Saturday, February 27, 2010

Royalti minyak: BN diminta henti tipu rakyat





Feb 23, 10 11:11am
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad dianggap kini terpesong dalam soal wang tuntutan negeri Kelantan mengenai hasil minyak.

Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim (kiri) berkata Mustapa seolah-olah tahu perkara sebenar tetapi bersungguh-sungguh cuba mempertahankan dasar kerajaan pusat itu.

“Pertama, Mustapa kata Kelantan tidak berhak kepada royalti minyak dan cuma layak menerima “cash payment” atau bayaran tunai sebanyak 5 peratus.

“Itu memang betul kerana perjanjian 1975 di antara Petronas dan Kelantan (dan negeri lain) menggunakan perkataan “cash payment”. Kerajaan Kelantan pun tak ada masalah dalam hal itu. Panggillah apa yang kamu suka, royalti atau “cash payment”, tapi bayarlah,” katanya dalam blognya.

Bagi Zaid apa yang dikatakan wang ehsan itu pula, adalah sesuatu yang lain kerana ehsan bererti pemberian atas sebab kasihan atau sebab politik.

“Kedua, Mustapa (kanan) kata perjanjian 1975 itu tak sah kerana sebab-sebab tertentu. Tidak pula jelas mengapa ia tidak sah. Kalau tak sah, mengapa Sabah dan Sarawak terus dibayar kerana mereka juga menandatangani perjanjian yang sama”.

Beliau juga mempersoalkan jika perjanjian berkenaan tidak sah mengapa Terengganu dibayar semasa BN memerintah selama 19 tahun.

“Ketiga, Mustapa kata kawasan yang diiktiraf sebagai “territorial waters” atau kawasan perairan hanyalah tiga batu dari pantai. Apa alasan Tok Pa?” soal bekas menteri di jabatan perdana menteri yang satu ketika dahulu diamanahkan menjaga hal berkaitan undang-undang.

Menurut Zaid, Mustapa berhujah menggunakan Akta Darurat 1969 yang sudah tidak boleh dipakai lagi.

Katanya, yang wajib digunakan ialah undang-undang maritim antarabangsa yang dipersetujui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan yang telah diterima oleh Malaysia.

“Dia kata lagi, negeri-negeri tidak berhak kepada hasil gas dan minyak dalam kawasan “Exclusive Economic Zone” (EEZ), iaitu 200 batu dari pantai, hanya Persekutuan Malaysia saja yang berhak kepada hasil dalam EEZ. Itu pun tak betul juga.”

Menurut Zaid, hasil minyak dan gas ini selalunya didapati tidak kurang dari 12 batu dari pantai dan sekiranya batasan itu diguna-pakai, maka tiada negeri dalam Malaysia yang berhak kepada hasil minyak.

Tambahnya, sebahagian besar hasil minyak yang ada sekarang ini terletak dalam kawasan EEZ.

“Tidak ada undang-undang dalam dunia ini yang mengatakan hak kepada hasil minyak dari EEZ tidak boleh dituntut oleh sesebuah negeri. Hak negeri bergantung kepada perjanjian negeri-negeri dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Zaid kemudiannya menghuraikan sejarah Amerika dan memberikan contoh hak negeri Texas dan California kepada hasil minyak dalam EEZ bergantung kepada perjanjian negeri-negeri itu dengan Persekutuan Amerika Syarikat.

Bagi beliau, perkara yang sama harus digunakan bagi menentukan hak negeri di Malaysia.

“Adalah salah bagi Umno memesong rakyat dengan mengatakan hanya Persekutuan Malaysia saja yang berhak kepada minyak dalam EEZ dan negeri-negeri tidak ada hak.

“Hasil yang dibayar kepada Sabah dan Sarawak juga meliputi kawasan lebih dari 12 batu dari pantai. Mengapa terus bayar jika kata tak berhak?” katanya lagi.

Bagi Zaid, Umno cuma mencari helah untuk tidak mahu membayar pampasan kepada negeri Kelantan.

Katanya, jika BN yang memerintah Kelantan, sudah tentu mereka akan mencari hujah lain. Tetapi ia tidak semestinya dibayar terus.

Zaid seterusnya meminta Mustapa merenung seketika isu berkenaan dan menghentikan penipuan mereka menerusi iklan di media arus perdana untuk mengaburi mata rakyat.

Zaid berkata lagi dia dukacita dengan perkembangan itu dan menganggap Mustapa sebagai antara tiga atau empat menteri yang dihormatinya ketika dalam kabinet. Ini kerana kerajinan dan kecekapan pemikiran mereka.

Namun dalam hal ini, Zaid meminta Mustapa supaya tidak lagi meneruskan penipuan ke atas rakyat.

Mustapa yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, pada 26 Januari lalu mengumumkan kerajaan pusat bersetuju memberikan wang ehsan sebanyak RM20 juta kepada Kelantan pada Mac ini.

Namun jumlah itu dipertikaikan oleh kerajaan negeri manakala cara penyaluran tidak secara langsung juga dibantah.
Menangi iPod Shuffles dan Hadiah Lumay

Monday, February 22, 2010

Ku Li: Iklan isu royalti kelirukan, cetus implikasi baru


The Malaysian Insider

KUALA LUMPUR, 22 Feb: Iklan penjelasan tuntutan wang royalti yang disiarkan kerajaan pusat menerusi akhbar-akhbar Bahasa Malaysia semalam menimbulkan lebih banyak implikasi negatif dan kekeliruan berbanding penjelasan, kata Tengku Razaleigh Hamzah (gambar) hari ini.

Justeru tegas beliau, iklan satu halaman itu sekali gus menunjukkan tiada negeri yang mempunyai hak untuk mendapatkan bayaran tunai ataupun royalti termasuk Sabah dan Sarawak.

Kata beliau, iklan muka penuh yang diambil oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berhujah Kelantan juga tiada hak kepada bayaran minyak di bawah Akta Kemajuan Petroleum kerana sumber minyak yang menjadi persoalan terletak di kawasan tiga batu nautika, yang menafikan hak kesemua negeri.

“Iklan itu gagal untuk menyatakan bahawa kesemua minyak yang diperoleh di Malaysia ditemui di kawasan pesisir lebih dari tiga batu nautika, dan bagaimanapun Petronas (terus) membuat pembayaran kepada negeri-negeri ini.

“Dengan hujah yang diturunkan dalam iklan (semalam), Terengganu, Sabah dan Sarawak juga tidak layak menerima bayaran tunai lima peratus (biasanya dan dengan kurang tepat dirujuk sebagai royalti minyak).

“Kesemua terletak pada budi bicara kerajaan persekutuan,” kata beliau dalam pandangannya dikeluarkan hari ini.

Pada 28 Jan lalu beliau menegaskan pada satu ceramah perdana bahawa Kelantan layak menerima wang royalti lima peratus.

Pun begitu kata beliau, pada tahun lalu Petronas telah membayar RM6.2 bilion dalam bentuk bayaran tunai dengan RM3 bilion kepada Terengganu, RM2.3 bilion kepada Sarawak dan RM0.9 bilion kepada Sabah.

Ahli Parlimen dan Ketua Umno Bahagian Gua Musang ini menambah, oleh itu ada pihak tertanya-tanya atas dasar apa bayaran itu dibuat memandangkan petroleum hanya ditemui di kawasan luar pesisir tiga batu nautika.

Oleh itu tegas beliau, hujah untuk menafikan hak Kelantan daripada memperoleh bayaran tunai lima peratus atas dasar minyak berada di kawasan tiga batu nautika sebenarnya “satu penghinaan kepada kebijaksanaan” seseorang.

Semalam kerajaan pusat mengiklankan penjelasan isu tersebut dalam akhbar-akhbar Bahasa Malaysia dengan menyasarkan pendirian Tengku Razaleigh dan juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam iklan satu halaman yang disiarkan di Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Sinar Harian kerajaan pusat mendakwa kenyataan Tengku Razaleigh berhubung isu bayaran royalti kepada Kelantan hanya perlu dilihat sebagai pendapat peribadi beliau semata-mata.

Oleh itu, kerajaan pusat berkata sebarang keputusan yang diambil berkenaan hak pembayaran royalti perlu dibuat berasaskan peruntukan undang-undang yang berkaitan serta perjanjian-perjanjian yang ditandatangani di antara Petronas dengan kerajaan-kerajaan negeri.

Tengku Razaleigh, bekas pengerusi dan pengasas Petronas, menambah bahawa pembayaran wang tunai lima peratus adalah manfaat dinikmati rakyat tetapi telah dinafikan oleh Umno Kelantan selepas 34 tahun bekas perdana menteri Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia.

Katanya, tiada pihak dengan fikiran waras akan melakukan ini sebagai satu tindakan, yang kononnya akan memanfaatkan kedudukan jangka panjang Umno di Kelantan, malah di mana-mana sahaja orang memerhatikan perbuatan seperti ini.

“Saya dituduh meletakkan kepentingan negeri berbanding kepentingan parti. Bagaimanapun isu ini melangkaui (kepentingan) Kelantan.

“Hujah yang diletakkan dalam iklan semalan mengetepikan hak semua negeri dalam soal sumber alam semula jadi, yang merupakan hak kedaulatan mereka,” katanya.

Ia juga menafikan perjanjian antara Petronas dan negeri-negeri terbabit dan mengetepikan tujuan asal penubuhan syarikat tersebut, kata beliau.

“Salah satu implikasi segera diturunkan dalam iklan penjelasan rasmi oleh Kementerian Penerangan semalam ialah Terengganu juga tidak layak untuk mendapatkan bayaran minyak (tunai).

“Ini bermakna selepas memotong kesemua bayaran apabila Terengganu jatuh ke tangan pembangkang (pada 1999) dan digantikan dengan wang ihsan, tiada asas sama sekali bagi janji kerajaan untuk kembali kepada bayaran tunai.

“Kesemua minyak Terengganu ditemui jauh di kawasan pesisir pantai,” katanya.

Disebabkan itu menurut beliau, apa yang terpakai kepada Kelantan juga diguna pakai ke atas Terengganu.

“Pada akhirnya, ia bukan persoalan politik ataupun personaliti.

“Ia bukannya pasal saya atau sesiapa berkata, ataupun di mana PAS dan Umno berdiri,” kata Tengku Razaleigh sambil menambah, ia sebenarnya berkaitan dengan pematuhan kerajaan dengan perjanjian bertulis yang diluluskan oleh Parlimen dan sama ada menghormati prinsip demokrasi berparlimen.

Tegas beliau, sama ada hak orang ramai dipenuhi ataupun tidak ia bergantung kepada siapa mereka mengundi.

“Melayan Terengganu dan Kelantan dengan cara ini, kita menafikan hak mereka kepada wang yang mereka berhak untuk memiliki, menafikan hak kedaulatan negeri mereka dan mengikis demokrasi berparlimen,” katanya.- The Malaysian Insider.

Friday, February 12, 2010

Masyarakat Tionghua punya semangat baru laksana perubahan


Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 13 Feb: PAS percaya bahawa masyarakat Tionghua di Malaysia akan terus menerus mempunyai keazaman dan semangat baru ke arah melaksanakan perubahan bersama dalam negara kita ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, perubahan itu tidak boleh berlaku tanpa persefahaman dan hubungan baik antara kaum-kaum yang ada dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

“Kami percaya bahawa masyarakat Tionghua dalam negara kita mampu untuk memainkan peranan yang lebih aktif, terutamanya dalam aspek pembangunan ekonomi yang menjadi asas penting dalam struktur ekonomi negara,” ujarnya dalam perutusan sempena Tahun Baru Cina.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau.

Bagi pihak Parti Islam SeMalaysia (PAS), saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan menyambut Perayaan Tahun Baru Cina kepada seluruh peringkat masyarakat Tionghua di Malaysia.

PAS percaya bahawa masyarakat Tionghua di Malaysia akan terus menerus mempunyai keazaman dan semangat baru ke arah melaksanakan perubahan bersama dalam negara kita ini. Perubahan ini tidak boleh berlaku tanpa persefahaman dan hubungan baik antara kaum-kaum yang ada dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Kami percaya bahawa masyarakat Tionghua dalam negara kita mampu untuk memainkan peranan yang lebih aktif, terutamanya dalam aspek pembangunan ekonomi yang menjadi asas penting dalam struktur ekonomi negara.

PAS juga berkeyakinan bahawa asas untuk mewujudkan keharmonian yang lebih kukuh di Malaysia adalah semestinya berteraskan kepada keadilan sejagat terhadap semua kaum, terutamanya kepada kelompok masyarakat yang tertinggal akibat dari ketidakadilan yang berlaku sepanjang 50 tahun ini.

Pembentukan Dewan Himpunan Penyokong PAS juga turut menjadi bukti bahawa PAS ingin lebih memahami kehendak dan keperluan pelbagai rumpun masyarakat di Malaysia yang turut sama-sama menyumbang kepada pembentukan negara Malaysia yang lebih sejahtera. Semoga sifat bersefahaman dan saling menghormati ini akan terus diperkasakan.

Akhir kata, semoga tahun baru ini akan membawa kesejahteraan dan keamanan kepada semua, dan mudah-mudahan ia menjadi tahun yang baik, malah lebih baik dari yang terdahulu khasnya dari segi ekonomi dan politik buat negara kita yang tercinta dan seluruh dunia amnya.


Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,

Presiden PAS.

Tukar Kerajaan BN Yang Tidak Pandai Memerintah – Siti Zailah



Tukar Kerajaan BN Yang Tidak Pandai Memerintah – Siti Zailah
Friday, 12 February 2010 00:53 WanKay & SM Noor
KUALA NERUS - Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Muhd Yusoff menyifatkan Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pandai memerintah dan sudah masanya ia ditukar.
Ia adalah kerana, katanya, BN yang memerintah negara banyak melakukan pembaziran wang rakyat serta ketirisan dalam mengurus harta negara.
“Dimaklumkan dalam Dewan di Parlimen, yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara ketirisan sahaja yang berlaku tahun 2009 lalu sebanyak RM28 bilion.
“Ini duit rakyat, duit negara. Penyelewengan yang ditemui oleh Audit terlalu banyak dan perlu didedahkan,” tegasnya

Beliau yang juga Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat, berkata demikian ketika berucap pada majlis Ceramah Isu Semasa di Pekan Batu Enam, Rabu, 10 Februari.

Menurutnya, antara penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin Umno-BN terhadap beberapa tuntutan yang tidak munasabah.

“Laporan Audit melaporkan ada satu harga komputer riba yang berharga RM2,000 dan dia (Umno-BN) tuntut dengan kerajaan RM42,000.


“Satu kotak skru drebar yang berharga RM30 dia (Umno-BN) tuntut RM4,700 dan satu pasu bunga yang harga RM20 dia tuntut dengan harga RM350,” dedahnya dihadapan lebih 1000 hadirin.


Lebih teruk lagi, katanya, Laporan tersebut juga mendedahkan, terdapat penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang dipalsukan, tidak pernah wujud.


Beliau berkata, ada penerima yang namanya palsu dan kad pengenalan juga palsu termasuk dalam senarai penerima bantuan JKM.


“Nama palsu dan nombor i/c (kad pengenalan) pasul tetapi masuk senarai penerima bantuan JKM. Nama (penerima) itu tidak ada pun dalam Pendaftaran Negara. Ini kerja Umno-BN,” jelasnya.


Selain itu, katanya berlaku juga pembaziran yang menggambarkan ketidakcerdikan pemimpin Umno-BN memerintah negara.


“Kediaman rasmi Perdana Menteri (PM) dan Timbalan Perdana Menteri (TPM) di Putrajaya iaitu Seri Perdana dan Sri Satria disewa dengan Syarikat Perbadanan Putrajaya Holdings Berhad.


“Kerajaan bayar sewa setiap bulan kepada perbadanan itu untuk rumah rasmi PM sahaja sebanyak RM11,300 sehari dan sewa rumah kediaman TPM pula RM7,600 sehari,” jelasnya.


Menurutnya, dua buah rumah tersebut kerajaan terpaksa berbelanja hampir RM7 juta setahun untuk sewa rumah dua pemimpin tertinggi negara.


Kata beliau, jika duit sebanyak RM7 juta itu digunakan untuk membuat dua buah rumah kekal bagi Perdana Menteri dan Timbalannya adalah lebih baik.


“Jika dia (Umno-BN) guna duit RM7 juta itu dan buat rumah kekal untuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, masuk tahun kedua tidak payah menyewa lagi.


“Sejak zaman Tun Dr Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan sekarang ini Dato’ Seri Najib Tun Razak. Berapa juta wang rakyat dan wang negara dibazirkan atas sewaan rumah itu,” ujarnya.


Justeru itu, katanya PAS dan Pakatan Rakyat kena gerakkan jentera parti masing-masing dari sekarang.


Menurutnya, dalam masa setahun setengah lagi Parlimen akan dibubarkan dan rakyat perlu diberikan penjelasan.


Hadir sama pada majlis tersebut Ketua dan Setiausaha Muslimat PAS Terengganu, Safinah Jusoh dan Raja Endun Raja Abdul Rahman.

Dengar ceramah penuh Yb Siti Zailah melalui Buletinonline Radio atau lihat sedutan klip video dibawah

Wednesday, February 10, 2010

Kenyataan Media Tengku Razaleigh Hamzah



“Biar saya lanjutkan apa yang pernah saya katakan mengenai status Menteri Besar”

Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi di negara ini. Ia merupakan asas dan sumber kepada kuasa undang-undang, dan Raja-Raja telah bersumpah untuk mempertahankannya.

Menurut Perlembagaan, Dato’ Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar sehinggalah beliau meletak jawatan atas kerelaannya, atau disingkirkan melalui undi tidak percaya menerusi persidangan dewan undangan negeri.

Perlembagaan tidak mempunyai sebarang peruntukan untuk menyingkirkannya melalui cara lain, termasuk melalui petisyen atau arahan daripada mana-mana pihak berkuasa.
Dua prinsip perlu dijelaskan:

Pertama, kerajaan yang memerintah diasaskan menurut undang-undang dan prinsip yang terdapat dalam Perlembagaan. Inilah yang membezakan di antara kerajaan yang dibentuk secara sah dan yang dibentuk secara kekerasan melalui undang-undang rimba.

Kedua, kerajaan yang dibentuk secara sah menurut Perlembagaan memperolehi kuasanya daripada mandat yang diberikan rakyat, hanya melalui cara itu. Mandat diberikan oleh rakyat kerana kerajaan itu dibentuk menurut Perlembagaan, dan pemimpin-pemimpinnya mereka pilih melalui pilihan raya yang bebas dan adil.

Kita perlu menguji mandat ini secara berkala. Pada waktu-waktu penting seperti apabila sesebuah kerajaan akan dibentuk atau dibubarkan, Perlembagaan memperuntukkan kaedah ujian yang formal dan definitif untuk mengukur sejauh mana mandat rakyat diperolehi oleh kerajaan berkenaan.

Jadi, kita adakan pilihan raya untuk menguji sejauh mana sokongan di kalangan rakyat yang diperolehi oleh seseorang calon pimimpin. Persoalan dikemukakan dalam pilihan raya yan dikawal oleh undang-undang dan persetujuan yang mendahului masa.

Jika pilihan raya tidak diadakan, atau sekiranya pilihan raya itu diragui kebebasan dan keadilannya, maka persoalankeabsahan kepimpinan tidak dapat ditentukan.
Walau seramai mana pun orang berarak dan meneriakkan nama anda, semuanya itu tidak diambil kira. Anda perlu membuktikan bahawa anda mempunyai sokongan pengundi melalui pilihan raya yang bebas dan adil.

Sama juga, Perlembagaan menyediakan satu kaedah definitif untuk menguji sama ada seseorang Menteri Besar atau Perdana Menteri masih mempunyai majoriti di Dun atau Parlimen. Kita akan kemukakan undi tidak percaya di Dun atau Parlimen.

Apa yang akan diambil kira nanti ialah keputusan persidangan tersebut. Ia tidak mengambil kira sebanyak mana akuan bersumpah, peralihan sokongan, sidang media dan perisytiharan yang dibuat. Ia juga tidak mengambil kira berapa banyak bentuk pengiklanan, pameran, tarikan dan tenaga yang ditanggung bagi menghadapi persoalan tersebut.

Bagi menguji secara formal mandat kerajaan sekarang, sama ada di Perak, Sabah atau kerajaan Persekutuan, persoalan perlu dikemukakan kepada rakyat melalui pilihan raya negeri, atau menerusi persidangan melalui undi formal di dewan. Inilah ujian-ujian yang diambil kira dalam demokrasi berperlembagaan kita.

Inilah juga apa yang diertikan sebagai demokrasi berparlimen. Untuk menyingkir atau membentuk kerajaan melalui cara selain itu akan menyalahi Perlembagaan, melunturkan kuasa undang-undang dan berhadapan dengan risiko pembentukan kerajaan yang haram.

Pihak berkuasa yang sah hanya boleh ditubuhkan melalui kaedah demokratik seperti yang disebut oleh Perlembagaan. Kuasa yang sah dan betul berbeza sepenuhnya daripada kuasa buas yang boleh dibeli, jual atau dirampas menggunakan kekuatan.

Tengku Razaleigh Hamzah

Monday, February 1, 2010

NGO Melayu-Islam, PAS umpama anggota badan yang sama


Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 1 Feb: PAS menganggap badan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam seperti sebahagian daripada parti itu dalam mendepani isu penggunaan kalimah 'Allah' di kalangan masyarakat bukan Islam.

Bercakap pada Majlis Dialog Bersama-sama NGO, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengumpamakan PAS dan NGO yang hadir seperti anggota badan dari tubuh yang sama.

"Peranan NGO dan parti (PAS) adalah seperti anggota-anggota dari badan yang sama. Baik NGO-NGO atau parti dakwah seperti PAS sendiri seharusnya menghapuskan sentimen politik kepartian, taksub atau nak mengekalkan kuasa dengan melaksanakan dakwah secara dialog," jelas beliau pada majlis yang diadakan di sebuah hotel, di sini malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan bahawa PAS dan NGO Melayu-Islam seharusnya lebih progresif mengajak penganut Kristian berdialog dalam mencari kebenaran sebenar Allah.

"Sepatutnya kita perlu lebih progresif seperti Rasulullah s.a.w, diajak mereka, Yahudi dan Nasrani ini berdialog atas 'kalimatiin thawa'in' iaitu atas nama Allah.

"Rasulullah bertanya tentang pengabdian yang sebenar kepada Allah apabila Yahudi berkata Uzair itu anak Allah, Nasrani berkata Isa itu anak Allah; sehingga akhirnya mereka melihat keadilan Islam (melalui) pendekatan dialog," jelasnya.

Mengakui kebolehupayaan berdialog antara agama oleh beberapa NGO Islam, Abdul Hadi mewakili PAS menyeru mereka yang terbabit membantu PAS melaksanakan tugasan dakwah kepada masyarakat bukan Islam.

"Rakan-rakan kita yang mempunyai kepakaran dakam dialog antara agama, maka kita (PAS) dan NGO perlu ambil manfaat seperti Ahmad Deedat dan Zakir Naik, begitu juga di Malaysia, Allah tentu melantik di antara kita seperti Ahmad Deedat dan Zakir Naik,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui rasa bimbang sekiranya umat Islam dikelirukan oleh penerbitan akhbar mingguan The Herald menggunakan kalimah Allah, seperti yang dibangkitkan oleh beberapa pemimpin NGO.

Pun begitu, beliau tidak bersetuju penguatkuasaan undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri kepada mereka yang disyaki menyalahgunakan kalimah 'Allah'.

"Sekiranya didapati mereka menggunakan nama Allah pada tempat yang tidak betul, maka perlu didakwa mereka secara adil, tidak boleh digunakan ISA.

"Dialog mesti mendahului undang-Undang. Undang-undang adalah jalan terakhir sekiranya dialog gagal membawa kebenaran kepada (masyarakat) bukan Islam," katanya.

Antara yang menyertai Majlis Dialog bersama-sama Presiden PAS adalah Presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM,) Zaid Kamaruddin, Presiden Guaman Syariah Malaysia (PGSM), Mohamad Isa Abdul Ratip, wakil Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Mohd Azmi Walang, jurucakap bagi Saba' Islamic Media, Shah Kirit Kakolal Davinji, wakil Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Jamaluddin Ismail, Pengerusi Ilmuan, Kamaruzzaman Yusoff, Jaringan Siswazah Malaysia, Mohd Asrul Mohd Nor @ Ismail, Persatuan Pelajar Islam Selangor.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Hadi yang mewakili PAS menyatakan komitmen untuk membantu Pakatan Rakyat (PR) mengadakan dialog antara agama dalam masa terdekat, seperti ketetapan mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat petang semalam.

PAS Pertahankan Ku Li