Sunday, June 27, 2010

Judi: Himpunan 3 Julai diteruskan



Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 27 Jun: Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan keputusan kerajaan membantah judi sebagai keputusan Jemaah Menteri, bukan keputusan melibatkan Majlis Tertinggi Umno semata-mata.

Pengerusinya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, GMJ bersyukur dan menyambut baik keputusan berkenaan namun ianya mesti diumumkan secara jelas kepada rakyat bahawa ianya merupakan keputusan kerajaan Barisan Nasional.

"Kita menerima keputusan ini dengan menyatakan bahawa ia tetap perlu dilontarkan atau diumumkan daripada keputusan jemaah menteri, bukan daripada keputusan satu parti politik (Barisan Nasional) sahaja" katanya pada sidang media di Rumah Pena, di ibu negara hari ini.

Azmi juga menegaskan, GMJ tidak akan dimansuhkan begitu sahaja walaupun kerajaan menarik balik pemberian lesen judi, sebaliknya akan meneruskan kempen membantah judi secara berpanjangan.

Ini kerana, ujarnya keputusan menarik balik lesen judi itu hanyalah keputusan kecil sahaja sedangkan industri membabitkan perjudian sedang berkembang pesat di negara ini.

"GMJ akan berterusan secara berpanjangan kerana keputusan yang diumumkan oleh Perdana Menteri hanya sebahagian daripada isu judi dan industri judi yang sangat besar dan ini tidak bermakna tamat GMJ ini.

“GMJ akan diperkukuhkan di peringkat kebangsaan dan di peringkat negeri dan kita akan lanjutkan kempen dengan lebih agresif supaya hasrat dan matlamat kita tercapai," katanya lagi.

Dalam pada itu, GMJ akan tidak akan membatalkan perhimpunan pada 3 Julai ini, cuma ianya tidak disertakan dengan perarakan bagi menyerahkan memorandum ke Istana Negara.

Azmi memberitahu, perhimpunan akan tetap diadakan di Masjid Negara dimulakan dengan solat Zuhur dan solat hajat dan disusuli dengan ucapan daripada wakil-wakil parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantah judi.

Perhimpunan itu dinamakan Himpunan Tak Nak Judi sebagai tanda bantahan rakyat pelbagai kaum terhadap segala jenis judi.

"Kita telah buat keputusan hari ini bahawa perhimpunan 3 Julai ini akan diteruskan kerana berpandangan negara harus diselamatkan daripada judi.

"Kita tidak akan berarak tapi akan berhimpun di pekarangan Masjid Negara selepas solat Zuhur dan solat hajat agar negara kita terselamat daripada musibah akibat judi. Pimpinan parti politik dan wakil NGO akan berucap dan kita sasarkan 10 ribu rakyat untuk hadir," katanya.

Menurutnya juga, semua parti politik termasuk Umno sendiri dialu-alukan untuk menyertai himpunan itu.

Sementara itu, jurucakap Sekretariat Wanita PR Membantah Judi (Sendi), Salbiah Abdul Wahab melahirkan rasa lega dengan keputusan itu kerana ianya sedikit sebanyak mengurangkan tekanan kepada wanita-wanita yang mempunyai suami kaki judi.

"Kami bagi pihak wanita sedikit lega dengan keputusan ini kerana bagi mereka yang mempunyai suami yang kuat berjudi, sekurang-kurangnya aktiviti perjudian dapat dikurangkan atau dihentikan apabila tiada lesen judi dikeluarkan. Jika tidak wanita dan anak-amak terpaksa menanggung kesan akibat suami dan ayah yang menghabiskan wang untuk berjudi," katanya yang juga Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat.

Turut bersama pada sidang media itu ialah Timbalan Pengerusi GMJ, Rahimi Abdul Rahim daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Setiausaha GMJ, Suhaizan Kaiat yang juga Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, bendahari, Nahar Md Nor daripada Jemaah Islam Malaysia (Jim) dan wakil-wakil NGO yang lain.

Friday, June 25, 2010

Felda hilang RM8 bilion bukannya RM2.7 bilion



Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 25 Jun: Datuk Husam Musa mendakwa, rezab tunai Felda telah susut sebanyak RM8 bilion sejak diambil alih Datuk Seri Najib Razak bukannya 2.7 bilion sebagaimana didakwa Datuk Ahmad Maslan.

Ini kerana, susut rezab bukannya jumlah yang ada pada tahun 2004 tolak jumlah yang ada sekarang kerana dalam tempoh tersebut Felda mempunyai pendapatan dan ia hilang bersama dengan kemersosotan yang berlaku.

Husam yang juga Exco pembangunan ekonomi Kelantan itu berhujjah:

a. Baki pada akhir 2009 - RM 1.35 billion.
b. Baki pada akhir 2004 - RM 4.08 billion.

"Antara tempoh 2004 sehingga 2009, adakah Felda tidak menerima apa-apa pembayaran? Semua ladang Felda tak ada hasil dalam tempoh lima tahun itu? Satu sen pun tak masuk?" soalnya.

Menurut Husam, kenyataan Ahmad Maslan seakan antara 2005 hingga 2009, Felda langsung tidak menerima sebarang wang dan wang berbaki hanya apa yang dibelanjakan dari rezab terkumpul sehingga 2004 tadi.

"Mustahil!!" kata Husam (gambar) kerana dalam tempoh tersebut, Felda juga menerima hasilnya dan hasil itu turut hilang dan hanya tinggal RM1.35 bilion sahaja pada akhir tahun 2009.

AJK PAS pusat itu berkata, "maklumat tepat yang saya perolehi, antara tempoh 2005 hingga 2009, Felda menerima pendapatan tunai sejumlah RM 5.2 billion lagi!"

Penerimaan tunai Felda adalah seperti berikut;

a. 2005 - RM 682 juta
b. 2006 - RM 697 juta
c. 2007 - RM 1.270 billion
d. 2008 - RM 1.70 billion.
e. 2009 - RM 830 juta

Jumlahnya menghampiri RM 5.2 billlion!

Jumlah ini, kata Husam, perlu dicampur dengan baki 2004. Bila dicampur dengan baki 2004, jumlahnya ialah RM 9.28 billion!

Baki 2004 - 4.08 billion
Masuk 2005 - 2009 - 5.2 billion
Jumlah - 9.28 billion

"Ini bermakna wang yang susut lebih dari RM 2.78 billion kerana jumlah semua rezab tunai Felda bersekali dengan baki 2004 ialah RM 9.28 billion ditolak dengan baki yang tinggal sehingga 2009 ialah RM 1.35 billion (RM 9.28 b tolak RM 1.35 b = RM 7.9 menjadikan jumlah sebenar yang telah susut dalam tempoh lima tahun ini ialah menghampiri RM8 billion!" tegas Husam dalam blognya.


Perbelanjaan Felda


Husam juga mempertikaikan perbelanjaan yang dibuat Felda sebagaimana yang dinyatakan oleh Ahmad Maslan.

"Mengenai perbelanjaan pula, perhatikan semula kenyataan Ahmad Maslan di atas. Senarai perbelanjaan sehingga wang itu susut adalah seperti berikut;

"RM2 billion for replanting crops, RM603 million for interest-free housing loans, RM253 million for the Sabah poverty eradication fund and RM662 million for the new Felda headquarters."


a. RM 2 Billion untuk tanam semula
b. RM 603 juta untuk pinjaman perumahan tanpa faedah
c. RM 253 juta untuk program kemiskinan di Sabah
d. RM 662 juta untuk menara baru ibu pejabat Felda

"Pertama : Menara Felda masih dalam pembinaan. Kenapakah bayaran penuh telah dibuat? Mustahil! Kalau masih berlaku, ia satu perkara yang sangat pelik.

Kedua: RM 2 billion untuk Tanam Semula.

"Kenapa guna rezab tunai Felda?" soal Husam.

Beliau bertanya, bukankah Felda mempunyai Tabung Tanam Semula? Bukankah Felda telah mengutip sebanyak RM4 sebulan seekar dari kesemua 112,000 penerokanya untuk lima tahun? Tabung itu sudah mencecah hampir satu billion dan tanam semula tidak pernah menggunakan rezab tunai Felda.

"Adakah kedua-dua kenyataan ini benar? Atau kedua-duanya salah?" soal beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau membuat kesimpulan, kedua-dua kenyataan ini tidak benar adalah lebih menasabah.

"Bermakna, Felda gagal menjelaskan ke mana wang tersebut telah lesap dan Felda juga gagal menjelaskan angka sebenar wang rakyat yang di jaga oleh Felda susut," katanya.

Beliau juga berkata, jumlah yang tidak kecil. Semua perolehan ini adalah dari ladang-ladang getah dan sawit, samada mempunyai peneroka seluas 1.2 juta ekar di seluruh negara mahu pun tanpa peneroka sejumlah 800,000 ekar.

"Jika keuntungan sebesar itu disumbangkan oleh ladang-ladang di Malaysia, apa jaminan pelaburan Felda di luar negara boleh menyaingi apa yang disumbangkan dalam negara?" soalnya lagi.

Husam juga bertanya, bila Datuk Najib memperkenalkan konsep Felda patut mengembangkan sayapnya menjadi pemain global, apa jaminan pengembangan itu akan menyihatkan Felda dan bukan untuk mencabut bulu-bulunya sehingga nanti menjadi burung tanpa bulu?

Setelah Felda melabur di Amerika dan Kanada dalam Twin River Tech masing-masing sebanyak RM300 juta dan RM500 juta, berapakah jumlah keuntungan yang telah dihasilkan?

Secanggih mana teknologi pemprosesan biji bunga matahari dan soya yang ada di kilang ini sehingga pelaburan Felda sedemikian besar? soal Husam.

Dengan RM300 juta yang dibelanjakan dan pegangan 85% dalam TRT itu, mampukah Felda mengawal pengurusannya atau kita sekadar melihat dari jauh sebelum apa-apa terjadi terhadap wang kita sejumlah RM 800 juta itu tadi?

"Jangan jadi seperti kita membeli syarikat motor oleh Proton dulu yang berakhir dengan dijual hanya satu euro!" kata Husam memberikan amaran.

"Tidak semestinya bila Felda mempunyai kilang penapis sawit di sini, pengurusan penapisan bunga matahari nun jauh di Kanada juga kita boleh kuasai.

"Itu pun sebahagian kilang penapis Felda telah pun dijual kepada syarikat dari India untuk membolehkan Felda melabur tak kurang dari RM 688 juta pula dalam penternakan lembu untuk menghasilkan susu dan daging!" katanya.

Beliau juga mempersoalkan, apa istimewanya syarikat pembekal daging lembu (sebenarnya kerbau?) dari India itu tidak dketahui, sehingga selain dapat membeli kilang penapis, dapat pula menikmati diskaun belian minyak sawit mentah sebanyak USD20 per metrik tan sedangkan anak syarikat FELDA sendiri - Felda Vegetable Oil Product cuma diberi subsidi sebanyak RM20 per metrik tan.

Kesimpulannya, kata beliau, semuanya misteri! dan ada "Lubang besar di Felda?" dan "Bagaimana kita rakyat biasa boleh membongkar misteri ini?"

Wednesday, June 23, 2010

Dr Asri dan Dr Juanda dakwa "BN Bohong"




KUALA LUMPUR, 22 Jun: Di tengah-tengah cerita bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin bersama 100 ulama akan menyertai Umno Jumaat ini, beliau bersama rakannya, Dr Juanda Jaya yang kini Mufti Perlis menyifatkan BN bohong dalam mengaitkan mereka dengan kumpulan pengganas.

Dakwaan ini dibuat kedua-duanya dalam satu kenyataan bersama yang diberikan tajuk "Mengapa Kerajaan BN Berbohong?" bagi mengulas langkah kerajaan BN yang cuba mengaitkan isu ancaman pengganas di negara ini dengan mereka berdua.


(Gambar: Empat yang didakwa ada kaitan dengan Wahabi oleh ILIM, Shahidan, Asri, Juanda dan Abdul Hadi)

Sahibus Samahah Dr Juanda Jaya adalah Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Ahli Fatwa Kebangsaan, kini Visiting Fellow Oxford Universiti Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula adalah Bekas Mufti Perlis, Ahli Majlis Agama Islam Perlis dan kini Pensyarah Pengajian Islam USM.

Kedua-duanya mengulas laporan yang mengaitkan mereka berdua, Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas MB Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan JIM dengan pengganas.

Kaitan itu dibuat dalam satu taklimat keselamatan negara anjuran Polis dan diberikan oleh Zamihan Mat Zain dari Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) yang diadakan di Bukit Aman 21 Jun lalu.

Sebelum ini, Presiden PAS juga menafikan dakwaan beliau terlibat dengan kegiatan yang didakwa itu.

Setiuasaha Agung Umno sebelum ini mendakwa, Dr Asri akan menyertai Umno Jumaat ini bersama dengan 100 ulama lagi.

Dr Asri dan Dr Juanda berkata, apa yang didakwa oleh banyak pihak, terutama parti pembangkang bahawa isu keselamatan negara yang membabit ancaman pengganas yang digembar-gemburkan oleh pihak kerajaan adalah permainan politik, nampaknya mempunyai asas yang kukuh.

"Kerajaan Pusat kelihatan memperjudikan isu keselamatan negara yang diada-adakan untuk kepentingan tertentu," kata kenyataan bersama itu.

Buktinya, kata mereka, laporan Malaysiakini pada 22hb Jun 2010, yang menyatakan bahawa dalam satu taklimat keselamatan negara berhubung JI (Jamaah Islamiah) di Bukit Aman pada 21 Jun, yang dihadiri oleh Menteri, Timbalan Menteri dan TNC-TNC seluruh negara.


Penceramah yang diundang oleh pihak polis Zamihan Mat Zain dari ILIM telah mendakwa dengan satu dakwaan yang sangat jahat iaitu Presidan PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Shahidan Kassim, mereka berdua berdua dan ramai lagi tokoh masyarakat dikaitkan dengan Wahabi dan pengganas JI.

Pertubuhan JIM pula dikaitkan dengan rangkaian pemikiran radikal di Timur Tengah.

"Dakwaan ini sangat jahat dan jelas sengaja diada-adakan" kata kenyataan bersama mereka berdua.

"Rakyat Malaysia mengenali pemikiran kami yang sentiasa menyeru kepada Islam yang progresif, keharmonian kaum dan agama, menentang sikap fanatik dan apa sahaja bentuk kekerasan pandangan.

(Gambar: Dr Asri bersama pimpinan PAS di muktamar Pemuda PAS di Kota Bharu baru-baru ini)

"Isu-isu kami bawa selama ini sentiasa mendapat perhatian semua agama dan kaum kerana mempamerkan Islam yang “tolerance” dan berpaksikan kesesuaian hidup masyarakat yang serba rencam. Hal ini boleh dirujuk dalam berbagai tulisan dan kenyataan kami," katanya.

Justeru itu, kedua-dua berkata, Zamihan dan polis wajib bertanggungjawab atas fitnah ini.

"Bagi kami YB Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sama sekali tidak wajar dikaitkan dengan keganasan. Beliau ialah bekas MB Terengganu. Mengetuai sebuah parti politik tanahair sejak sekian lama. Ini melambangkan penghormatan beliau dan partinya terhadap amalan demokrasi dan hak kebebasan rakyat. Tuduhan terhadap beliau telah menghina sebuah parti politik yang selama ini melalui lunas-lunas sistem demokrasi negara ini. Sekali lagi, Zamihan dan polis perlu bertanggungjawab terhadap fitnah ini," kata kedua-duanya.

Mereka juga membela Datuk Seri Shahidan Kassim.

"Bekas MB Perlis dan kini Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Naib Presiden PERKIM, Malaysia dan akvitis berbagai kebajikan rakyat. Layakkah orang seperti ini dituduh mempunyai kaitan dengan pengganas. Nampaknya UMNO dan BN sanggup membunuh rakan sendiri dalam memperjudikan kepentingan politik tertentu," kata mereka.

"Adapun JIM kami tidak mempunyai maklumat yang banyak mengenai mereka. Namun, kami percaya mereka bukan pengganas dan tidak layak dikaitkan dengan tuduhan jijik itu. Sebagai NGO, mereka mempunyai sumbangan kepada negara yang patut dihargai," kata mereka lagi.


Sehubungan itu, mereka mendesak pihak polis memberikan penjelasan kepada rakyat terhadap fitnah rambang ini.

"Siapakah Zamihan sehingga dia digunakan oleh pihak polis untuk membuat agenda jahat ini? Polis sepatutnya menyiasat beliau ini dan hubungannya dengan mentor yang selalu dirujuk kepadanya iaitu Hasan al-Saqqaf.

"Hasan al-Saqqaf yang terkenal suka menyesat dan mengkafirkan sesiapa yang berbeza pandangan dengannya itu, kini terbabit dengan isu keselamatan negara Jordan," kata mereka berdua.


"Jika pihak polis tidak menafikan dakwaan Zamihan ini, bererti pihak polis yang dikuasai oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri seakan sengaja menabur fitnah yang tidak berasas," katanya lagi.

Dengan ini, kata mereka, apa yang disebut oleh beberapa tokoh masyarakat seperti SM Idris dan pihak Pakatan Rakyat bahawa isu ini tiada asasnya kelihatan benar.

Bahkan ia berkemungkinan besar mainan politik kotor kerajaan yang memerintah untuk mengalihkan isu-isu tertentu.

"Dengan ini, kami menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini dan mengingatkan rakyat bahawa mana-mana pemerintahan atau parti politik yang sanggup memperjudikan isu keselamatan negara untuk kepentingan tertentu adalah sebuah pemerintahan yang tidak bertanggungjawab. Pemerintahan yang menggunapakai kaedah tipu muslihat, berbohong, menggadaikan maruah orang lain untuk kepentingan sempit, mencemarkan hak rakyat dan memanipulasikan isu keselamatan negara adalah amat merbahaya bagi sesebuah negara yang harmoni," tegas mereka berdua.

Di samping itu, mereka menyeru setiap lapisan rakyat agar menolak segala bentuk keganasan sama ada berupa tindakan ataupun pemikiran. Dan juga sekali lagi menyeru agar tidak mendokong pihak yang memperjudikan keselamatan negara demi kepentingan sempit.

Saturday, June 12, 2010

Muktamar terus perkukuhkan parti


oleh:Anak Sengat
Alhamdulillah,setelah beberapa hari perjalanan muktamar PAS, segalanya berlangsung penuh tertib. Memahami matlamat yang jauh dan menyedari keperluan dan tumpuan memperkasakan parti menghadapi suasana dan lanskap baru politik Malaysia.

Apa yang berlaku menggambarkan kematangan Perwakilan PAS menangani perkembangan semasa, memahami dasar dan pendekatan sebuah perjalanan jamaah Islam.

Perwakilan PAS masih berjaya mengekalkan disiplin dan akhlak sebagai seorang dai yang menangani suasana dan pendekatan politik.

Walau dilihat riak diluar terutama di media alternatif seakan ada kecenderungan menggugat suasana itu, rupanya ia hanya riak diluar yang tidak mendasari parti.

Ternyata persepsi diluar adalah berbeza dengan kerangka yang membina parti. Isu bergolak diluar yang cuba disusup ke dalam gagal mendasar dan bertapak di hati dan pemikiran perwakilan parti.

Ia lambang kejayaan tarbiah walau masih gagal merebak keakar umbi, di peringkat Jawatankuasa yang mengemudi jamaah PAS di kawasan ternyata ia telah bertapak kukuh.

Isu penglibatan sayap bungsu PAS, Dewan Himpunan Penyokong PAS ternyata menarik perhatian.

Sejauh mana mereka mampu berperanan dan ruang yang perlu diberikan adalah sangat penting Bukan mudah bagi PAS yang selama ini dibelenggu dengan suasana Islam tradisi untuk keluar dari kepompong yang membelenggu.

Tempoh dan kepimpinan yang silih berganti ternyata mampu menangani suasana tersebut.

Biarpun gelora yang sering membadai bahtera PAS, namun sedikitpun tidak menggoyahkan kekuatan dasar yang menunjangi PAS selama ini.

Sedikit sebanyak pengaruh yang terkeliru dengan perkembangan semasa telah terbawa bawa sehingga dilihat seakan ada usaha meliberalkan perjuangan PAS .

Meliberalkan PAS adalah melemahkan dasar PAS. Melemahkan dan menggoyahkan dasar PAS perlu bermula dengan melemahkan pengaruh Ulama. Justeru kepimpinan Ulama adalah teras yang wajib dipertahankan bagi memperkukuhkan parti.

Tahniah kepada semua perwakilan yang telah menjelmakan ruh islam sebagai dai dalam arus politik Perjuangan Islam PAS!

Monday, June 7, 2010

Ucapan Presiden PAS (PAS Marang)


Usul mahu tindakan ketenteraan terhadap Israel

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 7 Jun: Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub akan menghantar satu usul di Dewan Rakyat bagi meminta Kerajaan Malaysia mencadangkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar tindakan ketenteraan diambil terhadap Israel.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, sudah sampai masanya era diplomasi ditamatkan dengan Israel kerana mereka semakin berani menindas umat Islam di Palestin.

"Kalau tidak ada peluang berucap, saya tetap akan menghantar satu usul untuk dibahaskan di Dewan Rakyat untuk meminta kerajaan Malaysia mengambil langkah ke hadapan dengan membuat satu proposal kepada PBB.

"Sudah sampai masanya tindakan ketenteraan diambil terhadap Israel. Sudah sampai masanya era diplomasi ditamatkan dengan Israel kerana mereka tidak faham lagi bahasa diplomasi. Jadi kita mahu tindakan ketenteraan diambil terhadap Israel dan Amerika perlu diambil tindakan serius," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan usul khas di Dewan Rakyat bagi mengutuk kekejaman zionis Israel.

Seorang lagi Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar pula mencabar kerajaan untuk menghentikan khidmat APCO sekiranya benar-benar membenci tindakan kejam Israel itu.

"Kenapa kita takut nak menunjukkan kebencian kita dengan menamatkan APCO? Sekarang seolah-olah tangan kanan kita memberi sesuatu kepada Palestin dan dalam masa sama tangan kiri kita mendakap APCO iaitu proksi kepada Isrel dan Amerika," katanya yang juga ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut mendesak kerajaan memanggil pulang duta ke PBB sebagai membuktikan kekecewaan Malaysia terhadap sikap berdiam diri PBB.

"Saya menggesa kerajaan menterjemahkan kekecewaannya kepada PBB dengan memanggil balik duta Malaysia ke PBB. Jika benar-benar tidak bersetuju dengan PBB, panggil balik duta kita," tegasnya.

Beliau turut menyifatkan usul itu sebagai bersifat kecaman semata-mata tanpa ada pendirian yang jelas untuk Malaysia bertindak dalam isu itu.

"Usul hari ini bersifat mengecam semata-mata, cadangan-cadangan untuk orang lain bertindak, bukan untuk Malaysia bertindak. Memang kita bersama dalam isu ini tapi sesuatu perkara yang melucukan bagi saya.

"Walaupun kita menyokong usul ini namun sebagai kerajaan perlu lebih praktikal dengan menunjukan sikap yang jelas. Kalau setakat kecam macam ni jadi macam tok penghulu Kampung Pening Lalat lah," katanya.

Tuesday, June 1, 2010

Derma Pembinaan Markaz Ehsan



Pemandangan terkini

Mavi Marmara dikosongkan, rakyat kita selamat



Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 1 Jun: Laporan terakhir mengenai keadaan misi kemanusiaan Freedom Flotilla yang diserang oleh komando rejim Israel menyebut bahawa sejumlah 535 penumpang sudah diturunkan dari kapal Mavi Marmara.

Menurut laman web Haluan Palestin, kapal itu kini dilabuhkan di Ashdod dan dalam keadaan kosong.

Informasi yang diungkapkan oleh Al-Jazeera tersebut diperolehi dari Kementerian Luar Negeri Israel.

Kebanyakan penumpang berasal dari negara yang memiliki hubungan diplomatik dengan Israel, seperti Lubnan, Mesir, Yaman dan yang lainnya sementara bakinya berasal dari negara yang tidak memiliki hubungan diplomatik dengan Israel.

Bagi aktivis yang berasal dari negara yang memiliki hubungan diplomatik, jika mereka tidak membantah arahan pemerintah, maka Israel maka mereka akan dihantar pulang secara langsung dengan menaikkan pesawat yang disediakan di bandar Tel Aviv.

Manakala bagi aktivis yang negaranya tidak memiliki hubungan diplomatik, ditahan oleh Israel hingga ada negara ketiga yang mahu menerima mereka.

Sehingga laporan ini dicatatkan, Al-Jazeera menyatakan ada 48 aktivis yang telah dihantar pulang, salah seorangnya adalah Edward Peck, warga yang berusia 81 tahun yang juga merupakan mantan Duta Amerika Syarikat.

Bakinya sejumlah 480 orang ditahan di penjara Israel di Beersheba. Mereka akan dihantar pulang jika urusan perundangan mereka dengan kerajaan Israel selesai.

Sementara itu, Wisma Putra melalui Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mengesahkan semua 12 orang rakyat Malaysia yang berada dalam kapal Mavi Marmara berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan yang kini masih di bawah tahanan Israel di Haifa.

Menurut Anifah, kerajaan sedang berusaha untuk membawa pulang kesemua mereka.

Malaysia telah mendapatkan kerjasama dari Kerajaan Turki dan Ireland bagi mendapatkan maklumat keadaan rakyat Malaysia tersebut.