKAN YANG BERTENTANGAN DENGAN PERLEMBAGAAN!



Kenapa ia bertentangan dengan Perlembagaan?

a) Kesalahan yang dikatakan telah dilakukan tersebut belum dibuktikan.

Rujuk kembali kepada ulasan asal di atas. Jika Pemilik kenderaan ingkar notis, sepatutnya mereka dihadapkan ke Mahkamah untuk dibuktikan mereka ingkar notis tersebut. Pelbagai persoalan akan timbul di sini. Adakah notis tersebut telah dikeluarkan? Adakah notis tersebut telah diserahkan dengan sempurna?

Notis boleh diserahkan kepada pemilik kenderaan mengikut Seksyen 118 APJ 1987 iaitu dengan pos berdaftar. Jadi pihak berkuasa perlu membuktikan terlebih dahulu notis itu telah dikeluarkan. Kemudian buktikan notis itu telah diserahkan iaitu dengan bukti pengeposan daripada pejabat pos berkaitan. Jika ada bukti tersebut barulah pemilik perlu buktikan kenapa beliau ingkar. Jika beliau telah memuaskan hati mahkamah dengan alasan-alasannya maka kemungkinan akan dilepaskan. Jika tidak dapat memuaskan hati Mahkamah, kemungkinan akan dijatuhkan hukuman kerana ingkar notis. Belum lagi soal memandu melebihi hadlaju. Adakah ini dilakukan dalam situasi sekarang ini? Jawapannya tidak kerana Timbalan Menteri Pengangkutan sendiri mengakui di Dewan Rakyat pada 8/3/2011 bahawa jika seseorang ingkar Notis Pol 170A ini maka mereka secara automatik dianggap melakukan kesalahan. Ini suatu anggapan yang salah di sisi undang-undang.

Jika pemilik atau pemandu disyaki memandu melebihi hadlaju, mereka sepatutnya disaman hadir ke Mahkamah untuk dibuktikan mereka telah melakukan kesalahan tersebut. Adakah ini dilakukan? Tidak! Mereka terus disenarai hitam kerana tidak membayar kompaun. Sepatutnya PDRM membawa mereka ini ke Mahkamah, buktikan mereka memandu melebihi hadlaju. PDRM sentiasa mengatakan mereka mempunyai bukti, jadi buktikan di Mahkamah. Bukan dengan bekerjasama dengan JPJ untuk menyenarai hitam supaya pemilik kenderaan membayar kompaun. Ini salah! Kenapa PDRM tidak membawa mereka ini ke Mahkamah untuk dibuktikan kesalahan? Mungkin PDRM tahu bahawa mereka tidak dapat membuktikan kesalahan tersebut.

Perlu diambil perhatian bahawa APJ 1987 tidak memperuntukkan sebarang penggunaan imej yang dirakam untuk diterima pakai sebagai bukti di Mahkamah. Setelah APJ 1987 dipinda pada 22/12/2010 dan mula berkuatkuasa pada 1/2/2011 barulah imej yang dirakam diterima sebagai bukti di Mahkamah. Ini disebut di dalam seksyen 117 (11) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 seperti berikut : Dalam mana-mana prosiding di mana-mana mahkamah, apa-apa imej yang dirakamkan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan bagi apa-apa kesalahan di bawah Akta ini hendaklah diterima sebagai keterangan, dan hendaklah menjadi bukti prima facie bagi fakta yang dinyatakan di dalamnya.

Akan ada pula pihak yang akan mengatakan bahawa gambar boleh diterima sebagai keterangan di Mahkamah mengikut peruntukkan Akta Keterangan 1950. Betul, tetapi gambar bagaimana, bagaimana gambar diambil. Jika boleh digunakan peruntukkan Akta Keterangan 1950, kenapa kerajaan bersusah payah meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk memasukkan penggunaan gambar (imej) sebagai bukti yang boleh diterima?

Apa yang menyedihkan lagi, sudahlah gambar tidak boleh diterima sebagai bukti, para pemandu dan pemilik telah dikenakan bayaran RM10 untuk melihat dan mendapatkan salinan gambar tersebut oleh PDRM. Sudah lah tidak dibuktikan lagi mereka bersalah, mereka dikenakan bayaran untuk membuktikan mereka tidak bersalah. Sistem keadilan apa yang kita guna???



b) Seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

Ada dua (2) isu di sini :

a) Pembuktian bersalah; dan

b) Siapa yang boleh menghukum seseorang itu bersalah.



Pembuktian salah.

Seperti yang diulas sebelum ini, adakah semua yang dituduh dan dikeluarkan Saman Ekor ini telah dibuktikan melakukan kesalahan oleh PDRM dan JPJ? Di Mahkamah mana mereka ini dibuktikan bersalah? Jika tidak pernah dibuktikan bersalah, kenapa menghukum?



Siapa yang boleh menghukum seseorang itu bersalah?

Kuasa untuk menghukum ini adalah kuasa Mahkamah. Inilah tujuannya diwujudkan tiga (3) cabang dalam kerajaan iaitu Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman. Polis tiada kuasa menghukum. JPJ tiada kuasa menghukum malah kerajaan tiada kuasa menghukum. Hanya Mahkamah sahaja mempunyai kuasa ini. Justeru tindakan menyenarai hitam pemilik kenderaan ini adalah suatu hukuman. Siapa yang menyenarai hitam? Bukan Mahkamah tetapi JPJ. Adakah JPJ telah mendapat perintah Mahkamah untuk menyenarai hitam pemilik kenderaan?

JPJ akan menyatakan mereka mempunyai kuasa di bawah Seksyen 17(1)(d) APJ 1987 untuk menghalang transaksi. Bagaimana kuasa tersebut perlu dibuat? Peruntukkannya menyebut bahawa Pengarah JPJ hendaklah berpuashati bahawa seseorang itu tidak mempunyai “perkara yang belum selesai”. Bagaimana JPJ hendak berpuashati? Mestilah membuat suatu siasatan seperti memberikan peluang membuat representasi kepada pemilik. Ini disebut di dalam Seksyen 17(2) APJ 1987. Adakah ini dibuat? Tanyalah JPJ.

Senario sekarang ini adalah hukum dahulu buktikan kesalahan kemudian. Ini jelas bertentangan dengan prinsip keadilan.



c) Menyenarai hitam bermaksud menghalang rakyat menggunakan harta.

Perkara ini diulas dengan terperinci di dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak & Anor [2009] 6 CLJ 280.

Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Kuching tersebut telah memutuskan bahawa “perkara yang belum selesai” yang dimaksudkan di dalam Seksyen 17(1)(d) APJ 1987 ialah perkara yang telah dibawa ke mahkamah di mana yang dituduh tidak membela diri.

Mahkamah juga memutuskan bahawa tindakan JPJ Negeri Sarawak menyenarai hitam di bawah Seksyen 17(1)(d) APJ 1987 di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang. Malah tindakan tersebut juga dianggap bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak setiap rakyat menggunakan harta mereka.

Akhirnya Mahkamah Tinggi telah membenarkan tuntutan gantirugi terhadap JPJ kerana telah menyebabkan kerugian kepada pemohon di dalam kes itu akibat kehilangan penggunaan harta beliau iaitu kereta yang disenarai hitam.

Justeru saya ingin mengambil peluang ini untuk memperbetulkan persepsi dan pemahaman sesetengah pihak supaya apa yang diperjuangkan dan dibahaskan ini adalah isu penyalahgunaan proses keadilan. FAHAMI ISU SEBENAR! ANDA MAMPU MENGUBAHNYA!





ZULHAZMI SHARIFF

Penasihat Undang-Undang

Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE)

11/3/201

Thursday, March 10, 2011

Saman Ekor - tak perlu bayar


Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) menasihatkan mangsa saman ekor agar tidak membayar kompaun yang dikenakan biarpun tempoh promosi pembayaran berakhir hari ini.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, sekiranya selepas ini mereka disenarai hitam, Kase akan membantu untuk berdepan masalah tersebut di mahkamah.

"Rakyat tidak perlu bayar, yang penting ambil insurans bawa ke JPJ untuk perbaharui cukai jalan, kalau JPJ tak benar, wajib pengarah JPJ kena bagi jawapan bertulis, kenapa.

"Kemudian bawa insurans dan surat itu, kalau polis tahan, biar dia saman, kita lawan di mahkamah," katanya ketika ditemui selepas membangkitkan perkara itu di parlimen semalam.

Tambahnya, keputusan sama ada seseorang itu bersalah dan perlu membayar kompaun hanya ditentukan mahkamah, dan bukan oleh notis saman yang dikeluarkan.

Menurutnya lagi, tindakan JPJ menyenarai hitam pesalah saman ekor adalah salah mengikut keputusan Mahkamah Kucing dalam kes Leonad Lim Yaw Chiang melawan Pengarah JPJ negeri Sarawak pada 2009.

Dalam kes itu, hakim memutuskan bahawa tindakan JPJ menyenarai hitam mengikut Seksyen 17(1)(d) adalah tidak betul dan bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

(Kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak telah diputuskan pada tahun 2009. Di dalam kes ini, seorang rakyat bernama Leonard Lim Yaw Chiang telah disenarai hitam dan dihalang oleh JPJ Sarawak dari memperbaharui cukai jalan kereta beliau. Beliau telah memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuching untuk memutuskan bahawa tindakan JPJ menyenarai hitam dan menghalang beliau memperbaharui cukai jalan adalah salah. Beliau juga memohon gantirugi daripada JPJ di atas kehilangan penggunaan kereta beliau selama kereta tersebut tidak boleh digunakan kerana tiada cukai jalan.

Mahkamah telah memutuskan bahawa JPJ tidak boleh menyenarai hitam kenderaan di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan di Mahkamah. Tindakan JPJ menyenarai hitam diputuskan telah bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan. JPJ juga telah diarahkan membayar gantirugi kepada pemohon dalam kes itu kerana kesusahan beliau tidak dapat menggunakan kenderaan sehingga terpaksa menyewa kenderaan lain.

Justeru di sini ingin dimaklumkan kepada pemandu-pemandu dan pemilik-pemilik kenderaan yang dinafikan hak mereka memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu, bahawa hak anda dilindungi oleh Perlembagaan. Pihak berkuasa tidak boleh sewenang-wenang menafikan hak anda.)

"Kita minta Peguam Negara nasihat JPJ supaya akur keputusan mahkamah iaitu tak boleh blacklist.

"Rakyat tidak boleh dipaksa membayar kompaun yang ditawarkan," kata Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS.

Dalam pada itu, beliau turut mempertikai tindakan kerajaan yang didakwa akan menggunakan teknologi Redflex dalam Automatic Enforcement System (AES).

Katanya, teknologi itu telah dipertikai banyak pihak termasuk di California Amerika Syarikat dan di Arizona.

"Kenapa guna teknologi yang sudahpun dipersoal.

"Dan kenapa syarikat swasta Beta Tegap dan commercial Circle diberi hak pengendalian, sedangkan teknologi guna yang Redflex punya.

"Kenapa kerajaan tak kendalikan sendiri guna teknologi sama, kenapa perlu orang tengah?" soalnya.

Thursday, March 3, 2011

Semarakkan protes saman ekor

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 3 Mac: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, semua jentera penerangan perlu menyemarakkan protes saman ekor yang tidak adil dan membebankan rakyat.

Ini, katanya kerana masih kedapatan 17.1 juta saman ekor yang disenarai hitam sehingga pihak polis terpaksa melanjutkan tempoh bayaran saman diskaun sehingga 10 Mac ini.

“Ini bermakna rakyat sudah protes secara senyap terhadap saman ekor. Sila naikkan kain rentang di seluruh negara,” ujarnyakepada Harakahdaily.

Katanya, kain rentang yang bertulis "Tolak Saman Ekor ,Tolak BN Di PRU 13", "PR Menang Saman Ekor Dihapuskan", "Undi BN , Bererti Anda Setuju Saman Ekor", "Jangan Undi BN, Jika Anda Mahu Hapuskan Saman Ekor" dan lain-lain boleh diletakkan di tempat yang sesuai termasuk di tepi jalan raya.

PAS, ujarnya berpandangan hukuman yang dikenakan kepada pemandu yang tidak membayar saman ekor, sehingga tidak boleh berurusan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan adalah tindakan yang zalim.

Ini, tambahnya menggalakkan mereka yang tidak berlesen dan mempunyai cukai jalan.

Apabila ini berlaku, katanya maka yang rugi ialah kerajaan kerana kehilangan hasil negara.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada rakyat yang kreatif yang telah melaungkan slogan kepada mereka yang sedang beratur ketika hendak membayar saman.

“Antara slogannya ‘kalau tidak mahu saman ekor, kita tolak BN’ , walaupun slogan ini hanya spontan tetapi telah disambut oleh orang ramai,” katanya.

Menurutnya, daripada awal lagi, PAS menggesa pihak kerajaan membawa mereka ke mahkamah untuk dibicarakan barulah mangsa akan berpuas hati kerana kesalahan mereka diketahui.

“Anda mampu mengubahnya. Ubah sekarang sebelum rakyat muflis angkara saman ekor,” ujarnya lagi.

Wednesday, March 2, 2011

P Pinang bagi RM2,000 pelajar kembali ke Mesir


Mohd Sabri Said
GEORGETOWN, 2 Mac: Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini menyerahkan RM2,000 kepada 318 pelajar Mesir dari negeri ini termasuk anak kepada Yang bekas Dipertua Majlis Agama Islam (Maipp), Shabudin Yahya.

Sumbangan tersebut adalah pembuka tirai negeri pertama menyerahkan sumbangan berbanding negeri lain di Malaysia.

Sebelum ini Pulau Pinang juga mendahului mengumumkan peruntukan dan mengadakan perjumpaan antara pelajar dan waris pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri yang diadakan di Dewan Sri Pinang baru-baru ini.

Pada peringkat awal Yang Dipertua Maipp, Ustaz Elias Zakaria telah bertekad memberi keringanan kepada ibu bapa dengan mengeluarkan wang menerusi Pusat Urus Zakat (PUZ) sekurang-kurangnya RM1,000 seorang.

Tetapi, setelah perbincangan dalam mesyuarat Exco semua sepakat menambah RM1,000 lagi daripada kerajaan negeri menjadikan RM2,000 semuanya.

Pada program yang dimulai meraikan pelajar dan ibu bapa dengan makan tengah hari itu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, hasil penjimatan akhirnya banyak perkara boleh Kerajaan Pakatan Rakyat melaksanakannya termasuk bantuan berkenaan sebagai meringankan tanggungan ibu bapa.

Slogan Cekap, Akautabiliti dan Telus (CAT) membawa kebaikan walaupun pada awal pemerintahan terpaksa berhadapan cercaan dan hutang peninggalan Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Selepas mempekenalkan dasar CAT pada umum ia terus melonjak terutamanya para pelabur yang bertambah sejak kebelakangan ini.

"Tentu pelajar tertanya-tanya apakah CAT. Ia bukan kucing sepertimana yang selalu dihebohkan oleh Umno sebaliknya pentadbiran yang menjurus kepada kebebasan, keadilan dan jauh daripada sikap rasuah," ujar Guan Eng.

Sementara itu, Yang Dipertua Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir, Muhamad Hilmi Mohd Yusuf menyifatkan, bantuan itu sebagai galakan terhadap pelajar untuk teruskan belajar di serata univesiti di Mesir.

"Saya mewakili keseluruhan pelajar ucap terima kasih yang tidak terhingga dan berharap kerajaan negeri dapat pula ke sana menziarahi kami sebab sampai saat ini belum ada seorang pun kepimpinan negeri yang berbuat demikian," katanya.

< Prev Next >