Friday, November 27, 2009

Eidul Adha 1430H, Hari Haji Akbar

E-mail Print PDF
http://buletinonline.net/images/stories/berita14/tokgurukorban.JPGMARANG – Hari raya Eidul Adha pada tahun ini yang jatuh pada hari Jumaat di panggil sebagai Haji Akbar, kerana hari wukuf di Arafah dan hari ‘nahar’ atau hari ke 10 Zulhijjah jatuh pada hari Jumaat.

Demikian dinyatakan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dalam mukaddimah khutbah Eidul Adhanya, di masjid Rusila hari ini.

Katanya, hari haji akbar penting kerana pada hari tersebut Allah mengisytiharkan berlepas diri dari orang-orang musyrikin sebagaimana dinyatakan dalam surah atTaubah, ayat ke sembilan.

Beliau turut mengingatkan seluruh umat Islam bahawa perbuatan syirik itu bukan hanya menyembah patung dan berhala, tetapi seseorang Islam menjadi syirik apabila mengadakan undang-undang yang lain daripada undang-undang Allah dan mempercayai kepada undang-undang tersebut.

”Termasuklah syirik itu, mengadakan undang-undang yang lain daripada undang-undang Allah, dan percaya kepada undang-undang itu,

”mengadakan peraturan lain daripada peraturan (yang telah ditetapkan oleh) Allah dan menerima peraturan itu,”jelasnya.

Menurutnya, Allah telah menetapkan undang-undang (syariat) ke atas manusia yang berkait dengan ibadat, makan minum, pakaian dan pergaulan.

Begitu juga, katanya, Allah menetapkan undang-undang yang berkaitan dengan politik, ekonomi dan pemerintahan negara.

Sebaik selesai menunaikan solat sunat Edul Adha, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang telah bertemu dan beramah mesra dengan jamaah yang hadir.

http://buletinonline.net/images/stories/berita14/drazmankorban.jpgUstaz Abdul Hadi turut menunaikan ibadah korban dengan menyembelih tiga ekor lembu (gambar atas) di perkarangan Masjid, dan diagih-agihkan dagingnya kepada orang ramai.

Sementara itu, di Masjid Tahfiz Tok Jiring, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Abu Bakar menyampaikan khutbah dan mendirikan solat sunat Eidul Adha dan menyembelih dua ekor binatang korban.

Manakala di DUN Jabi, Setiu, Ketua Penerangan PAS Kawasan, Dr Azman Ibrahim meraikan Eidul Adha bersama-sama masyarakat di Kampung Bukit Tanah.

Beliau turut bersama-sama bergotong-royong melaksanakan ibadah korban bersama PAS Cawangan berkenaan (gambar kanan - berbaju biru).

>>> sambutan Eidul Adha akan dikemaskini lanjut selepas ini.



Saturday, November 21, 2009

Nik Aziz disenarai 50 tokoh berpengaruh di dunia Islam 2009


PDF | Print | E-mail
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Nov: PAS mendapat penghormatan dunia Islam apabila Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah disenaraikan antara '50 tokoh Islam paling berpengaruh di dunia'.

Menteri Besar Kelantan itu, disenarai di tempat ke 42 dalam senarai '500 Muslim yang Berpengaruh Tahun 2009'.

The Royal Islamic Strategic Studies Center untuk pertama kalinya menerbitkan buku “The 500 Most Influential Muslims In The World” tahun 2009.

Para tokoh muslim dari seluruh dunia yang terpilih masuk dalam daftar itu adalah kalangan Muslim yang dianggap memiliki kemampuan untuk mempengaruhi keadaan kemanusian dan mampu membawa perubahan dalam kehidupan ramai orang.

“500 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia” sepanjang tahun 2009 itu, dibahagi dalam 15 katagori, antara lain katagori ulama, politik, cendekiawan, perempuan, pemuda, ilmu dan teknologi, media sampai kategori muslim radikal.

(Nik Aziz ditangga ke 42 Muslim paling berpengaruh di didunia)

Tokoh Muslim dunia lainnya yang masuk dalam daftar 50 tokoh peringkat teratas dimulai dengan, Raja Saudi, Abdullah bin Abdul Aziz Al Saud; pemimpin spritual Iran, Syed Ali Khamenei; PM Turki Recep Tayyib Erdogan; Imam Besar Masjid Al-Azhar dan Pimpinan Universitas Al-Azhar, Kairo, Dr Muhammad Sayyid Tantawi; Syaikh Yusuf Al-Qaradawi; Pimpinan Ikhwanul Muslimin Mesir Syaikh Mohammad Mahdi Akef, Sekjen Hizbullah, Syed Hassan Nasrallah dan Pimpinan Hamas, Khaleed Mishal.

Nama Anwar Ibrahim turut disenaraikan di dalam lis 450 “Honourable Mention” di dalam pencapaian di bidang masing-masing dan diantara tokoh Islam yang signifikan di dalam dunia.

Nama Anwar Ibrahim tersenarai di bidang politik berserta dengan nama Tun Dr Mahathir Mohammad tetapi nama Mahathir tidak disenaraikan di dalam “Honorable Mention”.

Dari kalangan cendekiawan, daripada Malaysia yang tersenarai ialah Prof Emeritus Datuk Osman Bakar, Timbalan Naib Chancellor, Universiti Malaya dan Professor Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof. Dr. Mohammad Hashim Kamali.

Mohideen Abdul Kadir, Naib Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang di dalam kategori Pembangunan sementara Kumpulan Raihan turut tersenarai di dalam katagori Seni dan Budaya.


Dalam pengantar buku yang diterbitkan untuk membantu dan membuka wawasan tentang pengaruh umat Islam di dunia saat ini dan beragamnya kelompok-kelompok Islam yang ada di seluruh dunia.

Penyusunan buku ini melibatkan pengamat dunia Islam yang namanya sudah dikenal secara meluas di dunia antarabangsa, Profesor John Esposito dan Profesor Ibrahim Kalin sebagai editor utama.

Monday, November 16, 2009

DUN Kota Siputeh diisytiharkan kosong


Nov 16, 09 6:32pm
Kerusi DUN Kota Siputeh diisytiharkan kosong dan satu pilihan raya kecil seharusnya dipanggil untuk mengisi kekosongan tersebut.

Keputusan tersebut dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini setelah mendengar permohonan Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail untuk semakan kehakiman terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengekalkan Datuk Abu Hassan Sarif sebagai wakil rakyat di situ.

Abdul Isa memfailkan saman pada 1 Oktober lalu, menamakan Abu Hassan daripada BN dan SPR sebagai responden.

Beliau memohon diisytiharkan Abu Hassan bukan lagi ADUN bagi kerusi tersebut berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan DUN secara berturut-turut dan injunksi menghalang beliau daripada menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Beliau juga memohon mahkamah mengisytiharkan kerusi itu kosong dan memerintahkan SPR mengadakan pilihan raya kecil di samping memohon ganti rugi, kos dan faedah lain.

Pada 1 September lalu, SPR memutuskan tidak berlaku kekosongan di kerusi Kota Siputeh dan Abu Hassan masih menjadi wakil rakyatnya.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan bertindak bagi pihak SPR.

Sementara itu, mahkamah menolak permohonan lisan pihak responden untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan Jumaat untuk mendengar permohonan formal untuk menangguhkan keputusan mahkamah.

Get Paid To Read Emails


Sunday, November 8, 2009

Seminar politik PAS: Pintu UG dikunci ketat

Lim Hong Siang | Nov 07, 2009 11:22:33 pm

"...PAS wajar segera mempertegaskan kepada semua peringkat keahlian dari kepimpinan tertinggi sehingga ke akar umbi bahawa telah dikunci dengan ketat segala pintu-pintu perbincangan dalam parti tentang agenda 'Kerajaan Perpaduan'...", Resolusi Seminar Memperkasakan Parti.

"Tak mungkin dibangkitkan lagi kerana kita dah tutup. Ini pendirian PAS, pendirian Pakatan Rakyat," kata Abdul Hadi Awang, selaku Presiden PAS ketika menjawab soalan tindakan yang akan diambil terhadap pemimpin yang membangkitkan isu Kerajaan Perpaduan pada masa depan.

Demikianlah kesudahannya, apabila Seminar Memperkasakan Parti melabuh tirai selepas lebih lapan jam persidangan kira-kira 1,500 perwakilan di Markas Tabbiyah Pusat Taman Melewar, Kuala Lumpur pada hari ini. Resolusi yang dirangka selepas melalui sesi percambahan minda, dialog dan perbahasan ucaptama Presiden ini, mungkin tidak bertaring, namun tetap memihak kepada "pro-Pakatan".

Muktamar menjadi seminar

Walaupun hanya sempat mengikuti Ucaptama Presiden, Abdul Hadi Awang yang bertajuk "Memperkasa Peranan PAS Dalam Memperkukuhkan Pakatan Rakyat Mendepani Cabaran PRU 13", dan terpaksa meninggalkan dewan kerana terganggu dengan masalah kesihatan, Mursyidul Am Nik Abdul Aziz Nik Mat bagaimanapun mungkin akan tersenyum dengan kesudahan sedemikian.

Nik Aziz membuat kejutan apabila menuntut secara terbuka agar Muktamar Khas diadakan untuk "menyelesaikan" beberapa orang pemimpin yang bermasalah dalam parti. Walau bagaimanapun, beliau akhirnya berganjak langkah dan memberi laluan kepada "Seminar Politik", sebagai gantian kepada Muktamar Khas.

Pendekatan Nik Aziz yang meluahkan ketidakpuasan dalam blog beliau sememangnya mengundang pertikaian. Sementara ada yang menegur saluran yang digunakan oleh Mursyidul Am ini, ada juga perwakilan yang membangkitkan kemungkinan teguran beliau melalui saluran dalaman tidak didengar sebelum ini.

Kehadiran pakar perlembagaan, Abdul Aziz Bari dan ahli akademik Abu Hassan Hasbullah (gambar kanan) dalam sesi Percambahan Minda, yang diberikan ruang untuk mengkritik secara terbuka pimpinan Abdul Hadi Awang di khalayak ramai, amat menguji keterbukaan dan kesabaran Presiden terhadap pandangan yang berbeza.

Abdul Aziz Bari yang sebelum ini melontarkan kritikan pedas terhadap Hadi Awang, termasuk "hilang stim", "Pak Lah versi PAS", menjadi sasaran perwakilan PAS. Untuk tempoh yang agak panjang, pertikaian berlegar antara "kritikan", "tohmahan" dan "fitnah". Akhirnya, Abu Hassan Hasbullah berjaya mengubah minda perwakilan, apabila mempertahankan rakan panelnya dengan membuktikan bagaimana "persepsi" boleh bertukar menjadi "informasi".

"Tumpuannya bukan Prof.Aziz Bari!"

Sesetengah perwakilan yang pantang pimpinan mereka dikritik, bangkit menuntut agar Aziz Bari mendedahkan sumber maklumat kononnya "Hadi Awang membawa PAS memasuki UMNO". Malah, mereka mendakwa tuduhan Aziz Bari berdasarkan "persepsi", dan menuntut agar beliau menarik balik tuduhan tersebut jikalau gagal membuktikan kebenarannya.

Sebaliknya, terdapat pula sebahagian perwakilan yang tidak berpuas hati dengan Aziz Bari yang jelas berlapik, dan mengelakkan diri untuk mengulas dengan lebih lanjut kritikan tajamnya terhadap Hadi Awang.

Misalnya ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad, mengasak Aziz Bari (gambar kiri) yang sekadar menyebut "memekik-pekik bersama Pakatan Rakyat, tetapi apa yang dilakukan lain", untuk menjelaskan maksud "apa yang dilakukan lain" itu. Aziz Bari kemudian merujuk kepada isu SELESA dan SELCAT di Selangor, walaupun tanpa menyebut nama Hasan Ali (Pesuruhjaya PAS Selangor merangkap EXCO), tetapi menuduh sikap "cakap lain buat lain" ini memberi modal kepada musuh untuk menunjukkan bahawa PR gagal mentadbir.

Perbincangan menyentuh isu pokoknya, apabila Aiman Athirah Al-Jundi dari Dewan Muslimat bangkit berkata, "tumpuan Seminar Memperkasakan Parti ini saya kira bukan Profesor Aziz Bari. Kalau kita fikir Profesor Aziz Bari itu sudah silap. Tumpuan kita yang utama bersusur-galur daripada Unity Government... yang dilontarkan begitu sahaja, dan ditutup begitu sahaja tanpa apa-apa taklimat kepada kita...."

"Bila dilontarkan begitu sahaja dan tidak dijelaskan secara... bertanggungjawab, oleh sesiapa sahaja, dan dibincangkan secara bertanggungjawab di peringkat sepatutnya, maka benda tu berderet sehinggalah sampai seminar hari ini," sambung Aiman Athirah.

Hilang fokus

Walau bagaimanapun, sesi perbahasan ucaptama Presiden memperlihatkan bagaimana seminar yang tidak dijadualkan dengan usul yang tetap dan jelas sebermulanya, kehilangan fokus dalam perbahasan seterusnya.

Perbahasan perwakilan jarang menyentuh "halatuju PAS" pada masa depan, tetapi lebih dari perspektif perbalahan antara dua orang ulama dalam parti. Maka, pertikaian wujud terhadap tindakan Nik Aziz Nik Mat yang meluahkan ketidakpuasan melalui blog (oleh perwakilan Selangor), siapakah yang mempunyai autoriti sebenarnya antara Presiden parti dan Mursyidul Am (oleh perwakilan Negeri Sembilan)?

Antara yang menyentuh isu "rakan sekutu politik" adalah seperti perwakilan Wilayah Persekutuan yang menyanggah hujah "PAS sebagai liabiliti PR", dengan merujuk kepada isu DAP Kedah yang juga keluar daripada PR (DAP menarik balik akhirnya); perwakilan Negeri Sembilan yang mahu hubungan dengan PR dikekalkan, tetapi dengan pindaan, memandangkan perjuangan hak Melayu-Islam terhalang, misalnya di Selangor...

Perwakilan Johor pula menyentuh insiden pertemuan sulit PAS-UMNO, yang dinafikan sehingga pengesahan bekas PM Abdullah Ahmad Badawi; insiden lontaran gagasan besar, seperti UG tanpa difahami isi kandungannya, dan ditarik brek akhirnya; insiden pucuk pimpinan membiarkan kemelut di Selangor berlanjutan kira-kira enam bulan tanpa diselesaikan dan akhirnya, insiden respon kepada Nik Aziz yang melemparkan tuduhan dalam blog peribadinya.

Malah, perwakilan Johor ini menyeru agar kedua-dua Nik Aziz dan Hadi Awang tidak berbalah secara terbuka, kerana ahli PAS di akar umbi menghadapi kesukaran untuk menjawab sindiran orang lain.

Apa yang dikongsi bersama?

Apabila isu pokok "pilihan antara PR dengan BN", tidak dinyatakan dengan jelas, malah lebih dilihat sebagai "antara Nik Aziz dengan Hadi Awang", maka kedua-dua pihak agak sukar untuk meramal kecenderungan perwakilan yang sebenarnya. Antara yang membela Hadi, menjelaskan "masuk UMNO" adalah fitnah semata-mata, mengandaikan UMNO sebagai musuh yang jahat.

Perwakilan yang mempertahankan Hadi tidak semestinya inginkan kerjasama dengan UMNO-BN, tetapi tidak sanggup melihat Hadi dituduh berbuat demikian. Dengan kata lain, walaupun mungkin ramai yang mempertahankan pimpinan Hadi dan pasukannya, namun tidak bermakna bahawa mereka inginkan kerjasama PAS dengan UMNO-BN.

Justeru itu, apabila Resolusi yang berbunyi "...dikunci dengan ketat segala pintu-pintu perbincangan dalam parti tentang agenda Kerajaan Perpaduan" dibacakan, perwakilan terpaksa bangun dan menyahut untuk menyetujuinya, walaupun mungkin masih teragak-agak apakah resolusi sedemikian pro-Hadi?

Walau bagaimanapun, resolusi tersebut telah diluluskan lebih daripada 1000 perwakilan pada akhir seminar. Malah, Hadi Awang (gambar kanan) dalam penggulungannya perlu menegaskan pendirian PAS untuk bersama PR, dan terpaksa mengulangi ketegasan "mustahil isu kerajaan perpaduan berbangkit kelak" dalam sidang medianya.

Oleh itu, walaupun belum adanya tindakan konkrit terhadap pemimpin yang mengujar "Kerajaan Perpaduan", atau mengacau-bilaukan PR sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan, namun Nik Aziz sekurang-kurangnya berjaya mendesak agar Hadi Awang dan anak buahnya untuk mengulangi janji "tutup pintu Kerajaan Perpaduan".

Resolusi yang diluluskan perwakilan telah mengunci pintu rundingan bersama UMNO dengan ketat. Isyaratnya mudah difahami-- walaupun pintu tetap boleh dipecahkan, tetapi sudah pastinya, amanah akan terpecah dahulu sebelum pintu rundingan Kerajaan Perpaduan ditembusi. Sebagai seorang pemimpin parti Islam, apakah Hadi Awang sanggup pecah amanahnya?

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

Tuesday, November 3, 2009

PAS akan muncul sebagai parti yang dominan dan terunggul



Posted on Monday, November 02 @ 23:11:00 PST by Paktam

Oleh Mohd Rashidi Hassan

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) sudah berada dalam arena politik negara dalam suatu jangka masa yang lama iaitu lebih 55 tahun, sejak ia ditubuhkan pada 23 November 1951. Sepanjang pembabitannya dalam politik negara sejak sebelum merdeka lagi, PAS dikenali oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, sebagai sebuah parti Islam.



PAS memaktubkan dalam Perlembagaannya, bahawa matlamat utamanya ialah untuk mewujudkan masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah.

Sebagai sebuah parti Islam, PAS bertanggungjawab mempertahankan kesucian Islam, memelihara kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Bagi mencapai tujuan tersebut PAS menggariskan 11 usaha dalam Perlembagannya, yang antara lainnya, meletakkan prinsip Islam yang utama dalam berpolitik sebagai usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap aspek.

PAS bertanggungjawab menyuburkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum, dengan membantu memperbaiki perencanaan politik, ekonomi dan sistem sosial.

Untuk mencapai matlamat dan usahanya, PAS harus bekerjasama dengan badan politik atau lain-lain persatuan bila mana ianya mustahak dan sesuai dengan perjuangannya.

Di atas prinsip-prinsip Islam inilah PAS terus kekal dalam politik negara. Dengan prinsip ini juga PAS mengalami jatuh bangun, kalah menang, memimpin kerajaan negeri atau menjadi pembangkang.

Menyusuri sejarah politik PAS, PAS pernah beberapa kali bertahaluf atau menjalinkan kerjasama politik, sama ada dengan parti yang memerintah atau gabungan parti pembangkang.

PAS pernah bergabung dengan Perikatan (Barisan Nasional) pada tahun 1974, sebelum ditendang keluar pada tahun 1978.

Akibatnya, Kerajaan Negeri Kelantan yang diterajui PAS sejak 1955, ditumbangkan pada 1979 dengan cara yang mengaibkan hasil kegelojohan pemimpin Umno-BN.

PAS juga mengalami krisis kepimpinan apabila Yang Dipertua Agungnya, Dato' Asri Muda bersama beberapa yang lain menyertai Umno pada tahun 1982.

Kepimpinan PAS kemudiannya, diambilalih oleh al-Marhum Ustaz Yusof Rawa. PAS menjalani fasa kesuraman dalam perjuangannya. Wakil Parlimennya hanya tinggal seorang iaitu Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, beserta beberapa orang Ahli Dewan Undangan Negeri di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-7 pada tahun 1986, PAS memulakan era politik baru dengan bekerjasama dengan parti-parti pembangkang seperti Nasma, SDP, CCC dan lain-lain.

Namun kerjasama tersebut tidak mampu memberikan impak besar kepada perubahan iklim politik. Status-quo PAS dengan kerusi tunggal Parlimen dan beberapa kerusi Dun.

PAS mengalami sedikit perbalahan kecil di kalangan kepimpinan, sehingga Naib Yang Dipertua PAS Pusat, Ustaz Nakhaie Ahmad meletak jawatan dan menyertai Umno. Bagaimanapun pemergian Nakhaie, tidak langsung memberi apa-apa kesan terhadap PAS.

PAS mula mengalami perubahan selepas kepimpinannya bertukar tangan. Ustaz Yusof Rawa mengundurkan diri kerana keuzuran pada tahun 1987, maka kepimpinan diambil alih oleh Ustaz Fadzil Mohd Noor dengan gandingan Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai timbalannya.

Dalam masa yang sama Umno juga menghadapi pelbagai krisis kepimpinan, Tengku Razaleigh Hamzah bertembung dengan Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad dalam perebutan sengit jawatan Presiden Umno.

Perpecahan dalaman Umno turut mengheret krisis kehakiman dalam negara yang menyaksikan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dipecat.

Umno berpecah dan diharamkan. Mahathir menubuhkan Umno baru, manakala Tengku Razaleigh menubuhkan Parti Melayu Semangat 46.

Pada tahun 1989, PAS diajak bekerjasama dengan Tengku Razaleigh. Bertitik tolak daripada beberapa pertemuan antara kedua-dua parti maka terbentuk satu persefahaman politik baru.

PAS bergabung dengan Angkatan Perpaduan Ummah yang membariskan, Berjasa dan Hamim, manakala disebelah pihak lain dibentuk Gagasan Rakyat yang menggabungkan DAP dan PSRM.

Semangat 46 menjadi orang tengah antara parti Angkatan Perpaduan Ummah dengan Gagasan Rakyat. Idea mewujudkan dua bentuk gabungan yang berbeza ialah dengan tujuan mengelakkan pertembungan antara PAS dan DAP yang bertentangan ideologi.

Bagaimanapun, sejarah politik tidak boleh menafikan kebijaksanaan Tengku Razaleigh yang mampu meredakan ketengangan politik antara PAS dengan DAP, dengan mencapai matlamat yang satu iaitu menumbangkan Umno-BN.

Gabungan parti-parti pembangkang ini memasuki gelangang PRU ke-8 dengan jayanya walaupun tidak cukup kuat untuk memberikan impak untuk menumbangkan BN di peringkat Pusat.

Hasil dari kerjasama ini, PAS dan Semangat 46 menyapu bersih seluruh kerusi Parlimen dan Dun di Kelantan, beberapa kerusi Dun dan Parlimen di Terengganu. Hasil dari kerjasama ini juga PAS kembali menjadi parti yang dominan di Kelantan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada bulan Oktober 199), sehingga kini sudah 19 tahun PAS memerintah Kelantan.

Namun kerjasama dengan gabungan Angkatan Perpaduan Ummah tidak lama. Menjelang PRU ke-9 pada tahun 1995, Semangat 46 berpecah, beberapa orang pemimpinnya kembali kepangkuan Umno.

Gagasan Rakyat juga tidak kekal kerana DAP membuat keputusan tidak mahu bekerjasama dengan PAS yang komited dengan ideologi Islamnya.

Walaupun berlaku sedikit kesuraman dalam gabungan pembangkang, PAS berjaya mengekalkan kerajaan negeri Kelantan dan kerusi-kerusi Dun dan Parlimen di Terengganu dan Kedah.

Kepimpinan PAS terus utuh dan mantap. Di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil, Ustaz Hadi dan Ustaz Nik Aziz, PAS menikmati era kepimpinan ulama yang gemilang di kemuncaknya.

Pada ketika itu wujud desas desus yang kuat bahawa Tengku Razaleigh mahu membubarkan Semangat 46 dan kembali kepangkuan Umno. Namun PAS tetap setia dengan kerjasama sehingga saat-saat akhir.

Selepas Tengku Razaleigh memasuki Umno, pembangkang tidak lagi bersatu. PAS dan DAP serta parti-parti lain membuat haluan sendiri.

Bermula tahun 1997 Umno-BN kembali dengan bibit perpecahan dalaman yang hebat. Akibat daripada perpecahan yang sudah sampai kekemuncak, Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim, dipecat pada September 1998.

Perpecahan dalaman Umno amat hebat sehingga Mahathir tidak menjangka waktu itu pengaruh Anwar begitu kuat di kalangan rakyat. Tiap-tiap minggu rakyat berdemonstrasi di Kuala Lumpur membantah kezaliman Mahathir terhadap Anwar.

Peluang yang terbuka itu memungkinkan satu kerjasama dibentuk menjelang PRU ke-10 tahun 1999. Ustaz Fadzil lantas bekerjasama dengan Anwar. Parti Keadilan Nasional ditubuhkan.

Ustaz Fadzil menerajui NGO yang dinamakan Gerak. Gerak berjaya menggabungkan berpuluh-puluh NGO untuk bersatu menentang kezaliman Mahathir.

Dalam masa yang sama parti-parti pembangkang menubuhkan Barisan Alternatif (BA). Hasil gabungan PAS, Keadilan, DAP dan PRM.

Gabungan BA amat unik. Masing-masing mempunyai ideologi yang jauh berbeza, namun bekerjasama atas matlamat yang sama untuk menumbangkan BN.

Gabungan ini menghasilkan impak yang kuat. Pembangkang menang 45 kerusi Parlimen, mengekalkan Kelantan, merampas Terengganu dari BN dan menguasai separuh dari Kedah.

Walaupun masih tidak mampu menumbangkan BN keseluruhannya. Tetapi gabungan pembangkang ini, menunjukkan kesatuan yang hebat. Mereka berjaya mengetepikan ideologi, sebaliknya bekerjasama erat dalam pelbagai isu nasional.

Namun takdir Allah mengatasi segala-galanya. Di kemuncak kerjaya politiknya, Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor, yang juga Ahli Parlimen Pendang dan Ketua Pembangkang, dipanggil pulang mengadap-Nya pada 23 Jun 2002.

Kehilangan Ustaz Fadzil amat dirasai sebilangan besar rakyat Malaysia, khususnya ahli-ahli dan kepimpinan PAS.

Ustaz Fadzil pergi, kepimpinan PAS bersilih ganti. Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengambilalih kepimpinan. Beliau juga Ketua Pembangkang dan Menteri Besar Terengganu.

Pada PRU ke-11 tahun 2004. BA menghadapi kesuraman yang besar, Terengganu terlepas, manakala Kelantan hampir tumbang. BN menang besar selepas Mahathir digantikan oleh Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Kemenangan besar BN, bukan kerana BN kuat. Tetapi akibat daripada persempadanan semula kawasan pilihan raya pada tahun 2003 dan berlaku beberapa kekecohan khususnya di Selangor pada hari pengundian.

Kemenangan BN pada waktu itu dikaitkan dengan perubahan persepsi rakyat kepada Umno-BN, dan memberi peluang kepada orang baru seperti Abdullah untuk menerajui negara.

Ringkasnya, kemenangan besar BN tidak lama. Hagemoni mereka tersekat pada PRU ke-12 tahun 2008. Kepimpinan Abdullah gagal memperkukuhkan Umno-BN. Gabungan PAS, KeADILan dan DAP berjaya membuat 'comeback' yang cukup besar dalam politik negara.

Kuasa besar dua pertiga majoriti BN di Parlimen hilang. BN tewas di enam negeri termasuk Wilayah Persekutuan.

Lantas ketiga-tiga parti ini membentuk Pakatan Rakyat. Kerjasama Pakatan Rakyat lebih baik dengan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat.

Umno-BN kehilangan arah. PM Abdullah menerima tekanan yang hebat. Genap setahun selepas PRU 2008, Abdullah terpaksa melepaskan jawatan kepada Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Selepas setahun bergelut dengan pelbagai masalah dalaman, Umno-BN kini dilihat mula membuat reform dengan PM yang baru. Sementara Pakatan Rakyat kini dilanda pelbagai kemelut dalaman.

PAS punyai kemelut dalamannya sendiri. Begitu juga KeADILan dan DAP. Kemelut-kemelut ini jika dibiarkan berpanjangan, nescaya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

Buat masa ini, penulis mahu memfokuskan tulisan ini kepada PAS sahaja.

Bagi kepimpinan, ahli dan penyokong PAS, mereka harus disedarkan bahawa dalam sejarah politik PAS yang disusur-galurkan dalam tulisan ini, walau apapun perseteruan atau berbezaan yang wujud di antara PAS, dengan rakan-rakan, PAS tidak pernah sama sekali mengkhianati tahaluf atau kerjasama politik yang dibina.

PAS juga harus sedar bahawa arus perubahan yang dilakukan PM Najib mungkin memberikan kesan dalam bentuk persepsi positif di kalangan rakyat.

PAS tidak seharusnya membenarkan sebarang persepsi negatif melandanya. Persepsi negatif ini hanya akan mengundang padah yang lebih buruk.

Jika PAS dan Pakatan Rakyat tersilap langkah, atau gagal menunjukkan kesepakatan yang baik, nescaya kesuraman besar yang berlaku pada PRU 2004, tidak mustahil boleh berulang pada PRU ke-13 nanti.

Fikirlah, jika rakyat boleh memberi peluang kepada Abdullah selepas persepsi buruk yang terpalit terhadap Mahathir, apakah rakyat tidak boleh memberi peluang sekali lagi kepada Umno-BN menerusi kepimpinan baru Najib?

Atau apakah PAS sanggup menunggu pusingan lain, iaitu barangkali pada PRU ke-14 atau PRU ke-15 untuk membuat 'come back' politik selepas dilanda kesuraman yang berterusan?

Sepanjang PAS membuat tahaluf atau kerjasama dengan pelbagai parti politik dan NGO, PAS sekali-kali tidak pernah menggadaikan prinsip perjuangan yang digariskan dalam Perlembagaannya. Yang berubah hanya pendekatan dan strategi.

Di atas prinsip inilah PAS dihormati, di atas kesetiaan dalam persahabatan inilah PAS dipercayai dan di atas kekuatan dan kemantapan kepimpinanlah PAS dilihat mampu menggantikan Umno sebagai parti terunggul Islam-Melayu suatu hari nanti.

Sepanjang 58 tahun penubuhan PAS (November 1951-kini), tidak ada seorangpun pemimpin yang boleh memecahbelahkan PAS. Tiada seorang pemimpinpun boleh mengheret PAS ke arah kemusnahan jika beliau keluar daripada parti.

PAS tidak boleh mengelak, kemungkinan wujud pemimpin yang mempunyai agenda peribadi. Namun, sehebatmanapun agenda peribadi seseorang pemimpin itu, nescaya dia tidak akan mampu merealisasikannya. Tiada seorangpun pemimpin yang boleh memaksa PAS menurut agenda peribadinya.

PAS bukan milik individu, PAS adalah milih jamaah keseluruhannya. Ke mana sahaja PAS pergi, sama ada bekerjasama atau berdikari sendirian, PAS tetap utuh sebagai satu pasukan dan dalam satu pasukan yang mantap.

Kemantapan PAS adalah hasil daripada tarbiah fikrah (pendidikan pemikiran) yang meletakkan Islam sebagai keutamaan perjuangan, lebih dari kepentingan diri sendiri.

Justeru untuk waktu ini, untuk menghadapi PRU ke-13 ini, PAS tidak harus menoleh kebelakang lagi. Kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat ialah kerjasama yang terbaik dalam sejarah politik negara.

PAS harus terus menjadi rakan kongsi yang strategik kepada Pakatan Rakyat. PAS harus yakin bahawa dengan kekuatan kepimpinan, kekuatan akar umbi, dengan rangkaian cawangan yang ada di setiap taman dan desa, bahawa suatu hari nanti PAS akan muncul sebagai parti yang dominan dan terunggul dalam persada politik negara._