Sunday, November 28, 2010

BN hanya fikir selamatkan parti bukan negara



Mohd Sabri Said
KEPALA BATAS, 28 Nov: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya mahu menyelamatkan kedudukan mereka dan tidak langsung memikirkan masalah rakyat di negara ini.

Katanya, walaupun cuba menonjolkan Malaysia sebuah negara hebat di mata dunia, namun hakikatnya rakyat negara ini masih dibelenggu segala permasalahan.

"BN hanya berfikir bagaimana nak selamatkan BN pada pilihanraya umum akan datang tidak pun merencanakan berbagai perancangan menghilangkan tangapan umum tentang Malaysia yang dicintai," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada ceramah anjuran PAS Cawangan Permatang Keriang dengan kerjasama Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Aishah, Penaga, Kepala Batas semalam.

Menurut beliau lagi, sebab itu BN memperkenalkan ahli gabungan dan bersekutu, semata-mata mahu menarik golongan muda yang masih tidak menyokong BN kerana marahkan Umno, MIC, MCA, Gerakan dan sebagainya.

"Apa guna sokong cara yang BN sedang laksanakan sekarang kerana menyokong BN bererti tetap bersekongkol dengan Umno dan komponen lain yang nyata menyelewengkan wang rakyat," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Kata beliau, cara demikian hanya mahu memastikan BN terus kerana yang penting bagi mereka adalah memenuhi kocek sendiri dan kroni terdekat.

Perdana Menteri sepatutnya mengenal pasti kelemahan pentadbiran sendiri dan memperbetulkanya agar mampu memperkasakan negara kembali.

Negara pada waktu ini sedang berdepan kehilangan kepercayaan rakyat kerana hancurnya demokrasi, sistem kehakiman, gejala rasuah, gejala sosial berterusan.

"Nak ubah macam mana, mereka tetap naik perahu yang sama hanya pendayung sahaja yang bertukar tangan.

Tambahan lagi kini perahu yang dinaiki bocor sana sini pasti keadaanya kelam kabut menyalahkan orang itu dan ini bahkan ada yang telah terjun ke laut bila mendapat tahu perahu nak tengelam," jelas beliau.

Berceramah sama dalam majlis berkenaan ialah Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh dan Yang Dipertua PAS Kepala Batas, Rosidi Husein.

Thursday, November 25, 2010

Rosmah bimbang rakyat Malaysia gemuk?




http://ustsaifulbahri.blogspot.com/
Tiga puluh peratus penduduk di negara ini mempunyai berat badan berlebihan manakala 30 peratus lagi obes, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Beliau berkata, ia merangkumi semua peringkat umur, manakala jumlah kanak-kanak yang mengalami masalah kegemukan pula menunjukkan peningkatan yang membimbangkan sejak akhir-akhir ini.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pernah mengadakan lawatan ke sebuah ladang organik di New York bersama Michelle Obama, yang berkempen bagi tabiat pemakanan sihat bagi melawan kadar obesiti yang meningkat di Amerika. Kenapalah dibawaknya Rosmah ke lading organik? Banyak lagi isu lain yang boleh dikemukakan, kenapa pulak isu obes? Macam perli Bigmama aje?

Lawatan ke Stone Barns Center, sebuah pusat pendidikan berasaskan ladang seluas 32 hektar terletak 40 kilometer ke utara bandar raya New York, sambil memerhatikan pelajar gred tiga menuai, memasak dan menikmati hidangan sayur segar, telur dan produk ladang lain.

Rosmah, yang mengakui beliau tidak gemar makan sayur ketika muda berkata, program seumpama ini amat berguna bagi menggalakkan kanak-kanak makan sayur-sayuran yang ditanam di laman sendiri, menyedia dan memasak dan khususnya tanpa bahan kimia dan pengawet.

Rosmah menyuarakan kebimbangan mengenai obesiti di kalangan kanak-kanak di Malaysia yang mungkin disebabkan peningkatan pengambilan makanan segera dan kurangnya senaman.

Bagi anda yang merasa latihan olahraga yang dilakukan sudah mencapai tahap tepu dan sudah tidak menghasilkan kemajuan, anda memerlukan bentuk senaman baru. Apa kata lari menggunakan paracut.

Menurut Murat Gecmen, pelatih dan pemilik FitInFitness, England kaedah ini amat efektif untuk memberi kejutan pada sistem otot. Melakukan sprint dengan mengikatkan paracut kecil di belakang sangat efektif dan meningkatkan heart rate dan menambah kekuatan otot khususnya meningkatkan otot-otot kaki, paha dan tubuh.

Amacam? Sanggup ke? Apa salahnya ikut nasihat isteri PM tu…nak jaga permasalahan obes rakyat semakin teruk kini.

Saturday, November 20, 2010

Hasad dengki punca Pusat enggan iktiraf Dinar Kelantan



Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 20 Nov: Tindakan kerajaan Pusat tidak mengiktiraf penggunaan Dinar dan Dirham Kelantan dibayangi sifat prejudis dan hasad dengki terhadap pemerintahan PAS, kata Dr Dzulkefly Ahmad.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu mengulas jawapan bertulis Menteri Kewangan terhadap soalan lisannya di Dewan Rakyat yang bertanya pendirian Kerajaan Pusat tentang pengenalan Dinar dan Dirham yang diterbitkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

Menteri dalam jawapannya mendakwa penggunaan wang emas dan perak dalam urus niaga akan menyebabkan orang ramai menanggung risiko harganya yang sentiasa turun naik.

Selain itu, pengguna juga akan bermasalah untuk mengesahkan ketulenan emas atau perak serta kemungkinan berlakunya pemalsuan yang berleluasa.

"Amat malang sekali jawapan dari Menteri Kewangan adalah seperti tertera di atas.

"Ternyata apabila Kerajaan Negeri Kelantan memperkenalkan Dinar dan Dirham sebagai instrumen kewangan selain dari mata wang – ’legal tender’, kerajaan BN terus mengecam seolah-olah ia satu kesalahan.

"Prejudis itu juga terserlah dengan memaparkan pelbagai aspek negatif dan risiko yang kononnya akan menimpa rakyat dan pengguna," kata Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Kerajaan Kelantan melancarkan Dinar Emas pada 12 Ogos lalu atas penegasan ianya bukanlah matawang, tetapi hanyalah pengenalan kepada sistem barter trade (perdagangan pertukaran).

Menurut Dzulkefly, prejudis tersebut jelas boleh dilihat apabila Tun Dr Mahathir sendiri pernah melancarkan gold coin yang dinamakan Kijang Emas keluaran Bank Negara Malaysia satu ketika dahulu.

Pada 18 Julai 2001, sekeping syiling Kijang Emas seberat 1 auns harganya ialah RM1,082.

Hari ini pada tarikh 1 Julai 2010, ia sudah boleh dijual dengan harga RM4,104.

"Sungguh malang andainya pimpinan Umno terus menyimpan perasaan prejudis sehinggakan yang rugi ialah rakyat sementara kebaikan yang mahu disampaikan kepada umat terhalang kerana sikap yang sempit dan perasaan yang dilingkungi hasad.

"Pemikiran yang waras dan jiwa yang murni akan dapat mengenali betapa ’politik sempit’ dan kelonggaran pegangan kepada agama Islam akan meletakkan perhitungan kepentingan politik kepartaian mengatasi tuntutan kewajaran dan kebenaran yang dianjurkan oleh Islam," katanya. pakabiz@gmail.com

Friday, November 19, 2010

Himpunan Bersih: Mohamad Sabu, 16 lagi dibebaskan

Jika nak tahu lebih lanjut sila dapatkan tiket masuk diPej Markaz Ehsan dengan segera.....


Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 19 Nov: Hakim Datuk Jagjit Singh membebaskan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu dan 16 yang lain daripada semua pertuduhan kes perhimpunan Bersih 2007 lalu.

Menurut peguam Hanipa Maidin, hakim Mahkamah Sesyen itu membebaskan mereka atas alasan pihak pendakwa gagal membuktikan kes mereka.

“Yang lebih menarik, hakim kata polis langgar kebebasan beragama dalam Artikel 11 Perlembagaan apabila menangkap tertuduh di Masjid Negara,” ujarnya dalam sms kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Saturday, November 13, 2010

PAS perlu menang dengan kekuatan sendiri


Nazri Abdullah
SHAH ALAM, 13 Nov:

PAS perlu menang dalam pilihan raya dengan kekuatan sendiri bukan menumpang kelemahan Umno BN, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Katanya, biarpun Umno lemah namun kekuatan itu perlu dibina kerana cabaran paling besar adalah bukan untuk menang, tetapi kekuatan untuk mengisi kemenangan.

"Kita mahu supaya parti kita mencapai kejayaan dengan kekuatan kita sendiri, bukan dengan kelemahan yang ada pada lawan kita.

"Kita sedar bukan sahaja mahu menang, tapi mengisi kemengan," katanya pada sidang media selepas merasmikan seminar 'PAS Sedia Ganti Umno' di sini hari ini.

Antara pemimpin PAS Pusat yang hadir pada seminar itu ialah timbalannya, Nasharudin Mat Isa, naib, Salahuddin Ayub, ketua muslimat, Nuridah Mohd Salleh, setiausaha agung, Datuk Mustafa Ali, pengarah pilihan raya, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman,

Dalam ucapan sebelum itu, beliau menggariskan tiga perkara bagi membina kekuatan dalam PAS agar parti itu mampu memerintah negara.

Pertama, katanya adalah kekuatan aqidah Islam di kalangan setiap ahli.

Ianya termasuk persoalan akhlak, ibadah dan tarbiyah yang mantap untuk melalui perjuangan yang penuh liku.

"Kalau sama sahaja kita dengan Umno, sama-sama tak sembahyang, sama-sama tak berjemaah, dan tak kuat hubungan dengan Allah, kita tidak akan menang," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Kedua, ujarnya adalah kekuatan pada organisasi yang baik termasuk cawangan yang banyak dan bergerak dan ahli yang ramai.

Antara sebab kawasan PAS kalah pada pilihan raya, katanya adalah kerana tidak mempunyai cawangan yang banyak dan tidak bergerak.

"Berlawan dengan Umno ni lebih teruk berlawan dengan orang gila dan bodoh.

"Orang gila dan bodoh tak boleh buat undang-undang, tapi Umno boleh buat apa sahaja untuk menangkan mereka. Sebab itu kita kena kuat," tambahnya lagi.

Manakala perkara ketiga katanya adalah strategi yang baik dan digerakkan ke akar umbi.

Strategi di semua peringkat jelasnya perlu diselaras agar memberi kesan yang besar pada setiap tindakan yang dibuat.

Umno berundur secara terhormat

Selain itu beliau turut meminta Umno mengaku kelemahan mereka dan berundur secara demokratik dengan memberi laluan kepada PAS dan Pakatan Rakyat memerintah negara.

Ia kerana parti itu sudah jelas lemah dan tidak mampu mengurus rakyat dan negara dengan baik.

"Hari ini Umno adalah teras kepada kepimpinan negara. Kita tahu masalah yang dihadapi walaupun cuba nak sembunyi dengan pelbagai undang-undang tapi akhirnya terdedah.

"Sebab itu kita mintak secara terhormat dan demokratik seperti berlaku di negara-negara lain, pilihan raya adil dan bebas di mana parti pemerintah yang mengalami masalah, sedia berundur. Tapi keadaan ini tak berlaku dalam negara kita," katanya.

Beliau bagaimanapun turut menggesa ahli agar meneruskan usaha dakwah kepada rakyat termasuk ahli Umno agar melakukan perubahan.

Menurutnya, PAS tidak akan menang dengan hanya mengharapkan kepada undi ahli sahaja malah juga memerlukan undi orang Umno.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad akan membentang kertas kerja bertajuk "PAS Ganti Umno; Rasional dan Tindakan".

Manakala AJK PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar akan membentangkan tajuk "Umno dan Krisis Ketuanan Melayu".

Majlis Hi-Tea Bersama Abang Mat Sabu



Majlis ini adalah Anjuran Bersama Majlis Tindakan DUN Paka dan JKS& NGO PAS DUN Paka.

Monday, November 8, 2010

Banyakkan cawangan, aktif sebar maklumat


Banyakkan cawangan, aktif sebar maklumat
Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 8 Nov: Kekalahan PAS di Galas memerlukan parti itu memperbanyakkan cawangan aktif di kawasan, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Cawangan yang aktif, katanya penting bukan sahaja dalam usaha menyampaikan maklumat tepat, malah sebagai duta PAS mendampingi masyarakat.

"Pengajaran besar adalah kita perlu banyak cawangan bergerak.

"Saya harap PAS negeri banyakkan cawangan," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas faktor kekalahan PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas 4 November lalu.

Pada PRK itu Calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed mendapat 4,134 undi berbanding calon BN, Abdul Aziz Yusof 5,324 undi.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, kebanyakan PAS kalah adalah di kawasan pedalaman di mana parti itu tidak mempunyai cawangan yang aktif.

Sebaliknya, rakyat bandar dan pinggir bandar masih mengekalkan sokongan kepada PAS seperti PRU 2008 lalu.

"Trend rakyat bergantung kepada maklumat. Bila rakyat tidak dapat maklumat, kita sukar untuk menang," katanya lagi.

Faktor tersebut juga, ujarnya membezakan kenapa PAS mampu mengekalkan pemerintahan Kelantan namun tidak di Terengganu.

"Saya bangga PAS Kelantan mampu bertahan lebih 20 tahun walaupun dikepung segenap penjuru.

"Bezanya dengan Terengganu adalah kerana Kelantan mempunyai banyak cawangan yang bergerak," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Selain maklumat tidak sampai, faktor besar kekalahan PAS, katanya adalah padang permainan tidak sama rata.

PAS, katanya bukan sahaja berdepan BN, malah berdepan kerajaan itu sendiri.

"Kita tak rasa hairan dengan keputusan itu, bahkan kita merasa hairan jika kita menang.

"Kita ada pengalaman, kita pernah kalah pilihan raya kecil Pengkalan Pasir, tapi bila pilihan raya umum, kita menang.

"Pilihan raya kecil tidak boleh menjadi ukuran sebenar pilihan raya," katanya.

Beliau bagaimanapun turut mengucapkan terima kasih kepada petugas PAS dan Pakatan Rakyat yang bertungkus lumus menjayakan kempen PAS di Galas.

Beliau juga menolak pendapat sesetengah pihak yang mendakwa tsunami politik 2008 berhenti di Galas.

Menurutnya, arus perubahan khususnya di kalangan pengundi muda masih berlaku dan akan terus berlaku jika mereka mendapat akses maklumat.

"Kita lihat mereka yang berpendidikan tinggi, tidak suka kepada BN. Ini satu perkembangan yang baik," katanya

Thursday, November 4, 2010

PAS ucap terima kasih pada petugas Pakatan

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 4 Nov: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz mengucapkan terima kasih kepada para petugas Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP dari seluruh negara yang membantu di dalam pilihan raya kecil (PRK) Dun Galas dan Parlimen Batu Sapi.

Harakahdaily

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menerima kekalahan calon PAS di Galas dan PKR di Batu Sapi.

“Kita akui ada kelemahan dan kita sedia baiki kelemahan dan kesilapan,” ujarnya di laman twitter.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada BN yang memenangi kedua-dua PRK itu.

“Bolehlah buat pilihan raya awal untuk dapat mandat baru,” ujarnya.

Mahfuz seterusnya menggesa para petugas Pakatan Rakyat supaya meneruskan perjuangan.

"Jadikan kekalahan Batu Sapi dan Galas seperti di Ijok dan bangkit semula pada pilihan raya 2008 dengan syarat perbaiki kelemahan dan perbetul kesilapan kita," ujarnya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi yang terus memberikan kepercayaan kepada PAS dan PKR di dalam kedua-dua PRK tersebut.

“Tahniah rakyat,” ujarnya.

Beliau turut menukilkan serangkap pantun berhubung keputusan kedua-dua PRK itu.

Udang galah dibuat kari,

Dicicah ketupat daun palas,

BN tak kalah di Batu Sapi,

PAS tak menang di Galas.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menghargai kegigihan jentera parti dan rakan-rakan Pakatan Rakyat bagi kedua-dua PRK itu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menambah, cabaran untuk ditingkat dalam usaha meneruskan agenda reformasi.

Bagi Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan, kekalahan di dalam PRK jangan dibaca sebagai kalah berjuang.


“Selama kita bersama kebenaran, ia adalah kemenangan. Sabar harungi medan dengan kekalkan prinsip dan akhlak,” ujarnya.

Sambil menyeru petugas parti meneruskan dakwah dan penerangan, beliau menambah, tiada kemenangan percuma buat Gerakan Islam, justeru politik atau siasah pilihan raya hanyalah wasilah atau alat.

Pada PRK Galas, BN menang dengan majoriti 1,190 undi.

Calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed mendapat 4,134 undi sementara calon BN, Abdul Aziz Yusoff memperoleh 5,324 undi di mana 132 undi rosak.

Jumlah pengundi yang membuang undi adalah 9,555 atau 83 peratus.

Keputusan itu diumumkan pegawai pengurus PRK itu, Wan Mustapha Wan Ab Hamid di Dewan Sivik Gua Musang.

Bagi PKR Parlimen Batu Sapi, BN mengekalkan kerusi itu apabila calonnya dari PBS, Datin Linda Tsen yang mendapat 9,773 undi menang dengan majoriti 6,359 undi.

Calon PKR, Ansari Abdullah memperoleh 3,414 undi dan calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee mengutip 2,013 undi.

Hanya 15,774 pengundi atau 61.47 peratus keluar mengundi di Batu Sapi.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohamad Hamsan Awang Supain di Dewan Komuniti Sandakan.