Tuesday, August 31, 2010

Berikan kepercayaan penuh kepada PAS - YB Dato` Seri Tuan Guru Presiden PAS




Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Seluruh rakyat negara ini diseru memberikan kepercayaan penuh kepada PAS menggantikan Umno untuk memimpin mereka dengan lebih adil.

Menurut Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Umno tidak boleh lagi diberi kepercayaan kerana mereka mengelirukan masyarakat dengan memutar-belit ajaran Islam sebenar dan menggunakan isu perkauman utuk kelangsungan politik mereka.

"Kita menyeru kepada masyarakat Islam untuk memberikan kepercayaan kepada PAS sebagai alternatif yang memimpin mereka dan mengajak masyarakat yang bukan Islam supaya tidak memgambil contoh yang buruk yang ditunjukkan oleh Umno berhubung dengan Islam," kata Presiden PAS itu dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Keadilan PAS jelasnya boleh dilihat sendiri oleh masyarakat bukan Islam semasa pemerintahan mereka di Kelantan, Terengganu dan negeri-negeri Pakatan Rakyat di ketika ini, bahkan terus istiqamah dengan prinsip Islam semasa dalam kerajaan pada tahun 70-an.

Menurutnya lagi, punca kepada kecelaruan yang berlaku hari ini adalah kerana kefahaman salah yang ditunjukkan oleh Umno selama puluhan tahun berkuasa di bumi Malaysia ini.

Sejak sekian lama, Umno katanya tidak pernah puas menjadikan isu agama dan perkauman sebagai senjata ampuh mereka menarik sokongan masyarakat.

Paling teruk apabila tindakan Umno tersebut sering digambarkan kepada masyarakat khususnya Melayu sebagai menepati ajaran Islam yang sebenar.

"Mereka telah mencampur adukkan sentimen perkauman sempit dan mengaitkannya seolah-olah tindakan mereka adalah dari ajaran Islam yang sebenar," jelasnya lagi.

Tindakan Umno itu pula jelasnya disambut dan diangkat oleh media Umno sehingga mereka cuba menggambarkan seolah-olahnya hubungan antara kaum dalam negara kita ini berada dalam tahap yang paling buruk.

Masyarakat Islam jelasnya lagi dikelirukan dari segi fahaman agama yang sebenar, manakala masyarakat bukan Islam pula diadu-domba dengan api perkauman dan ketegangan hubungan kaum.

"Saya ingin memberikan nasihat kepada pihak media yang menggunakan isu agama ini untuk menghentikan tindakan mereka, kerana sebenarnya mereka telah mengelirukan umat Islam dengan kegagalan mereka merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi sumber rujukan umat Islam sejak zaman berzaman," katanya.

Sehubungan itu beliau juga menyeru agar umat Islam meneliti setiap maklumat yang disebarkan supaya tidak diperangkap oleh sesuatu maklumat yang salah.

PAS juga menurutnya sentiasa konsisten dengan prinsip Islam dan bersedia untuk berdepan dengan semua pihak termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan, untuk menjelaskan garispanduan yang sebenar dalam semua perkara yang berkait dengan umat Islam.

Friday, August 27, 2010

Umno tentang Majlis Fatwa


Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 28 Ogos: Tindakan Umno mengapi-apikan isu bukan Islam memasuki Masjid dilihat menentang keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan, mempolitikkan kunjungan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching ke Surau Al-Huda di Kajang Ahad lalu.

Muzakarah Kali Ke-90 jawatankuasa tersebut yang bersidang pada 1 Mac 2010 lalu telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.

Walaubagaimanapun, mengikut keputusan itu, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

"Nyatalah histeria Umno dan konco-konconya itu memalukan umat Islam dengan tindakan mereka yang bukan-bukan sehingga perkara yang diputuskan halal pun diharamkan oleh mereka," kata Mahfuz.

Keharusan tersebut juga sebagai cara menunjukkan keindahan Islam kepada bukan Islam.

Umat Islam juga dibenarkan melakukan ibadah sembahyang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al-Khattab pernah melakukannya.

"Umat Islam janganlah mengizinkan diri mereka diperbodohkan oleh politik perkauman Umno," jelasnya.

Dalam pada itu Teo Nie Ching menjelaskan beliau hanya mahu menyampaikan sumbangannya bagi memperbaiki pagar seperti yang diminta oleh pihak pengurusan surau tersebut.

Mengenai tindakan memasuki ruang solat utama di surau itu, Teo berkata, beliau hanya memenuhi jemputan.

"Pada hari tersebut mereka menjemput saya masuk.

"Saya tidak dinasihatkan oleh (pengurusan) surau untuk memakai tudung. Saya (pun pada mulanya) tidak menyangka saya boleh masuk surau itu," jelasnya.

Tuesday, August 24, 2010

Noh Omar Membisu SPRM Di KSSB



Jika anda mahu menyertai Majlis berbuka puasa bersama bekas Imam Masjid AlAqsa Baitulnaqdis Palestin sila sms kepada 0199822498 tulis Nama/berapa kad ditempah(Tempat terhad)
.....................................................................................
Ditulis oleh Ustaz Idris Ahmad
TUESDAY, 24 AUGUST 2010 10:09


Parti Islam Se-Malaysia PAS mengucap tahniah atas kesungguhan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor yang bersungguh-sungguh untuk mewujudkan kerajaan yang telus dalam pentadbirannya. Tindakan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) iaitu anak syarikat kerajaan Negeri Selangor dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersetuju untuk menubuhkan pasukan petugas khas bagi membanteras rasuah melibatkan perlombongan pasir di Selangor. Persetujuan itu dicapai pada pertemuannya dengan SPRM di pejabat Menteri Besar.


Tujuan penubuhan pasukan petugas khas, supaya SPRM lebih bebas untuk memantau perjalanan operasi KSSB dan mengesan sekiranya ada prosedur yang boleh membuka ruang kepada rasuah.



PAS berpandangan tindakan ini adalah menunjukan betapa serius kerajaan PR yang hendak memastikan khazanah bumi Selangor dapat dinikmati oleh semua rakyat tanpa mengira kaum. Selama ini industri pasir adalah merupakan lubuk emas untuk kroni Umno. Kesannya yang kaya kroni, manakala negeri dan rakyat makan lumpur. Apabila industri pasir yang distruktur semula selepas Pakatan Rakyat memerintah selepas PRU 12, maka suasana telah berubah. Ini dibuktikan dengan kutipan royalti semasa Pakatan Rakyat memerintah antara tahun 2008-2009 sebanyak RM12.93 juta, jauh mengatasi zaman BN daripada tahun 2006-2007 hanya RM8.66 juta



Keputusan yang bijak ini telah mematikan isu pasir di Selangor, kononnya berlaku penyelewengan oleh hero pasir Datuk Noh Omar dan Datuk Seri Khir Toyo. Kita mengharapkan kalau boleh SPRM boleh buka balik fail-fail projek pasir yang dikendalikan oleh kerajaan BN dahulu, supaya rakyat tahu siapakah perompak pasir di Selangor. Sekarang Datuk Noh Omar tidak berani berkokok lagi, terutama selepas Tan Sri Khalid minta secara rasmi kepada Tan Sri Muhyidin Yasin, Datuk Seri Hishamudin Husin Onn, Ketua Polis Negera dan Ketua Polis Negeri supaya tangkap siapa yang mencuri pasir dan langgar undang-undang. Ditambah pula dengan tindakan terbaru yang berani untuk menempatkan menubuhkan petugas khas di pejabat KSSB. Sekarang apa lagi Datuk Noh dan Datuk Seri Khir Toyo mahu?

Ustaz Idris Ahmad

Monday, August 23, 2010

Program Sekampit Beras Sekilo Gula Anjuran Markaz Ehsan

Paka
Markaz Ehsan sekali lagi pada tahun ini akan menganjurkan program kebajikan untuk golongan yang kurang berkemampuan sekitar DUN Paka . Program yang dikenali ramai iaitu Sekampit Beras Sekilo Gula akan diadakan pada 28 Ogos 2010 ini iaitu hari Sabtu di perkarangan pejabat baru Markaz Ehsan No 1 Kg Pinang Merah Paka.

Majlis tersebut akan bermula jam 10 pagi dan akan disempurnakankan oleh penasihat Markaz Ehsan Ustaz Saiful Bahri Mamat yang juga Pengerusi MTD Paka dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu.

Pihak Markaz Ehsan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi mengharapkan semua 19 Cawangan PAS dalam DUN Paka menghantar nama fakir miskin dan anak yatim ke pejabat Markaz Ehsan dengan secepat mungkin selewat-lewatnya pada atau sebelum 26 Ogos 2010 ini untuk diselaraskan jumlah barangan dan duit raya kepada penerima dalam majlis itu nanti.

Pengerusi Markaz Ehsan ketika dihubungi berkata pihaknya mengalu-alukan segala bentuk derma dan sumbangan yang berupa barangan atau wang ringgit untuk diagihkan kepada fakir miskin dalam majlis itu nanti. Sebanyak RM20,000.00 diperlukan untuk menjayakan program tersebut setiap tahun.

Friday, August 20, 2010

Khutbah: Kenyataan politik sempit Zahid Hamidi

Mohd Sabri Said
GEORGETOWN, 20 Ogos: Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) tidak pernah mengeluarkan arahan supaya nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dimasukkan dalam doa khutbah ke dua solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sepertimana yang dinyatakan oleh Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim dalam sidang medianya di Tingkat 28 Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pagi tadi menafikan kenyataan Zahid itu dengan menganggap ia adalah kenyataan berbau politik yang sempit.


"Kerajaan negeri dan JHEAIPP menafikan perkara itu dan menggangap ia adalah mainan politik Datuk Zahid Hamidi untuk bangkitkan kemarahan masyarakat Islam," terangnya.

Abdul Malik berpendapat kejadian itu merupakan sabotaj untuk menggambarkan kerajaan negeri tidak prihatin terhadap khutbah yang disampaikan di masjid-masjid.

Ini katanya, setelah gagal memainkan isu kononya Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat menzalimi peniaga Melayu di Bazar Ramadhan, peniaga Melayu tepi jalan serta bermacam-macam usaha lagi.

Tindakan tersebut disyaki sengaja dicipta untuk melagakan kerajaan negeri dengan pihak istana sepertimana yang berlaku di Johor dalam isu kain rentang sehingga mencetuskan kemurkaan Sultan Johor.

Katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Maung, Umno dan Barisan Nasional (BN) amat cemburu setelah dua tahun pentadbiran kerajaan negeri berjaya membuktikan perkembangan agama Islam mendapat keutamaan.

"Tidak lain mereka hanya cemburu bila kerajaan negeri berjaya membuktikan perkembangan Islam diberikan keutamaan, contohnya menambah peruntukan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Maipp) dari RM12.5 juta kepada RM24.3 juta iaitu pertambahan 100 peratus selain bantuan Ihya Ramadhan dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang dihentikan semasa pemerintahan BN dulu," ujar beliau.

Umno, kata Malik, lebih tertekan apabila kerajaan negeri mengambil sikap terbuka untuk menganjurkan program Sambutan Bulan Al-Quran, anugerah kepada para huffaz sejak diperkenalkan pada tahun 2008 yang mana mendapat sambutan yang memberangsangkan.

Keprihatian Ketua Menteri hadir dalam majlis agama Islam umpamanya program Ihya Ramadhan, Maulidur Rasul dan majlis berbuka puasa yang sedang rancak disusun di masjid-masjid sememangnya menggusarkan pihak tertentu kerana sebelum ini tidak pernah dilaksanakan oleh Ketua Menteri terdahulu.

Kepada rakyat, pesannya, jangan terpengaruh dengan usaha buruk itu jika mahukan Negeri Pulau Pinang terus maju.

"Kita yakin majoriti rakyat tidak mudah terpengaruh dengan cara sebegini. Cabaran yang diterima tidak akan membantut dan melemahkah usaha kita memartabatkan agama Islam di negeri ini," tambahnya.

Sementara itu, Yang Dipertua Maipp, Ustaz Elias Zakaria ketika dihubungi menafikan apa yang diperkatakan oleh Zahid Hamidi dan menyifatkan semua itu merupakan kenyataan palsu.

Kerajaan langgar hudud Allah, rakyat hidup tanpa batas

Nik Abdul Aziz Nik Mat
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

سُورَةٌ أَنْزَلْنَاهَا وَفَرَضْنَاهَا وَأَنْزَلْنَا فِيهَا آَيَاتٍ بَيِّنَاتٍ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
-النور : 1
Yang bermaksud : Ini ialah satu "surah" yang Kami turunkan dan Kami wajibkan hukum-hukumnya, serta Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu beringat (mengamalkannya).

Alhamdulillah, setinggi-tinggi lafaz syukur kita rakamkan ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah rahmat dan keizinan daripadaNya, dapat kita bersama-sama berada di dalam Majlis perasmian sambutan Hari Hududulullah negeri Kelantan darul naim untuk kali ini. Tahniah saya ucapkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan di atas penganjuran sambutan ini. Saya difahamkan majlis ini telah didahului dengan seminar Hukum Sebat di Dalam Islam yang telah bermula semenjak pagi tadi. Sekali lagi tahniah dan syabas kepada pihak penganjur. Saya mulakan dengan serangkap pantun :

Papan tualang mari diukir,

buat penyeri si kayu jati,

siang malam hidup berzikir,

hidup bersendi kehendak rabbi..
Undang-undang hudud merupakan salah satu daripada undang-undang yang difardhukan oleh Allah SWT. Sebagaimana kita wajib bersolat, berpuasa dan mengeluarkan zakat, begitu jugalah wajib untuk kita menegakkan tuntutan melaksanakan undang-undang yang disediakan oleh Allah SWT. Jika kita boleh menerima bahawa di sekolah ada undang-undangnya di mana pelajar perlu mematuhi arahan guru dan pentadbir. Di pejabat ada undang-undangnya di mana pekerja perlu mematuhi arahan majikannya. Di dalam negara ada undang-undangnya di mana rakyat diminta taat patuh kepada pemimpinnya. Maka adakah manusia hidup di dunia Allah ini, tidak dikenakan undang-undang? Sudah tentu lebih daripada itu kerana hidup ini satu urusan yang terlalu sulit dan compilcated sehinggakan di luar daripada kemampuan manusia menguasainya. Siapakah yang berhak menentukan undang-undang hidup di dunia selain daripada pencipta dunia sendiri iaitu Allah SWT? Inilah yang disebut di dalam firmanNya:

إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ يَقُصُّ الْحَقَّ وَهُوَ خَيْرُ الْفَاصِلِينَ – سورة الأنعام : 57

Yang bermaksud : Hanya Allah jualah yang menetapkan hukum; Dia menerangkan kebenaran dan Dialah sebaik-baik yang memberi keputusan.

وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ صِدْقًا وَعَدْلًا – سورة الأنعام : 115

Kebenaran itu milik Allah, keadilan juga milik Allah SWT.

Saya dimaklumkan dalam seminar yang diadakan pagi tadi bukan sekadar kertas kerja ada demonstrasi hukuman sebat di dalam Islam. Saya yakin tuan-tuan sekalian telah mendapat pendedahan dan maklumat yang banyak daripada seminar tersebut. Perlulah diingatkan bahawa hukuman sebat merupakan hukuman yang diturunkan oleh Allah SWT. Ayat yang saya bacakan di awal ucapaan tadi merupakan permulaan surah an-Nur. An-Nur memberi makna cahaya. Cahaya matahari, bulan, bintang diperlukan untuk fizikal. Cahaya al-Quran dan al-Sunnah diperlukan untuk rohani manusia:

يَوْمَ تَرَى الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ يَسْعَى نُورُهُمْ بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ بُشْرَاكُمُ الْيَوْمَ – الحديد : 12

Yang bermaksud : (yaitu) pada hari ketika kamu melihat orang mukmin laki-laki dan perempuan, sedang cahaya mereka bergerak dengan cepat di hadapan dan di sebelah kanan mereka, (Dikatakan kepada meraka): "Pada hari Ini ada berita gembira untukmu

Adapun surah an-Nur itu tadi dimulakan dengan:

سُورَةٌ أَنْزَلْنَاهَا وَفَرَضْنَاهَا وَأَنْزَلْنَا فِيهَا آَيَاتٍ بَيِّنَاتٍ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Yang bermaksud : "surah" yang Kami turunkan dan Kami wajibkan hukum-hukumnya, serta Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu beringat wahai manusia.

Perhatikanlah bagaimana Allah SWT menggunakan perkataan أَنْزَلْنَاهَا bermaksud Kami turunkan diikuti dengan فَرَضْنَاهَا bermaksud wajibkan hukum-hukumnya dan setusnya أَنْزَلْنَا فِيهَا آَيَاتٍ بَيِّنَاتٍ iaitu Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata. Ketiga-tiga ini dinyatakan secara berturutan dan beriringan. Walaupun kita semua sudah maklum bahawa al-Quran memang diturunkan oleh Allah SWT, dan memang difardhukan hukum-hukumnya oleh Allah SWT dan diturunkan ayat-ayatnya dengan terang dan jelas juga oleh Allah SWT. Bagaimanapun apabila ketiga-tiganya dinyatakan secara berturutan di dalam satu ayat, ia merupakan satu isyarat bahawa betapa seriusnya perintah yang akan dinyatakan selepasnya. Perintah itu ialah hukuman sebat yang merupakan salah satu daripada hukuman hudud. Justeru, diakhirkan ayat tersebut dengan perintah لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ yang bermaksud supaya kamu benar-benar beringat. Beringat ertinya sentiasa pada setiap masa kita hendaklah mengambil ingatan bahawa perintah-perintah yang mengandungi hukuman-hukuman tersebut telah ditetapkan oleh Allah SWT dan akan disoal olehNya di padang Mahsyar kelak.ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ

Allah SWT berfirman selepas ayat 1 Surah an-Nur tersebut:

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِئَةَ جَلْدَةٍ وَلَا تَأْخُذْكُمْ بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ – النور أية 2

Yang bermaksud : Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.

Hudud bukanlah bererti hukuman sebat dan potong tangan semata-mata. Malangnya wajah hudud telah diberikan imej yang cukup buruk oleh media Barat dengan sokongan media sekular di dalam negara menjadikan masyarakat seringkali tersalah anggap tentang hudud. Hakikatnya hudud bermakna batasan. Setiap apa yang diperintahkan atau dilarang oleh Allah SWT itulah yang dinamakan batasan. Melanggar batasan dengan meninggalkan apa yang disuruh atau mengerjakan apa yang dilarang itulah yang disebut sebagai melanggar hududullah. Al-Quran menyebut perkataan hudud bukan sahaja di dalam bab jenayah, tetapi dalam masalah peraturan rumahtangga dan nikah cerai. Allah SWT berfirman:

وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَنْ تَأْخُذُوا مِمَّا آَتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا إِلَّا أَنْ يَخَافَا أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ – سورة البقرة أبة 229

Yang bermaksud : Dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang telah diceraikan itu), kecuali jika keduanya (suami isteri ) takut tidak dapat menegakkan hudud Allah yakni aturan-aturan hukum Allah.

Di dalam masalah pembahagian harta pusaka, turut disebut perkataan hudud. Firman Allah SWT:

فَإِنْ كَانُوا أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ فَهُمْ شُرَكَاءُ فِي الثُّلُثِ مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصَى بِهَا أَوْ دَيْنٍ غَيْرَ مُضَارٍّ وَصِيَّةً مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَلِيمٌ (12) تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ... –سورة النساء أية 12-13

Yang bermaksud: Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). Ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar. Itulah hudud (batas-batas Syariat) Allah.

Hari ini negara sedang berada pada keadaan yang sangat memalukan. Kita sering kedengaran berlaku rasuah, penyelewengan dan pecah amanah semakin meningkat. Peningkatan gejala sosial pula kini sampai ke tahap sangat-sangat membimbangkan, ditambah lagi dengan purata setiap 16 minit satu kes kecurian di negara kita. Kes-kes buang bayi pula semakin membimbangkan di mana ia meningkat 154%, dengan 54 kes dari Januari hingga kini, berbanding hanya 42 kes pada tempoh yang sama tahun lalu. Begitu juga dengan peningkatan kes pembunuhan, rogol, ragut dan pelbagai jenayah lain.

Kenapakah undang-undang yang ada tidak mampu membendung masalah inni? Tidak lain hanyalah kerana undang-undang yang ada tiada kemampuan untuk pencegahan. Undang-unadang yang dicadang oleh Allah SWT itulah yang merupakan satu pencegahan. Firman Allah SWT:

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ – سورة المائدة: 38

Yang bermaksud : Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Kita di Kelantan dengan dasar Membangun Bersama Islam sudah lama menyedari hakikat ini. Di antara maksud Membangun Bersama islam ialah :

1) Mendidik, mentarbiah qalbu manusia supaya bertaqwa kepada Allah SWT sejak kecil-kecil lagi sampai ke peringkat remaja dan terus kepada meningkat dewasa.

Bayi di atas riba diperdengarkan bismillahir Rahmanir Rahim setiap kali susuan dilakukan. Yang terbaik lagi ibu perlu berwudhuk sebelum susuan dilakukan. Nama Allah, nama al-Rahman, nama al-Rahim, adalah suntikan ajaib untuk mengukir berkat dan qudus ke atas qalbu bayi yang baru mengenali alam dunia. Tidak ada doktor, tidak ada alat canggih yang boleh mengesan seni Asmaul Husna ke atas qalbu bayi.

2) Bila anak memasuki alam persekolahan, guru pula mencambah, membajai benih-benih yang telah ditabur oleh golongan ibu di rumah tadi. Dan bila mereka melepasi alam persekolahan dan memasuki alam pekerjaan, menjadi rakyat, bergerak dalam semua bidang hidup, pihak kerajaan pula menyambung, membimbing, dan melaksana segala benih yang ditabur di rumah, dan di sekolah, supaya ianya berubah dan mendatangkan hasil yang memenuhi kehendak : iman dan taqwa kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آَمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ – سورة الأعراف، أية 96

Yang bermaksud : Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, Pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka segala macam berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat kami) itu, Maka kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.

Adalah mendukacitakan sangat-sangat kerana kita yang pandai-pandai menolak pencegahan daripada Allah SWT. Bagaimana rakyat mahu menjaga batas sekiranya kerajaan yang berkuasa sendiri tidak mempedulikan batas hududullah sendiri? Bila kerajaan melanggar hudud Allah, dengan sendirinya rakyat hidup tanpa batas. Di sana sini berlaku pelanggaran terhadap hudud Allah SWT dengan sewenang-wenangnya.

Tersebarnya gambar-gambar dan video yang merosakkan melalui media massa maupun internet dan disaksikan oleh anak-anak muda kita setiap hari semakin mendekatkan mereka kepada gejala keruntuhan moral dan akhlak. Lantas dengan kudrat yang ada, kekangan undang-undang dan kewangan, kita di Kelantan telah melakukan setakat yang termampu untuk meletakkan Islam sebagai syariah yang memerintah bukannya diperintah. Lahirlah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan pada tahun 1993 hasil sumbangan idea dan garapan beberapa tokoh undang-undang yang terkenal seperti Allahyarham Prof. Ahmad Ibrahim, Almarhum Prof Mahmud Saidun Awang Osman dan beberapa nama-nama yang lain. Namun, sekeping surat bertarikh 8 Jun 1994 daripada Perdana Menteri Malaysia pada masa itu kepada Menteri Besar Kelantan telah menghalang hasrat murni kerajaan negeri Kelantan ini.

Kita tidak pernah berputus asa. Apa yang mampu untuk kita laksanakan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri akan dilaksanakan. Kita membataskan penjualan arak, mengharamkan riba, melarang acara tari-menari di majlis-majlis keramaian, menguatkuasakan larangan menghidangkan minuman alkohol di hotel-hotel dan banyak lagi perubahan yang telah kita perkenalkan yang kesemuanya bersumberkan dari ajaran al-Quran.

Untuk memastikan kewajipan menutup aurat terlaksana, kita mewajibkan mana-mana papan iklan hanya menayangkan gambar yang menutup aurat, kita juga mewajibkan para peniaga beragama Islam di premis-premis perniagaan berpakaian menutup aurat selain turut mewajibkan kakitangan kerajaan yang beragama Islam menutup aurat dengan sempurna. Manakala bagi yang tidak beragama Islam, kita pohon supaya dapat berpakaian dengan baik dan sopan. Semua ini bagi memastikan suasana sekitar tidak tercemar dengan amalan pendedahan aurat yang menyebabkan berlakunya seks bebas dan zina. Apa yang mampu kita lakukan mengikut bidang kuasa kerajaan negeri sudah kita laksanakan. Selebihnya terletak pada bahu kerajaan pusat kerana kita menghormati konsep federalisme. Tepuk dada tanya iman.

Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak JAHEIK di atas kejayaan menganjurkan sambutan hari hududullah pada tahun ini. Semoga dengan penganjuran ini, kita sentiasa mengingatkan rakyat Kelantan khususnya bahawa kewajipan melaksanakan dan menjaga undang-undang Allah SWT sentiasa terpikul setiap masa. Semoga setiap amalan kita mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.

Artikel di atas adalah teks ucapan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Hudud Negeri Kelantan pada 9 Ramadhan 1431H bersamaan 19 Ogos 2010 di Dewan Besar Balai Islam Lundang, Kota Bharu.

Saturday, August 14, 2010

Umno politikkan Masjid

Posted on Saturday, August 14 @ 04:39:33 PDT by tokdalang
Oleh Roslan SMS

Saya mendapat maklumat yang Umno Selangor mahu menganjurkan Majlis Berbuka Puasa di Masjid Nurul Ehsan, Taman Medan, Petaling Jaya. Khabarnya untuk memeriahkan majlis mereka akan mengundang Presiden Umno yang juga PM iaitu Najib Tun Razak.

Ini bukan kali pertama Umno menggunakan masjid bagi tujuan ini. Malah hampir tiap tahun ia menganjurkannya sejak hilang kuasa di negeri ini. Tahun lepas di Kuang dan sebelumnya di Ampang (tetapi dibatalkan kerana tidak mendapat kelulusan).

Saya turut difahamkan Nazir dan JK Masjid Nurul Ehsan membantah penganjuran program bercorak politik di masjid mereka.

Saya hairan mengapa mereka perlu seret pemimpin mereka ke kawasan DUN (Taman Medan) dan Parlimen (PJ Selatan) yang mereka kalah. Jelas tiada alasan lain selain mempolitkkan majlis untuk kepentingan mereka. Ini jelas bertentangan dengan titah Tuanku Sultan Selangor.

Kalau benar pun PM mahu turun berbuka puasa dengan rakyat, masuklah ikut pintu hadapan. Negeri ini ada kerajaannya. Berilah salam dan mohon maklum. Saya percaya jika dibuat melalui pintu hadapan Menteri Besar, EXCO, ADUN dan rakyat jelata sendiri boleh keluar tanpa merasa yang majlis itu nanti suatu majlis politik.

Tetapi kalau ikut pintu belakang, curi-curi dan memeblakang peraturan yang ada, layak sangatlah Nazir dan JK Masjid menolak malah rakyat jelata pun berhak bersuara membantah.

Jangan politkkan masjid kami di bulan Ramadhan ini...........

http://n32.blogspot.com/

Wednesday, August 11, 2010

Kerajaan tarik balik senarai hitam saman ekor


Harakahdaily
PUTRAJAYA, 11 Ogos: Kerajaan menarik balik tindakan menyenaraihitamkan kenderaan pesalah-pesalah trafik akibat saman ekor buat sementara waktu bermula hari ini hingga 28 Februari tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, ini berikutan keputusan memberi kelonggaran semasa musim perayaan yang akan tiba tidak lama lagi.

Langkah ini adalah kemenangan besar bagi perjuangan menentang saman ekor yang dibuat oleh rakyat negara ini khasnya dari PAS sendiri.

Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar (gambar) bersama rakan-rakannya telah menubuhkan Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) dan bergerak ke seluruh negara bagi menentangnya.

Pada 5 Ogos lepas, beliau bersama rakan-rakannya ke pejabat Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha bagi berbincang mengenai tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan dan lesen kenderaan akibat menerima saman ekor.

Namun, hanya setiausaha akhbar menteri berkenaan bertemu dengan mereka.

Jawatankuasa berkenaan juga telah mengatur satu pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi membincangkan perkara sama.

Semalam, 10 Ogos, Kase telah membuat aduan kepada Suhakam bagi meminta badan hak asasi manusia membantu rakyat memperjuangkan hak mereka.

"Kami berharap pihak menteri tidak ada masalah dengan pertemuan ini kerana isu ini melibatkan rakyat secara keseluruhannya.

"Kami minta pihak Kementerian Pengangkutan membuat keputusan bijak dengan mengarahkan JPJ membatalkan black list tersebut dan izinkan orang ramai untuk perbaharui cukai jalan.

"Kase juga akan tetapkan satu tarikh untuk bertemu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin untuk berbincang isu saman ekor ini kerana pihak polis pun memainkan peranan dalam mengenakan saman ekor ini," kata Mahfuz pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Ibu Pejabat PAS di sini 2 Ogos lepas.

Tuesday, August 10, 2010

TGHA : Tiada Kerjasama PAS & UMNO

Posted on Monday, August 09 @ 20:11:26 PDT
Dilulus untuk paparan oleh CyberSniper

Oleh SyababPaka

Paka, Trg, 9 Ogos- Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang hari ini sekali menegaskan tiada kerjasama PAS & UMNO dalam ceramah Isu Persidangan DUN Terengganu di Paka pada hari ini. Coretan sejarah antara PAS & UMNO sejak dulu sehingga hari ini telah menunjukkan pengkhianatan UMNO terhadap PAS. Jika isu perpaduan Melayu yang dilaungkan, mengapa ketika PAS memerintah Terengganu pada tahun 1999 dinafikan hak royalti minyak? Adakah pemerintahan PAS ketika itu bukan dari orang Melayu? Dan hari ini pula orang Melayu di Kelantan dinafikan hak yang sama.


Tahalul Siasi antara PAS dengan rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) semakin mantap dimana dalam Konvensyen PR yang lalu, semua anggota PR bersetuju untuk menerima Islam sebagai agama persekutuan dan Hak Keistimewaan Melayu. Langkahan perjuangan PAS semakin ke depan apabila Dewan Himpunan Penyokong PAS dari kalangan bukan Islam telah ditubuhkan. jesteru itu, ahli dan penyokong PAS digesa supaya melipat ganda usaha dakwah dan penerangan kepada pengundi terutamanya kepada kaum Melayu di pedalaman yang masih kurang mendapat pendedahan semasa.


Ceramah ini juga turut disertai oleh YB Wahid Endut (Ahli Parlimen K.Terengganu & ADUN Wakaf Mempelam). Beliau menyata banyak perkara berkaitan dengan isu DUN Terengganu. Antaranya tayangan sidang secara online telah dihentikan oleh kerajaan UMNO bagi menyekat maklumat dapat di akses oleh rakyat. Selain itu, banyak soalan DUN yang dikemukan ditolak untuk dijawab. Berkenaan perbelanjaaan Terengganu sebanyak RM1.78Billion menjadikan perbelanjaan terbesar bagi negeri Di Malaysia apabila dibandingkan dengan negeri-negeri lain namun rakyat Terengganu tetap miskin.


Dalam ceramahnya juga, beliau mendedahkan survival politik UMNO hanya pada 3 perkara iaitu FELDA, undi POS, Sabah & Sarawak. Selain itu, mereka cuba melemahkan PR dengan 4 perkara iaitu Melaga-lagakan Parti dalam PR, menyerang negeri-negeri PR, menyerang peribadi pemimpin PR dan melaungkan Perpaduan Melayu UMNO PAS. Oleh itu, setiap ahli dan penyokong digesa supaya tidak terpengaruh dengan dakyah mereka terutama melalui media massa.

Sebelum pada ceramah tersebut, Tuan Guru Presiden merasmikan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Paka di Kg Pinang Merah. Dengan kewujudan pusat tersebut, kerja-kerja kemasyarakatan dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan sistematik. InsyaAllah.


http://syababpaka.blogspot.com/

Saturday, August 7, 2010

Markaz Ehsan buat persiapan terakhir sebelum diresmikan olehYB TG Presiden PAS


Markaz Ehsan sudah hampir siap....untuk majlis perasmian pada 9 Ogos 2010 nanti.

Markaz Ehsan mempunyai sejarahnya yang tersendiri...... asalnya adalah hasil kertas kerja BPPNT yang telah dibentangkan oleh Cik gu Pa masa tu sekarang Dato Mustafa Ali di Masjid Rusila pada tahun 1996. Kemudian PAS Kawasan Dungun telah melancarkan Pusat Khidmat Masyarakat pada 18 Oktober 1996. Majlis Tindakan DUN Paka adalah yang pertama sekali menubuhkan Pusat Khidmat Masyarakat dalam Kawasan Dungun iaitu pada 1 Januari 1997 ditubuhkan oleh MTD Paka . Mesyuarat pertama setelah ditubuhkan ialah pada 3 Januari 1997 hari Jumaat bertempat di Masjid Kg Nyior.AJK yang dilantik bertanggung jawab untuk menguruskan operasi Puat Khidmat dengan bantuan dari semua PAS Cawangan dalam DUN Paka.


AJK Pusat Khidmat Masyarakat DUN Paka telah mengambil keputusan dalam mesyuarat tersebut untuk melawat sambil belajar ke Darul Qara` Kelantan 25 & 26 Januari 1997 dalam bulan Ramadhan untuk menimba ilmu dan pengalaman Pusat Khidmat Umum di Kota Bharu Kelantan.



Seterusnya AJK Pusat Khidmat Masyarakat DUN Paka telah mengambil keputusan untuk menjemput Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selaku Timbalan Presiden PAS ketika itu untuk merasmikan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Paka iaitu pada 9 Syawal 1417 bersamaan 17 Februari 1997. Pejabat pertama ialah di Lot 1047 Jln Besar Paka. Dalam Ceramah Perasmian turut disertai oleh YB Hj Zulkifli Mamat ADUN Pulai Condong dan Dato` Mustafa Ali selaku YDP PAS Kawasan Dungun ketika itu.


YB Dato` Seri Tuan Guru Presiden PAS (Masa tu masih Timb Presiden PAS) telah merasmikan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Paka dan seterusnya memberikan nama `MARKAZ EHSAN`dan terus popular dengan nama tersebut hingga ke hari ini.

Pejabat Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu sudah ready...bila nak masuk?


Tidak lupa juga gambar ketua negara....DYMM


Insya`Allah Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang akan merasmikan Pejabat baru ini kemungkinan yang akan kekal tanpa pindah randah lagi...Markaz Ehsan ini dibina hasil sumbangan dari ahli PAS dan orang ramai yang turut simpati dengan perjuangan PAS dengan kos hampir RM50,000.00.

Markaz Ehsan masih mengharapkan sumbangan seterusnya setiap bulan dari ahli dan penyokong PAS bagi meneruskan aktiviti kebajikan kepada masyarakat. Alhamdulillah sekarang ini telah ada penyumbang tetap setiap bulan bagi menampung kos operasinya. Pihak Markaz Ehsan mengucapkan ribuan terima ksaih atas semua sumbangan yang diterima dan semoga Allah jua lah yang akan membalas sumbangan jihad fisabilillah tersebut AMIN

Catatan Pengerusi Markaz Ehsan.

Wednesday, August 4, 2010

2010 Terengganu Meningkat Menjadi RM2.2 bilion

Wednesday, 04 August 2010 02:14 Wartawan Buletin

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu yang diterajui oleh Umno akan Mesyuarat Yang Kedua Penggal Persidangan Yang Ketiga Dewan Undangan Negeri Kedua Belas (Sidang DUN) yang akan diadakan pada 8 dan 9 Ogos ini akan mencadangkan usul membuat ketetapan bersetuju meluluskan tambahan peruntukan.

Usul tersebut yang akan akan dikemukakan oleh wakil Seberang Takir, Ahmad Razif Abd Rahman mencadangkan peruntukan tambahan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM157, 096,700.00.

Selain usul tersebut, Menteri Besar Dato' Ahmad Said berdasarkan Tertib Pekerjaan Sidang DUN akan membentangkan Enakmen Perbekalan Tambahan Pelbagai Perkhidmatan yang menokok bajet mengurus negeri sebanyak RM63, 220,000.00.

Kedua-dua tambahan kewangan yang akan dikemukakan adalah bagi menambahan bajet negeri pada tahun ini, berjumlah RM220, 316, 700.00

Pada sidang DUN hujung tahun lalu, sebanyak RM1.88 bilion telah diluluskan bagi bajet negeri Terengganu bagi tahun 2010

Dengan peruntukan tambahan yang akan dicadangkan dalam sidang DUN 8 dan 9 Ogos ini, negeri Terengganu menjadi sebuah negeri di Semanjung yang meluluskan bajet terbesar bagi 2010 iaitu sebanyak RM2.2 bilion.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat Pra-Sidang DUN di pejabat Perhubungan PAS Terengganu disini semalam, Selasa 3 Ogos.

Beliau yang juga wakil Wakaf Mempelam berkata ia suatu bajet negeri yang amat besar jumlahnya sedangkan hasil negeri tidak meningkat.

"Bajet 2010 yang dibentangkan pada Disember lalu jelas menunjukkan kerajaan negeri bergantung dengan Dana Khas dimana 92% bersamaan RM1.731 bilion adalah datang dari sumber itu, dan hanya 8% bersamaan RM163 juta sahaja dari sumber kerajaan negeri,"ujarnya.

Menurut Haji Wahid, tidak dinyatakan sumber dari mana peruntukan tambahan yang akan dikemukakan pada sidag DUN 8 dan 9 Ogos ini.

Namun, katanya, kerajaan Umno Terengganu akan meneruskan 'tradisi meminta-minta' dari kerajaan persekutuan menerusi Dana Khas, sedang isu wang royalti petroleum belum diselesaikan.

Mengulas perkara yang sama, wakil Sura, Ustaz Wan Hassan Ramly berkata, ia adalah satu langkah tindakan Umno dan Barisan Nasional bagi menghadapi pilihanra umum yang akan datang.

"Sebahagian besar peruntukan tambahan adalah untuk pembangunan, iaitu membina rumah melebihi dari apa yang telah dirancang iaitu sebanyak 10,000 sebelum ini,

"dengan itu, kontrak-kontrak pembinaan rumah itu akan diagih-agihkan kepada 'kontraktor kroni', yang akan menjadi penyumbang semula kepada dana pilihanraya Umno/BN,"jelas Wan Hassan.

Menyentuh perincian peruntukan tambahan berkenaan, wakil Bukit Payung, Ustaz Mohd Nor Hamzah menyifatkan kerajaan Umno/BN Terengganu terus melaksanakan pembangunan rakyat dalam keadaan 'teraba-raba' dan tidak menurut kajian.

Menurutnya, sebagaimana dinyatakan, tambahan peruntukan yang diperlukan adalah untuk membiayai keperluan perlaksanaan pengagihan komputer 'E-Book' kepada murid tahun 4, sedangkan belum ada kajian dibuat terhadap keberkesanan penggunaannya dalam pembelajaran.

"Exco (pelajaran negeri) mengakui pada sidang DUN lepas, tidak ada kajian dibuat tentang program 'E-book', tapi kerajaan terus melaksanakannya,

"ini menunjukkan kerajaan masih 'meraba-meraba' dalam melaksanakan pembangunan,"katanya.

Ceramah Isu Dewan Undangan Negeri Terengganu

Monday, August 2, 2010

Saman ekor: PAS gesa batal senarai hitam kenderaan


Ten-Rm.Com



Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 2 Ogos: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) akan bertemu dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha pada 5 Ogos ini bagi berbincang mengenai tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan dan lesen kenderaan akibat menerima saman ekor.

Pengerusi Kase, Datuk Mahfuz Omar berkata, jawatankuasa berkenaan juga akan mengatur satu pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi membincangkan perkara sama.

"Kami berharap pihak menteri tidak ada masalah dengan pertemuan ini kerana isu ini melibatkan rakyat secara keseluruhannya.

"Kami minta pihak Kementerian Pengangkutan membuat keputusan bijak dengan mengarahkan JPJ membatalkan black list tersebut dan izinkan orang ramai untuk perbaharui cukai jalan.

"Kase juga akan tetapkan satu tarikh untuk bertemu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin untuk berbincang isu saman ekor ini kerana pihak polis pun memainkan peranan dalam mengenakan saman ekor ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Ibu Pejabat PAS di sini, hari ini.

Menurut Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS, Kase juga akan mengadakan hari bertemu mangsa saman ekor di beberapa tempat pada 9 dan 10 Ogos bagi memberikan penerangan kepada mereka dari sudut undang-undang mengenai tindakan yang dikenakan JPJ dan pihak polis itu yang akan disampaikan oleh pengamal undang-undang dalam Kase sendiri.

Pertemuan bagi mereka yang berada di Wilayah Persekutuan dan Selangor akan diadakan di sekitar ibu negara manakala bagi mereka yang tinggal di Melaka dan Negeri Sembilan, pertemuan akan diadakan di Seremban.

"Kita akan adakan hari bertemu mangsa saman ekor ini pada 9 Ogos untuk Wilayah dan Selangor dan kita menyeru semua mangsa saman ekor akan ikuti perjumpaan ini.

"Akan ada satu taklimat tentang akta dan undang-undang untuk mereka fahami bahawa mereka belum lagi bersalah. Khidmat nasihat akan diberikan oleh penasihat undang-undang kita.

Selain itu, Kase juga akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagi membuat aduan mengenai akta dan undang-undang yang dilihat bercanggah dengan perlembagaan negara.

"Kita juga akan bertemu dengan Suhakam supaya Suhakam dapat melihat ada banyak akta dan undang-undang yang sangat bercanggah dengan perlembagaan negara," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan JPJ tidak membenarkan pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan bertentangan dengan perkara 13 Perlembagaan negara yang membenarkan seseorang menggunakan hartanya.

"Perlembagaan negara di bawah perkara 13 menyatakan bahawa kita berhak menggunakan harta kita. Kenderaan adalah sebahagian daripada harta kita.

"Jadi kerajaan melalui JPJ telah menghalang kita menggunakan harta kita apabila menyenaraikan hitamkan kenderaan dan halang perbaharui cukai jalan.

"Tindakan JPJ ini satu tindakan tidak wajar dan menafikan hak seseorang menggunakan kenderaan. Jadi saya minta supaya pihak JPJ pertimbangkan untuk menarik balik senarai hitam ini," jelasnya.

Mahfuz turut menyifatkan tindakan itu akan merugikan negara kerana hasil cukai jalan merupakan pendapatan tetap negara.

"Saya sifatkan ini satu tindakan yang merugikan negara kerana kita mungkin kehilangan pendapatan tetap negara kerana orang yang disenarai hitam tidak akan bayar cukai jalan," katanya.

Tindakan itu juga, katanya dibimbangi akan menggalakkan pemilik kenderaaan yang disenari hitam melakukan satu lagi kesalahan iaitu memandu tanpa cukai jalan selain menggalakkan amalan rasuah terutamanya kepada syarikat-syaraikat kenderaaan yang besar bagi meneruskan perkhidmatan mereka.

"Secara tidak sedar, senarai hitam ini akan galakkan lagi pemilik kenderaan melakukan kesalahan memandu tanpa cukai jalan.

"Ia juga akan mengakibatkan berlakunnya amalan rasuah terutama syarikat-syarikat kenderaan seperti bas ekspres yang ingin meneruskan operasi mereka," katanya.

Namun, Mahfuz menegaskan, jawatankuasa itu ditubuhkan bukan untuk menggalakkan orang ramai melakukan kesalahan jalan raya sebaliknya bertujuan membela nasib mereka yang teraniaya akibat tindakan JPJ tanpa prosedur yang betul.

"PAS tubuhkan jawatankuasa ini bukan bermakna kita bersetuju orang ramai boleh melanggar had laju sewaktu memandu dan melanggar undang-undang jalan raya.Tapi kita buat ini untuk pembelaan.

"Kami anggap ini satu penganiyaan kepada orang kerana menerima notis yang tidak melalui prosedur tertentu," katanya lagi.

Turut bersama pada sidang media itu Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Taufek Abdul Ghani yang juga Timbalan Pengerusi Kase, Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah dan Penasihat Undang-undang Kase, Zulhazmi Shari

Kerajaan, JPJ langgar keputusan mahkamah?



Wartawan Kita
KOTA BHARU, 2 Ogos: Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Kelantan yang telah bermesyuarat semalam mengambil keputusan mendesak kerajaan Malaysia memberhentikan tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan dan lesen kenderaan akibat menerima saman ekor.

Pengerusinya, Hisham Fauzi berkata, ini adalah sebagaimana yang telah diputuskan oleh mahkamah di dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang –vs- Director Of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak & Anor [2009] 6 CLJ 280 yang secara jelas menyatakan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan tidak boleh menyenarai hitam kenderaan semata-mata dengan saman ekor.

Ini kerana, tindakan menyenaraihitamkan kenderaan atas sebab saman ekor adalah bertentangan dengan seksyen 17 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan merupakan satu perlanggaran kepada Artikel 13 Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi, setelah sedemikian diputuskan oleh mahkamah, kenapakah pihak kerajaan dan JPJ masih melakukan perkara ini? Tidakkah keputusan mahkamah ini perlu dihormati dan diikuti?” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Tegasnya, tindakan sebegitu adalah merupakan suatu penganiyaan ke atas rakyat Malaysia dan perlu diberhentikan segera.

“Kami juga dengan ini mendesak agar Kerajaan Malaysia dan JPJ bersegera dalam menarik balik penyenaraian hitam ini kerana isu ini sudahpun diselesaikan oleh mahkamah,” katanya yang juga Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan.

Tambahnya, tinggal lagi sama ada Kerajaan Malaysia dan JPJ mahu mematuhi perintah mahkamah tersebut atau tidak.

“Pihak kami juga berkeputusan bahawa jika situasi ini tidak berubah, maka suatu tindakan perundangan lain akan dimulakan bagi membela rakyat yang secara nyata telah ditindas dalam isu ini,” ujarnya.

http://pakabiz.pomepureasia.com/